Rata-rata kecewa kerana pulangan yang agak rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Walaupun sudah ramai yang menduga perkara itu akan berlaku, tetapi banyak yang tidak menduga serendah itu hibah Tabung Haji 2018.

Kesan daripada pengumuman serendah itu, ada yang menjangka ramai mengeluarkan simpanan mereka dalam TH lalu beralih ke institusi kewangan lain. Ada yang hendak tinggalkan baki RM1,300 iaitu sebagai wang asas atau deposit hendak menunaikan haji dan kalau yang ada banyak, hendak tinggalkan RM10,000 iaitu cukup untuk belanja ke Mekah.

Hal ini berkait rapat dengan kurangnya keyakinan penabung-penabung terhadap Tabung Haji. Malah, apabila Tabung Haji meletakkan punca rendahnya hibah berkait rapat dengan kerajaan terdahulu, kita bimbang banyak benda lain akan diheret sama.

Contohnya, Amanah Saham Bumiputera juga sudah mengalami penurunan dividen menjadi 6.50 % awal tahun ini sedangkan sebelum ini tidak pernah berlaku.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 5.9 % bagi simpanan shariah manakala 6.15 % bagi simpanan konvensional berbanding tahun sebelumnya 6.4 % shariah dan 6.9 % konvensional.

Awal Januari 2019, Pengerusi KWSP, Tan Sri Shamsuddin Osman sudah membayangkan Tabung Haji juga akan mengalami penurunan hibah sebagaimana KWSP disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya faktor global dan sentimen tempatan. Bayangan tersebut menjadi nyata.

Penyimpan-penyimpan Tabung Haji apatah lagi orang kampung bukan faham apa itu faktor global dan sentimen tempatan.

Tetapi apabila Tabung Haji mengaitkan penurunan hibah sehingga 1.25 % disebabkan kerajaan terdahulu, orang kampung pun buka mata sehingga ramai cerdik pandai menasihati agar kerajaan sekarang tidak mengungkit kisah lama.

Jika hendak diungkit kisah lama, barangkali nasib ASB dan pelbagai saham lain di bawah PNB juga akan sama dengan Tabung Haji tahun hadapan.

Bank Rakyat pula masih belum mengumumkan dividen bagi saham keanggotaannya sampai sekarang. Pelabur-pelaburnya juga bimbang akan mengalami nasib yang sama seperti Tabung Haji kalau diungkit kerajaan terdahulu.

Kekukuhan ekonomi turut bergantung kepada penyimpan dan pelabur dari pelbagai lapisan masyarakat. Kita digalakkan me­nyimpan wang kerana simpanan wang di institusi kewangan lebih selamat berbanding simpan di rumah di bawah tikar atau bantal.

Anak-anak sekolah pun disuruh menyimpan wang di bank dan institusi kewangan sehingga tema dalam sesetengah subjek di sekolah pun berkisar tentang simpanan wang.

Maka, jika hibah atau keuntungannya sama dengan faedah pelajar-pelajar sekolah rendah simpan wang pakai tampal setem pada buku setem kemudian pergi tunjuk kepada kerani pejabat pos pada tahun 70-an dahulu, maka akan ramailah yang akan menyimpan wang dengan kaedah lama iaitu di bawah bantal seperti zaman dahulu.

Oleh itu, kita mesti memahami bahawa peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit bukanlah peribahasa orang sekarang, tetapi sudah sebati dalam kalangan masyarakat Melayu sejak orang kita tidak mengenali bank dan institusi kewangan lagi.

Tetapi apabila sedikit-sedikit lama-lama menjadi busut, maka sudah semestinya pelbagai pihak mesti mengambil kira keyakinan pelabur dalam Tabung Haji agar salah satu lambang kekuatan ekonomi Islam terpelihara.