Ya, suatu bangsa yang mempunyai semangat perjuangan demi pembebasan, baik yang digerakkan oleh rakyat mahupun oleh golongan elit atau bangsawan, yang tidak pernah pudar. Dengan dukungan serta sokongan rakyat jelata, kemerdekaan dicapai mela­lui perjuangan gigih pemimpin yang mewakili orang Melayu, Cina, dan India yang penuh muafakat.

Meskipun negara mencapai kemerdekaan dalam serba kekura­ngan, bapa pengasas kita yang di­terajui oleh Tunku Abdul Rahman Putra yang bergandingan dengan Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T. Sambanthan dan beberapa orang pemimpin lain memper­kenalkan pelbagai dasar nasional dalam merealisasikan apa yang dinamakan pembinaan bangsa.

Selain itu, tiga tahun selepas kemerdekaan, negara berjaya memperkukuh kestabilan politik dan keselamatan apabila darurat yang diisytiharkan pada 1948 dimansuhkan. Daripada pembinaan bangsa kepada pembentukan negara bangsa yang lebih luas dengan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963. Pembentukan Malaysia adalah wawasan jauh pemimpin Tanah Melayu serta pimpinan Sabah dan Sarawak yang terdiri antaranya Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohamed Fuad Stephens, Tun Temenggong Jugah, Tun Abdul Rahman Ya’kub, dan Stephen Kalong Ningkan.

Pucuk pimpinan negara berusaha gigih ke arah pembinaan bangsa, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang juga dikenali umum sebagai kontrak sosial. Perlembagaan Persekutuan ini terbentuk daripada persetujuan yang dimeterai oleh tiga wakil kaum Melayu, Cina, dan India.

Seperti yang ditegaskan oleh Mohd. Rizal Yaakop dan Shamrahayu A. Aziz dalam pengenalan buku mereka, Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan 1957 – Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka: “Pembentukan Perlembagaan Ma­laysia adalah usaha yang digerakkan dengan memberikan keutamaan kepada kestabilan dan keselamatan negara, yang antara lain menggabungkan dimensi sosial, politik, budaya, ekonomi, ketenteraan dan psikologi, selain berkait rapat de­ngan sejarah, geografi, nasionalisme Melayu dan identiti ethnoreligious, matlamat perpaduan nasional, integrasi, wawasan pemimpin dan kepentingan strategik.”

Dalam menoleh masa lalu, melihat masa kini dan merenung masa depan, sesungguhnya banyak kejayaan tercapai sejak Malaysia merdeka. Daripada sebuah negara yang kegiatan ekonomi bergantung pada bijih timah dan getah, Malaysia muncul sebagai sebuah negara perindustrian dan kini bersiap sedia untuk Revolusi Perindustrian Keempat. Pastinya, kejayaan ini dicapai hasil usaha para pemimpin negara dan hasil perpaduan dan keharmonian hidup setiap lapisan rakyat Malaysia.

Selama 61 tahun, negara berjaya membentuk perpaduan berdasarkan pendekatan akulturasi iaitu kumpulan sosial yang berbeza dalam masyarakat dan negara ini bersetuju memperakukan perbezaan masing-masing tetapi pada masa sama memilih dan menerima salah satu kumpulan itu sebagai pentakrif jati diri nasional rasmi.

Setakat ini, “komuniti yang dibayangkan” – meminjam istilah yang diperkenalkan oleh Benedict Anderson jelas terbentuk di stadium apabila setiap pemain yang terdiri daripada pelbagai kaum memperlihatkan jati diri nasional bermain bermati-matian demi negara tercinta. Sementara para penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai keturunan dengan semangat kemalaysian bersatu padu menyokong pasukan Malaysia yang bertanding. Hendaknya, pada suatu masa kelak “komuniti yang dibayangkan” ini terbentuk dalam kehidupan sosial yang lain.

Atau meminjam istilah asabiy­yah yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun iaitu berusaha melahirkan perasaan kumpulan dan kepaduan sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia dan bukannya terbatas pada kaum tertentu. Dengan lahir­nya perasaan kumpulan dan kepaduan sosial, maka setiap orang berasa bangga bahawa diri mereka rakyat Malaysia dan mempunyai perasaan kecintaan yang mendalam terhadap negara mereka.

Sejarah masa kini dan silam banyak mengajar kita tanpa perpaduan dan keharmonian akan membawa keruntuhan dan kemusnahan terhadap sesebuah negara. Yugoslavia yang pada suatu masa adalah sebuah negara bangsa yang kukuh akhirnya menyaksikan rakyatnya berbunuhan sesama sendiri dan berpecah kepada beberapa negara kecil. Iraq terjebak dalam perang saudara akibat persengketaan antara puak Sunah, Syiah, dan Kur­dish. Akibat persengketaan agama, Sudan Selatan berpisah daripada Sudan, namun negara baharu itu dikenali sebagai negara gagal.

Sejarah silam menunjukkan bagaimana sesebuah peradaban besar, seperti Yunani, Romawi, dan Islam mengalami kemerosotan, akibat keruntuhan moral dan nilai, terutama dalam kalangan pe­mimpin. Dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyyah, perpecahan berlaku dalam kalangan puak Syiah dan Sunah kerana sikap perkauman. Malah, wujud kalangan pemimpin mereka yang tidak berakhlak mulia seperti suka berfoya-foya, zalim dan tamakkan kuasa. Nilai-nilai yang tidak sihat ini menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil. Akhirnya kerajaan menjadi merosot dan lemah.

Carroll Quigley, sejarawan Amerika dan ahli teori evolusi peradaban pernah mencatatkan perihal kemerosotan peradaban, yang menurut beliau: merupakan tempoh kemerosotan ekonomi yang genting, kemerosotan tara hidup, perang saudara antara pelbagai pihak yang berkepentingan dan peningkatan kadar huruf. Semakin lama masyarakat menjadi semakin lemah. Usaha yang sia-sia dibuat untuk menyekat pembaziran melalui perundangan. Namun begitu, tahap kemerosotan ini terus berlaku. Tahap keagamaan, intelek, sosial, dan politik juga mula hilang kesetiaan dalam kalangan rakyat jelata secara besar-besaran. Gerakan keagamaan yang baharu mula melanda seluruh masyarakat. Orang semakin keberatan untuk berjuang demi masyarakat.

Kesemua untaian kisah yang terpahat dalam lipatan sejarah dunia perlu menjadi iktibar bukan sahaja kepada kerajaan pada hari ini. Akan tetapi yang lebih penting bagi setiap warganegara adalah kita semua yang menjadi unit asas pada sebuah negara. Keengganan setiap individu untuk cuba memahami sejarah Malaysia, ciri-ciri asas pembentukannya, latar belakang agama dan sejarah sosio-budayanya akan mengakibatkan lahirnya generasi yang sekadar berminat untuk mengoptimumkan aspek pencapaian kebendaan atau material semata-mata.

Dengan semangat perpaduan dan menyedari hakikat tidak ada negara kedua dan ketiga untuk semua, penulis ucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-61 buat tanah air yang disayangi.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).