Sebagai contoh, Ali telah menuduh Abu dengan dak­waan tertentu dan akhbar melaporkan dakwaan itu kerana kepentingan berita. Namun Abu tidak saman Ali, sebaliknya me­nya­man media sahaja. Ini realiti terutama melibatkan prosiding sivil oleh orang politik. Yang dapat nama buruk media, bukan individu yang membuat dakwaan itu tadi.

Asasnya kerana akhbar yang menyebar luaskan kenyataan Ali tadi, jika akhbar tidak lapor tiada siapa tahu dan tiadalah kerosakan pada nama Abu.

Jika media memetik kenyataan orang yang entah siapa-siapa seperti memetik blog yang tidak diketahui siapa penulisnya atau dakwaan askar siber upahan dalam media sosial, maka itu boleh difahami kenapa saman diambil.

Seharusnya pun automatik media perlu bertanggungjawab untuk mendapat pengesahan atau meminta respons daripada pihak yang dituduh untuk menafikan hal berkenaan walaupun perkara itu telah tular sebelum menyiarkannya.

Namun Ali tadi adalah seorang pemimpin, berjawatan tinggi dalam partinya, maka pada era kepantasan maklumat tanpa batasan, relevan lagikah media disaman hanya kerana melaporkan sedangkan kenyataan itu sendiri dimuat naik Ali dalam Facebook dan Twitter miliknya.

Apatah lagi berita mengenai dakwaan itu ditulis dengan cermat dan memetik mengikut konteks secara adil berserta latar belakang cerita yang mungkin merangkumi penafiannya sebelum ini.

Dan dalam konteks Ali tadi sudah tentu media boleh secara suci hati menganggap beliau mempunyai obligasi untuk menjaga nama baik organisasi diwakili dan seharusnya tidak membuat dakwaan tanpa asas.

Perkara paling mustahak di sini, jika tanpa akhbar dan televisyen melaporkan pun, peredaran zaman menyaksikan kenyataan Ali yang dimuat naik dalam media sosial beliau sudah tersebar atau bahasa sekarang, ‘viral’.

Ya lah, kenyataan Ali dimuat naik dalam Facebook miliknya. Ali sendiri ada ratusan ribu pengikut media sosial dan pengikutnya pula kongsi dan sebar luas menerusi aplikasi WhatsApp sedangkan beberapa jam selepas itu baru disiarkan media atau ada kalanya sehari selepas itu.

Maka, asas saman terhadap media kerana menyebar luas dakwaan tidak tepat Ali itu tadi masih wajarkah pada tahun 2020? Sekelip mata sudah tersebar dengan satu ‘klik’, media juga disalahkan?.

Kalau masih wajar kerana alasan menyebar luas, maka saman sekalilah Facebook, Twitter, WhatsApp dan Instagram kerana asas media sosial dengan akhbar dan televisyen, masing-masing adalah platform yang digunakan untuk menyebar luas maklumat.

Kalau tak mahu saman Facebook, jangan saman media pula. Macam isu soalan mengenai akauntan bertauliah yang datangnya daripada Facebook seorang pemimpin.

Tidak semena-mena ada satu macam bentuk berbaur ugutan saman kepada media untuk tidak lagi membangkitkan perkara itu sedangkan isu itu sudah jadi kepentingan umum selepas tular.

Yang dimahukan jawapan sahaja. Ingat, hak mendapat maklumat sebahagian dari asas demokrasi yang menjadi tunjang Malaysia Baharu.

Di United Kingdom (UK), prinsip perundangan sudah lama berganjak untuk memberi ruang kepada media melaporkan hal-hal yang menjadi topik umum. Menjelang hari kebebasan media Mei ini, harapnya ada perubahan.