“Selama lebih 60 tahun UMNO dan Pas berseteru sejak Haji Ahmad Fuad Hassan meninggalkan UMNO pada 1951 sehingga membawa kepada penubuhan Pas, tetapi hari ini di Sungai Kandis, kita berada atas pentas platform yang sama,” kata Mohamad ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam. Ikuti pesanan dan harapan Mohamad menjelang pengundian PRK Sungai Kandis, Sabtu ini.
 

UTUSAN: Bagaimana perkembangan kempen BN di PRK Sungai Kandis setakat ini?

MOHAMAD: Dari hari ke hari kempen berjalan baik. Dari rumah ke rumah, Puteri, Pemuda dan Wanita jumpa ramai orang. Yang tidak jumpa kita tinggalkan risalah.

Speakers corner di kawasan yang ramai orang turut mendapat respons yang baik. Kempen UMNO amat sederhana, tidak seperti dulu majlis besar-besar. Setiap hari, setiap malam ada ce­ramah.

Nampaknya ada tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan orang ramai bahawa PRK Sungai Kandis ini dapat dibawakan isu-isu semasa. Dengan adanya suara BN dalam DUN nanti, diharap boleh mengimbangi kerajaan negeri. Kalau tiada suara ini (dari pembangkang), dibimbangi ia akan menghilangkan suara rakyat.

Walaupun PRK Sungai Kandis tidak mendatangkan impak politik terutama kepada PH andai kalah kerana masih menjadi kerajaan, malahan kerusi pembangkang pun terlampau sedikit untuk dibanggakan, namun ia (PRK ini) akan menjadi semacam satu referendum rakyat dalam suasana betapa rakyat tidak puas hati dengan apa yang berlaku.

Apa yang tidak puas hati itu?

Ini terutama membabitkan janji-janji dalam manifesto PH sebelum menjadi kerajaan. Saya berharap orang ramai khususnya pengundi akan menyokong BN. Kemenangan ini bukan kemena­ngan Lokman Noor Adam atau BN semata-mata tetapi lebih kepada kemenangan referendum rakyat untuk memberi satu mesej yang kuat bahawa rakyat tidak suka dipermain-mainkan, tidak suka janji-janji manis yang didendangkan dilupakan begitu sahaja. Saya percaya Lokman Noor Adam mempunyai perwatakan yang boleh membawa suara rakyat. Aktivis ini pandai membawa isu-isu untuk diketengahkan bagi tindakan PH.

Adakah ini bermakna pengundi PRU-14 sudah boleh lupakan UMNO yang dulu, dengan sekarang buka buku baharu?

Itulah harapan saya supaya segala fitnah dan tipu daya yang dilemparkan sehingga rakyat didoktrinasikan sebegitu rupa terhadap kerajaan terdahulu, sekarang semakin jelas tunjukkan orang ramai rasa sudah tertipu. PRK ini akan memberi mesej jelas kepada kerajaan PH.

Mungkinkah kepemimpinan PH terutama big gun mereka kian terasa ‘bahang’ saingan dengan BN?

Saya dimaklumkan semua big gun parti-parti pakatan turun bersama kepimpinan 10 orang top gun dalam kempen PRK ini. Padahal kalau kalah pun tidak jadi `kudis’ pada Pakatan Harapan. Ini menunjukkan siri kempen BN berkesan.

Saya selaku Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Jentera PRK BN di Sungai Kandis secara peri­badi mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana telah memberikan suatu persefahaman de­ngan tidak meletakkan calon parti itu di Sungai Kandis.

Bukan setakat tidak letakkan calon, para pemimpin Pas pun sudah turun padang dan berkempen kepada pengikut-pengikut parti itu supaya tidak menyokong PH dalam PRK ini.

Apa yang diperkatakan Pas dalam kempen PRK ini?

Pas setakat yang saya tahu dan dengar dari rakaman-rakaman video kata PH ini sedang adu-dombakan orang Melayu dan pecahbelahkan mereka. PH juga sedang uji ‘batu sempadan’ tentang hak-hak Melayu dan kesucian Islam.

Dengar khabar pemimpin-pemimpin Pas antaranya tidak puas hati terutama terhadap cakap-cakap yang dikeluarkan oleh PH. Ini khususnya isu-isu kaitan agama Islam.

Jadi, saya amat berharap supaya titik persamaan yang diter­jemahkan semasa PRK Sungai Kandis ini dapat disambung dan diperkasakan untuk jalinan kerjasama antara dua parti Melayu terbesar di negara ini.

Tidak ada formula lain atau resipi paling mujarab selain perpaduan ummah dan Melayu demi menjaga kepentingan Islam di negara ini.

Tapi majoriti besar yang dimenangi PKR di Sungai Kandis tempoh hari bukan suatu yang mudah buat UMNO?

Tak apa, kita ‘langgar’. Kalah belum tentu, menang belum tahu. Saki baki dua hari lagi kempen ini diharap dapat me­yakinkan orang ramai kepada BN menerusi pemikiran yang rasi­onal. Demi masa depan Islam dan orang Melayu, kita tidak perlu tunggu sehingga PRU-15. Mungkin dengan adanya PRK yang akan berlaku lagi selepas ini, ia akan menjadi medan terbaik untuk UMNO meneruskan persefahaman yang terbina dengan Pas dalam menghadapi PRU-15. Saya yakin pengundi di kawasan DUN Sungai Kandis ini akan memberi mesej kepada kerajaan PH iaitu tidak rela atau mengizinkan tindak tanduk ‘ambil kesempatan’ atau ‘ambil mudah’ janji-janji manifesto ‘yang bukan kitab’ ini. Ini kerana PH menang atas janji-janji tersebut. Hanya pengundi Sungai Kandis yang cerdik pandai dapat memastikan mesej ini diterjemahkan.