Setelah sekian lama, bekas Menteri Besar Terengganu itu merupakan pemimpin Terengganu kedua menawarkan diri bagi jawatan di peringkat tertinggi parti yang suatu ketika pernah disandang Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dalam era menerajui negeri.

Dikenali sebagai seorang yang tidak keberatan untuk lantang mengungkap apa yang difikirkan benar dan menyanggah apa yang dianggapnya salah, Ahmad, 61, menyifatkan salah satu kepincangan UMNO yang menghakis keyakinan rakyat ialah sikap ‘yes man’ dalam kalangan pendukung kepemimpinan.

“Saya pernah berdepan dengan pucuk pimpinan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) semasa era kepemimpinannya, berhubung isu Perwaja dan Datuk Seri Najib (Tun Razak) dalam kemelut 1MDB, biarpun jadi korban dan sejarah, membuktikan saya benar. Pemilihan kali ini saya redah sahaja,” katanya.

Wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB menyorot pandangannya tentang perubahan dalam UMNO bukan sekadar disandarkan perubahan rupa dan usia tetapi lebih kepada perubahan soal sikap dan pemikiran yang perlu dikembalikan dalam acuan sebenar perjuangan UMNO.

 

 

UTUSAN: Mengapa baru se­karang menawarkan diri bagi kedudukan dalam parti ketika UMNO tidak lagi dapat menjanjikan apa-apa selain meninggalkan bebanan besar untuk dipikul?

AHMAD: Saya tidak pernah ber­tanding semasa jadi Exco kerajaan negeri bagi kepemimpinan di peringkat sayap Pemuda dan semasa menjadi Menteri Besar untuk berada dalam Majlis Tertinggi. Tumpuan saya tentunya lebih terarah kepada perkhidmatan untuk negeri.

Bila UMNO kalah di peringkat negeri dan negara, saya rasa terpanggil untuk bersama menawarkan diri bagi memperbetulkan perjuangan yang banyak lari dan menyimpang daripada landasan asal perjuangan dan mencorak budaya baharu. Saya tidak harapkan lebih daripada itu.

Terimalah kenyataan pengha­kisan kuasa UMNO kerana sikap tindak-tanduk kalangan pe­mimpin dan ahlinya yang akhir­nya membawa kepada apa yang di­terjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

 

Adakah selama ini UMNO seolah-olah ketandusan pemimpin yang boleh diharapkan?

Kalangan yang mempunyai kewibawaan dan mampu memberi sumbangan lebih besar di semua peringkat terbatas ruang­nya dalam parti dan berpe­ranan lebih bererti. Mereka sukar untuk diterima dan mendapat tempat atau keberatan untuk bertanding kerana tidak mahu atau tidak upaya memberi ganjaran apa-apa kepada kalangan bakal pemilih.

Jika ada yang sedia membantu adalah mereka yang tidak mengharapkan sesuatu daripada pelaburan yang dibuat. Yang keluarkan modal tentunya mengharapkan keuntungan lebih besar dan di sinilah mudah menularnya salah guna kuasa. Orang yang sepatutnya dapat projek tidak berpeluang dan projek yang sepatutnya rendah mungkin menjulang tinggi.

Sukar untuk mereka menyaingi kalangan yang sudah berada di tampuk kuasa kerana belanja besar dan masa panjang untuk berkempen di seluruh negara ketika kalangan pemimpin memanfaatkan pergerakan di sebalik urusan rasmi kerajaan. Saya tak boleh terima salah guna kuasa.

Adakah yakin akar umbi akan memberi perhatian serius terhadap penawaran diri Datuk Seri?

Saya tidak buat survey (soal penerimaan) dan tidak perlu bagi saya bertemu atau ditemukan dengan setiap perwakilan. Mereka sudah tahu dan kenal dengan setiap calon. Cukuplah bersandarkan rekod saya yang pernah menjadi Exco dan Menteri Besar.

Jika ingin mencorak perubahan namun masih memberi kepercayaan kepada mereka yang sudah membebankan parti dan menjadi liabiliti akan lebih memburukkan keadaan. Ada yang kata pertandingan melemahkan parti. Memang lemahlah parti kalau kita yang kalah melemahkannya.

Datuk Seri pernah mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepemimpinan BN negeri dan pernah bersama pihak pembangkang dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tidakkah ini menjejaskan reputasi?

Ada yang salah anggap dengan mentafsirkan corak kepemimpinan sebagai menentang parti itu. Itu salah. Saya cuma mengingatkan. Saya sayang UMNO sehingga sampai ke tahap saya dimalukan, tidak meninggalkan parti walaupun saya boleh kembali menjadi Menteri Besar atau menerajui parti pembangkang di negeri ini.

Kerana sayangkan UMNOlah, saya kekal sehingga pilihan raya. Kalau tak sayang UMNO, saya ke­luar parti, BN (Terengganu) sudah habis. Soal kemukakan usul undi tak percaya itu saya cuma nak melihat sejauh mana pe­mimpin UMNO rasional dalam tindak-tanduknya selama ini dalam keadaan parti hanya menang cukup tipis dan adakah mereka ketahui peraturan undang-undang tubuh Terengganu.

Adakah Datuk Seri yakin ka­langan yang menawarkan diri mam­pu mencorak perubahan bagi memberi nafas baharu kepada UMNO dan mengembalikan semula keyakinan rakyat?Saya tak boleh komen soal orang lain, yang penting mereka menawarkan diri benar-benar me­nunaikan amanah untuk mem­bawa perubahan, mengikis bu­daya yang boleh merugikan aga­ma, bangsa dan negara.