Jadi penulis amat memahami perasaan perokok apabila sedikit demi sedikit ruang untuk merokok dihadkan, daripada tempat-tempat awam seperti kawasan hospital, sekolah, taman permainan sehinggalah tandas-tandas awam telah diisytihar sebagai kawasan larangan merokok.

Terbaharu, kerajaan bakal menguatkuasakan larangan ­merokok di semua restoran terbuka dan warung mulai bulan depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan bukan sahaja dalam kalangan perokok tetapi juga para pengusaha restoran dengan alasan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Alasan mereka ada benarnya kerana keinginan merokok paling tinggi dirasakan oleh perokok adalah selepas makan dan minum, selain ketika bersembang. Kedua-dua keadaan ini hanya dapat dinikmati oleh perokok di restoran atau di warung.

Jadi apabila tempat-tempat ter­sebut tidak lagi dibenarkan merokok, perokok merasakan seolah-olah kehilangan salah satu ‘nikmat’ ­merokok. Lepas makan mereka mahu merokok tetapi jika tidak dibenarkan merokok, di mana mereka harus melepaskan gian mereka?

Dalam hal ini, penulis menyokong ketegasan kerajaan berhubung kawasan-kawasan larangan ­merokok termasuk di restoran terbuka. Ini kerana, kajian telah menunjukkan asap rokok memberi kesan buruk kepada kesihatan perokok pasif atau lebih tepat orang yang ada di sekeliling perokok.

Apatah lagi di restoran-restoran terbuka, sikap perokok yang menghembuskan asap rokok sesuka hati tanpa mempedulikan para pelanggan lain lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung walhal kandungan asap rokok yang dihembus mengandungi pelbagai jenis racun yang boleh menjejaskan kesihatan orang lain.

Di kebanyakan negara yang melaksanakan peraturan ketat merokok di tempat awam seperti Singapura, Jepun dan beberapa negara di Eropah, pemilik-pemilik premis biasanya menyediakan ruangan untuk merokok sama ada di dalam bilik tertutup ataupun kawasan terbuka tetapi agak tersorok dan jauh daripada pelanggan lain.

Cuma bezanya perokok di negara terbabit begitu disiplin dan patuh dengan peraturan. Tanpa perlu penguatkuasaan mereka sedia untuk meninggalkan kerusi untuk ke tempat merokok yang disediakan. Malah para pemilik restoran pula mengarahkan pelanggan merokok di tempat yang disediakan.

Bagi pengusaha restoran pula, jika mereka bimbang kehilangan pelanggan akibat larangan tersebut, mereka boleh menyediakan bilik khas untuk perokok. Penulis percaya, menyediakan bilik merokok tidak menjadi masalah kepada pengusaha restoran kerana akhirnya ia memberi pulangan yang menguntungkan kepada mereka sendiri. Pelanggan yang merokok ‘tidak lari’, pelanggan yang tidak merokok akan semakin bertambah.

Kerajaan juga boleh mencontohi Jepun misalnya, yang menyediakan kawasan merokok di tempat awam lengkap dengan sistem penyedutan asap yang efisien. Jika merasakan kos untuk mewujudkan zon merokok ini tinggi, kerajaan boleh mendesak syarikat-syarikat pengeluar rokok untuk menyediakan kawasan terbabit, terutama di kawasan awam.

Penulis percaya peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan itu bukan untuk menyusahkan perokok atau menyebabkan kerugian di pihak pengusaha restoran tetapi semata-mata memastikan semua rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan selesa.