Berpunca daripada kegagalan kuil itu berpindah ke suatu tempat lain yang dicadangkan yang sudah dipersetujui mahkamah pada 2014 tetapi tidak dilaksanakan sehingga sekarang.

Pertarungan sengit antara pihak yang diceroboh dan menceroboh, masing-masing besar juga bilangan anggotanya, telah akhirnya membawa dan melibatkan ratusan ahli pasukan keselamatan, khususnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan penyelamat kerajaan dan sukarela dalam usaha meredakan keadaan.

Beberapa di antara mereka yang terlibat telah cedera, sekian ramai ditangkap dan malangnya seorang anggota bomba masih terlantar parah di hospital sehingga hari ini.

Seperti menangguk di air keruh, media massa tempatan dan antarabangsa memperoleh scoop yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba Malaysia muncul di ratusan saluran media massa di seluruh dunia menawarkan pelbagai huraian dan tafsiran mengenai apa yang terjadi di kuil berkenaan.

l Tersebar ke seluruh dunia

Bila melayari Google, jelas terpapar bahawa media massa bahasa Inggeris lebih banyak mengeluarkan laporan daripada (berbanding) laporan yang menggunakan bahasa Melayu kerana keterlibatan media antarabangsa.

Bermula dengan sebuah kuil dalam sebuah negara, kemudiannya telah menjadi cerita mengenai sebuah kuil dalam sebuah dunia, maksudnya berita mengenai peristiwa ini telah merebak dan tersiar luas ke seluruh dunia dalam tempoh kilat selama beberapa hari sahaja. Kita dapat kesan wujud dua naratif utama mengenai rusuhan di kuil ini, secara rasmi dan tak rasmi.

Pertama, ‘naratif lapangan’ yang datang dari akar umbi melalui pelbagai saluran terutamanya, media sosial. Laporan ini datangnya daripada mereka yang menyaksikan dan terlibat langsung semasa kejadian di kuil itu berlaku. Dengan menggunakan smart phone masing-masing, khabar angin, khabar elektronik dan khabar digital tersebar pantas secepat kilat.

Kedua, ‘naratif kepemimpinan’ iaitu pandangan, pendapat dan ucapan personaliti utama negara dalam kepemimpinan Malaysia iaitu Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, menteri-menteri lain, Ketua Polis Negara, ahli Parlimen dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin parti-parti politik.

Nada yang terdapat dalam ‘naratif lapangan’ cukup kompleks, mengelirukan, merisaukan dan banyak percanggahan. Ini berpunca daripada tindakan menggembar-gemburkan maklumat, persis seorang tukang masak yang memasak sekuali kari kambing yang direncah ikut suka hati dengan pelbagai rempah, ada yang pedas dan ada yang hambar.

Naratif lapangan ini sering bersalut prejudis dan stereotaip dan sering disulam dengan penyuaraan tidak puas hati peribadi (personal grievances) berwajah rasis, tidak rasional, kadang-kadang rasional dan jarang sekali tepat atau boleh dipercayai.

Kandungan dan imej video negatif daripada naratif lapangan inilah yang disiarkan di pentas global yang rata-rata memomokkan masyarakat Islamik Malaysia kononnya menindas etnik minoriti Hindu. Ini terjadi apabila oleh seorang ahli politik pelampau, Arjun Sampath, ketua Parti Rakyat Hindu, Tamil Nadu menyebut bahawa ‘ramai wanita dan kanak-kanak terkorban’ dalam pergaduhan di kuil berkenaan.

l Derma dari internet

Nada ‘naratif kepemimpinan’ bersifat top-down (dari atas ke bawah) ada tiga polanya. Pertama, lebih kepada menyeru supaya keamanan, kestabilan dan keharmonian dipelihara dan pergaduhan dihentikan dengan apa cara pun. Dalam kata lain, ‘naratif pola menyeru keamanan’ menggalakkan rakyat mengekalkan kesepaduan sosial. Carilah jalan dan usahakan penyatupaduan biar sesusah mana pun.

Kestabilan dan kesepaduan sosial menjamin dan melindungi usaha ibu-bapa untuk menaik taraf kehidupan masing-masing melalui pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Inilah yang tersirat dalam naratif pola keamanan ini.

Kedua, satu lagi ‘naratif kepemimpinan’ memaparkan pola kepentingan etnik dan keagamaan dengan sekelompok pemimpin menyeru supaya penganut Hindu di kuil itu tidak bergerak ke tempat lain dan bersedia mempertahan kuil daripada diceroboh. Tindakan ini perlu dilakukan sehingga Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia memberikan satu penyelesaian.

Ketiga, yang disarankan oleh beberapa pemimpin swasta, seperti Tan Sri Vincent Tan dan beberapa yang lain adalah tindakan yang bersifat naratif filantrofi awam (public philanthrophy). Pendekatan menyarankan supaya orang awam mengumpul secukupnya dana dengan cara mengutip derma daripada orang awam beramai-ramai melalui internet, yang diungkapkan sebagai crowd funding. Sumber dana bukan daripada yang kaya atau tokoh korporat.

Dana yang terkumpul digunakan untuk menebus tanah kuil berkenaan daripada syarikat pemaju One City Development Sdn. Bhd. Ertinya, daripada apa yang berlaku dalam sebuah kuil mencerminkan keadaan ekonomi, sosiopolitik dan agama di negara ini. Segala pergolakan sosiopolitik pada peringkat negara terumus dan terjelma dalam kejadian di sebuah kuil di Selangor.

l Cabaran PH

Sebenarnya inilah sifat negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang etnik dan diikat kesepaduannya melalui ratusan tapak integrasi yang berlapis-lapis daripada atas hingga ke paras akar umbi. Apa saja yang menguji keutuhan sebarang tapak integrasi di negara kita ini lazimnya diselesaikan melalui prinsip ‘tawar menawar, perundingan dan pengantaraan’ (bargaining, negotiation, mediation).

Inilah kekuatan Malaysia. Kerana itu jugalah Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berjaya menjalankan pilihan raya umum di dunia pada tahun ini, berbanding dengan sembilan negara lain, tanpa keganasan. Ini adalah suatu rekod yang cukup luar biasa dan menjadikan Malaysia sebagai penanda aras keamanan, keharmonian dan kestabilan masyarakat sejagat.

Cabaran kepada masyarakat Malaysia amnya dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) khasnya daripada kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya pada hujung November lalu ialah untuk mengambil kesempatan daripada satu ruang dan peluang sosial baharu ini dan mempamerkan kerajaan PH sesungguhnya betul-betul peduli terhadap perpaduan nasional. Kerana dalam Bajet 2019, kepedulian ini kabur seperti kabus di Gunung Tahan.

PROF. ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN ialah penganalisis isu sosiopolitik dan profesor di Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).