Berdasarkan apa yang diuar-uarkan termasuk oleh Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng, perhimpunan itu bertujuan untuk melawan rasuah, menentang cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan melawan kezaliman.

Bagi penulis, apa yang mahu dilakukan oleh pakatan tersebut hanyalah satu lagi sandiwara politik bagi ­menunjukkan kononnya merekalah penentang rasuah nombor satu dalam negara ini.

Tetapi semua orang tahu apa yang sedang dihadapi oleh Guan Eng di mahkamah dan bagaimana bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dari semasa ke semasa terus menyerang Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Malah turut perlu diberi perhatian, kalau benarlah Pakatan Harapan mahu melawan rasuah, kenapakah sehingga ke hari ini kerajaan negeri Selangor masih enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilaksanakan oleh SPRM?

Bukankah dengan menandatangani IBR itu akan membuktikan ketelusan Pakatan Harapan dalam melawan rasuah seperti mana yang mereka canangkan?

Selain itu, jika mereka benar-benar telus, Pakatan Harapan yang turut disertai oleh PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN perlu mendesak Guan Eng bercuti sehingga kes beliau di mahkamah selesai.

Kalaulah melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan sudah pasti mereka membuat seruan tersebut, tetapi apabila kena batang hidung sendiri, pelbagai hujah dikeluarkan.

Sebenarnya, perhimpunan berkenaan tiada bezanya dengan perhimpunan-perhimpunan haram sebelum ini yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang.

Ia semata-mata dilakukan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang sedang dihadapi oleh Pakatan Harapan. PKR kini berhadapan de­ngan isu pesta arak, DAP masih belum selesai dengan masalah pemilihan dalam parti manakala PPBM pula terus menghadapi krisis dalaman yang menyaksikan seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad itu.

Oleh itu, tidak keterlaluan jika penulis menyifatkan perhimpunan pada Sabtu ini tidak lebih daripada sandiwara politik terbaharu Pakatan Harapan.

Mereka cuba memperbodohkan rakyat dengan me­ngadakan perhimpunan seumpama itu yang sudah pas­tinya akan menjadi medan untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Pendekatan politik itu terpaksa dilakukan kerana Pakatan Harapan sudah kehabisan modal untuk menyerang kerajaan. Pelbagai tohmahan dan fitnah yang mereka sebarkan ternyata belum mampu mempengaruhi rakyat menyokong mereka.

Justeru perhimpunan seumpama itu diatur supaya rakyat terlupa isu yang dihadapi oleh pakatan berkenaan sebaliknya memberi tumpuan kepada kelemahan BN yang direka-reka oleh DAP, PKR, PPBM dan PAN.

Begitulah juga soal GST, Pakatan Harapan terus mahu memainkan sentimen rakyat dalam soal kutipan cukai. Sebab itulah dalam usaha menipu rakyat mereka menuduh pelaksanaan GST mempunyai kaitan dengan isu 1MDB.

Bagi mencapai cita-cita politik mereka, maka Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan GST jika diberi peluang memerintah dalam pilihan raya umum akan datang sedangkan mereka sedar tanpa sumber pendapatan bagi menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.

Sehingga ke hari ini, Pakatan Harapan masih belum dapat membuktikan di manakah keburukan GST. Kalau benar GST buruk dan boleh membawa penderitaan kepada rakyat, kenapakah 160 buah negara lain turut me­laksanakan sistem cukai itu termasuklah negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada? Malah paling menarik, Arab Saudi yang adalah sebuah negara pengeluar minyak terbesar di dunia turut melaksanakan GST.

Penulis juga agak keliru apabila Pakatan Harapan menyatakan salah satu agenda perhimpunan tersebut ialah melawan kezaliman. Soalnya, kezaliman apakah yang dimaksudkan?

Jika kerajaan BN zalim, sudah lama pakatan itu tidak wujud di bumi Malaysia. Tetapi sebaliknya apa yang kita dapat lihat mereka bagaikan bebas melakukan apa sahaja termasuk menyerang kerajaan siang dan malam.

Berikutan itu, penulis melihat perhimpunan anjuran Pakatan Harapan tersebut tidak lebih bagaikan ‘satu ope­ra’ yang digerakkan oleh DAP – parti dominan dalam pakatan itu.

Perhimpunan itu sekali lagi membuktikan DAP boleh merancang dan bertindak apa sahaja bagi menentukan hala tuju perjuangan Pakatan Harapan. Parti-parti lain termasuklah PKR dan PPBM hanya ‘pak turut’ sahaja.

Penulis berharap, rakyat khususnya orang Melayu tidak akan terpedaya dengan sandiwara terbaharu Pakatan Harapan tersebut.

Oleh itu, penulis yakin perhimpunan itu akan menjadi platform untuk pemimpin-pemimpin pembangkang memaki-hamun kerajaan.

Lagipun dalam beberapa isu termasuklah dalam soal rasuah, pemimpin-pemimpin pembangkang juga sudah menjadi bagaikan ayam jantan yang berkokok kuat, ekor bergelumang dengan najis.

Bagi penulis, Pakatan Harapan boleh meneruskan sandiwara politik mereka, tetapi dalam masa perlu memahami bahawa rakyat semakin mengetahui ‘wajah hodoh’ mereka.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.