Pengubahan wang haram ini bukanlah suatu fenomena yang baharu berlaku di Malaysia. Ia tidak seperti skim cepat kaya yang sangat mudah untuk dikenali. Pengubahan wang haram merupakan jenayah yang dilihat berkembang secara senyap sejak akhir-akhir ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan kegiatan pengubahan wang haram di seluruh dunia yang didapati meningkat sebanyak dua hingga lima peratus pada setiap tahun. Meskipun terdapat pelbagai langkah diambil oleh pihak berwajib untuk menangani masalah ini, namun bilangan kes pengubahan wang haram terus meningkat selari dengan peningkatan jenayah lain sedia ada.

Berdasarkan rekod IMF, pemerhatian yang serius terhadap aktiviti pengubahan wang haram bermula dengan termeterainya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Jenayah Terancang Transnasional di Palermo, Italy pada Disember 2000.

Kesemua negara yang hadir beriltizam untuk memastikan intipati konvensyen dilaksanakan di negara masing-masing. Konvensyen ini menjadi platform dan pemangkin untuk pembinaan kerangka kerja bagi mengatasi pengubahan wang haram ini untuk semua negara yang menyertainya.

Ia juga merupakan usaha untuk menggalakkan kerjasama sesama ahli dalam menghalang serta menangani jenayah yang merentas sempadan ini dengan lebih efektif dan bersistematik.

IMF juga melaporkan, aktiviti pengubahan wang haram ini telah lama berlaku di negara maju seperti Amerika. Malangnya dek kecanggihan teknologi, jenayah ini berjaya menular ke Malaysia.

Data Bank Dunia menunjukkan anggaran jumlah aliran wang sebanyak AS$1 trillion sehingga AS$1.6 trillion setahun telah berjaya merentas sempadan hasil daripada aktiviti jenayah ini. Lebih menyedihkan, lima puluh peratus daripada jumlah tersebut datangnya dari negara sedang membangun.

SEJARAH

Sejarah perbankan menunjukkan Bank Negara Malaysia (BNM) mewartakan Akta 613 iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 pada 5 Julai 2011.

Akta ini diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan pengubahan wang haram, langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah pengubahan wang haram dan kesalahan membiayai keganasan.

Ia juga merupakan peruntukan bertujuan melucutkan hak harta yang terlibat dalam atau yang diperoleh daripada kesalahan pengubahan wang haram. Ini termasuklah harta yang digunakan untuk membiayai keganasan, serta harta pengganas, hasil daripada aktiviti haram dan peralatan kesalahan.

Institusi pelapor yang melaporkan kegiatan jenayah ini dipertanggungjawabkan melaksana langkah pencegahan dan perlu mewujudkan program serta kawalan risiko pengubahan wang haram yang bersesuaian dengan risiko serta selaras dengan profil perniagaan institusi pelapor tersebut.

BNM pula sentiasa menjalankan usaha dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan lagi AMLATFA ini. Ia termasuklah keperluan untuk terus mengawal selia dan mengambil tindakan segera terhadap risiko baharu.

Ia juga merupakan langkah proaktif selaras dengan peningkatan amalan industri yang berkembang bagi menangani risiko sedia ada.

Apabila diteliti, terdapat pelbagai cara pengubahan wang haram. Aktiviti yang biasa dilakukan adalah menempatkan, menghantar, membayar, membelanja, membawa ke luar negara, menukar atau apa-apa perbuatan serupa ke atas harta kekayaan yang terhasil daripada perbuatan jenayah pengubahan wang haram tersebut. Ia bertujuan menyembunyikan asal usul harta kekayaan tersebut dengan menjadikan ia seperti harta kekayaan yang sah di sisi undang-undang.

KONGSI GELAP

Pada asalnya pengubahan wang haram banyak dikaitkan dengan jenayah terancang yang dilakukan oleh kongsi gelap. Walau bagaimanapun, kini lebih banyak penjenayah yang merupakan individu atau kumpulan kecil telah didakwa di bawah akta ini.

Aktiviti pengubahan wang haram kebiasaannya melibatkan tiga fasa iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi. Pada peringkat penempatan, wang haram akan dimasukkan ke dalam sistem kewangan atau digunakan untuk membeli aset. Peringkat kedua pula adalah peringkat pelapisan bertujuan menyembunyikan atau menutup sumber wang haram tersebut.

Ia dilakukan secara licik dengan menyimpan wang haram dalam bank atau perniagaan pihak ketiga atau menyimpan wang haram di negara yang mempunyai peraturan kewangan yang terlalu fleksibel. Pada peringkat integrasi pula, wang yang dipindahkan ke dalam dunia kewangan dicampur dengan dana lain yang diperoleh daripada sumber yang sah di sisi undang-undang.

Kaedah yang digunakan oleh penjenayah untuk mengubah wang haram adalah kompleks dan pelbagai. Sebagai contoh, mereka menggunakan beberapa institusi kewangan untuk menyimpan wang dalam jumlah kecil, melabur, membeli lukisan atau barang kemas, pelaburan hartanah, membeli baucar, malah mereka juga berjaya menubuhkan syarikat di samping membeli saham.

Selain itu, kewujudan internet dan sistem perbankan secara dalam talian juga menjadikan aktiviti pengubahan wang haram lebih mudah. Situasi ini menyebabkan pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk mengesan aktiviti tersebut.

Sebagai contoh, permainan judi dalam talian merupakan satu aktiviti pengubahan wang haram yang semakin berkembang dan sukar dipantau kerana terdapat banyak syarikat perjudian beroperasi secara maya.

STATISTIK

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada 2016, antara 2015 hingga 2016, sebanyak 201 kes pengubahan wang haram melibatkan 568 suspek disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebanyak RM164.5 juta harta dibekukan, RM135.7 juta disita manakala RM27.6 juta dilucut hak sepanjang tempoh tersebut.

Laporan statistik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pula menunjukkan sebanyak 129 kes pengubahan wang haram dibawa ke mahkamah dan 76 kes selesai dibicarakan.

Laporan akhbar The Star pada 2012 pula menunjukkan individu pertama yang disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram di Malaysia melibatkan 10 kesalahan pengubahan wang haram sebanyak RM41.3 juta.

Aktiviti pengubahan wang haram perlu ditangani dengan kadar segera oleh kerajaan kerana ia boleh membawa kemusnahan kepada sesebuah negara.

Menurut laporan oleh BNM pada 2013, pengubahan wang haram bukan sahaja boleh menjejaskan kestabilan dan keutuhan keselamatan sesebuah negara, malah berupaya menggugat perkembangan ekonomi dan sistem kewangan.

Aktiviti jenayah ini hanya akan menyebabkan kehilangan keyakinan kepada institusi kewangan kerana wang haram berjaya disatukan dengan wang sah. Jenayah ini jugalah menyebabkan kemerosotan ekonomi di Nigeria yang merupakan sebuah negara membangun.

Selain kesan ke atas ekonomi, jenayah pengubahan wang haram dapat memberi kuasa ekonomi kepada penjenayah untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam kalangan masyarakat.

Akibatnya lebih banyak perniagaan berteraskan jenayah akan berkembang di pasaran domestik sesebuah negara menyebabkan hilang kepercayaan pelabur asing untuk melabur.

Apa yang paling menggerunkan adalah apabila penjenayah mula menguasai sesebuah negara melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat milik kerajaan yang menjalankan perniagaan secara sah hanya dengan menggunakan wang haram ini.

Saya berharap semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah ini. Marilah sama-sama menolak sebarang kegiatan tidak bermoral seperti ini. Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, kita tidak perlukan kemasukan wang yang terhasil daripada kegiatan jenayah seperti ini.

Betul bukan mudah untuk membanteras jenayah, apatah lagi melibatkan jenayah pengubahan wang haram ini. Maka kerana itulah, sebagai rakyat, kita perlu melaporkan sebarang transaksi mencurigakan kepada pihak berwajib.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.