Sejak Rabu lalu, Dzulkifli bagaikan mengotakan janji apabila setakat ini 10 orang ditahan. Antaranya termasuklah tujuh pegawai kanan polis dan dua daripadanya memegang jawatan ketua polis daerah. Dalam operasi yang turut melibatkan penahanan tiga orang awam itu, semua dipercayai terlibat bersekongkol dengan pusat judi haram dan rumah urut.

Penulis difahamkan, Melaka merupakan negeri pertama menjadi sasaran SPRM, selepas ini beberapa lagi negeri dijangka ‘dipanaskan’ dengan operasi agensi itu bagi memastikan mereka yang bersedia menjadi ‘tali barut’ dan ‘balaci’ kepada sindiket judi haram ditumpaskan.

Mungkin tindakan SPRM itu tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak apatah lagi yang ditangkap tidak me­ngira pangkat daripada ko­­peral hinggalah Asisten Komisioner Polis, semua tidak terlepas. Penahanan mereka yang terlibat de­ngan judi haram itu boleh di­­anggap satu lagi ‘perang’ oleh SPRM setelah sebelum ini tumpuan diberikan kepada rasuah dan salah guna kuasa dalam kala­ngan penjawat awam.

Apa yang dilakukan oleh SPRM adalah tepat memandangkan masalah judi haram sudah lama menghantui negara ini. Bukan sahaja di bandar-bandar utama malah di luar bandar gejala itu semakin berleluasa. Sementara kita memuji langkah pihak berkuasa termasuk polis membanteras perbuatan tersebut tetapi apa yang anehnya ia bagaikan ‘satu virus’ yang sukar dihapuskan.

Pusat judi haram yang diserbu boleh beroperasi semula dalam tempoh singkat. Mereka bagaikan tidak takut kepada undang-undang. Buatlah serbuan sebanyak mana pun ia tidak mampu menggugat operasi sindiket. Kenapa itu berlaku? Jawapannya boleh kita peroleh hasil operasi penahanan yang dilakukan oleh SPRM. Aktiviti haram itu tidak akan wujud jika amalan rasuah tidak terjadi.

Dalam soal ini penulis sama sekali tidak menyatakan semua anggota agensi penguat kuasa terlibat tetapi dalam kalangan mereka ada yang sanggup menjual maruah semata-mata mahu mendapat wang secara mudah. Memanglah seronok kalau dalam sekelip mata boleh dapat beribu-ribu ringgit dan ada orang menjadi menaja segala-galanya apabila mahu mengadakan sesuatu majlis atau meraikan ‘orang-orang besar’ yang turun ke negeri-negeri, tetapi adakah tindakan itu wajar?

Mana-mana juga sindiket jenayah tidak akan begitu pemurah untuk memberi wang, kalau tidak ada balasan. Begi­tulah juga dalam isu judi haram, kegiatan itu tidak mungkin dapat dihapuskan selagi ada anggota agensi penguat kuasa yang sanggup ‘menjual’ undang-undang kepada sindiket.

Perlu diingatkan, judi haram adalah pemusnah bukan sahaja kepada negara tetapi juga bangsa. Ramai rakyat khususnya orang Melayu terlibat, ada yang terpaksa bergolok bergadai semata-mata kerana ketagih dengan permainan tersebut. Malang sekali bahaya itu bukannya tidak diketahui, tetapi sengaja dilupakan hanya semata-mata kerana ada kelompok yang sanggup menerima rasuah sehingga sanggup mengorbankan bangsa sendiri!

Oleh itu SPRM perlu meneruskan ‘peperangan’ tersebut. Pastikan kegiatan yang merosakkan masyarakat itu dapat dihapuskan sama sekali. Penulis yakin selepas ini ramai lagi yang akan ditahan kerana kelompok terlibat sememangnya sudah ada dalam ‘radar’ SPRM. Siapakah mereka? dan di mana mereka bertugas? Sama-samalah kita tunggu. Apa yang pasti, mereka tidak akan terlepas kerana setiap perbuatan pasti ada balasannya apatah lagi jika menyara keluarga dari sumber yang haram.