“Ada cerita apa mak?” suara Kak Cut. “Hmmm... Batu Belah Batu Bertangkup!”. Emak membetulkan sanggulnya, menatap aku dan Kak Cut. Dia mula menyusun cerita peri seorang ibu di Kampung Batu Belah, kempunan telur tembakul. Anaknya Pekan melahapnya sampai habis walaupun kakaknya, Melor melarang. “Mak belum makan lagi, kesian Mak...” kata Melor kepada Pekan. Larangan Melor tak berhasil. Makin dilarang, makin diterkamnya telur tembakul yang tinggal sejemput lagi. Habis licin licau yang tinggal hanya pinggan ayan kosong dengan linangan minyak goreng.

SAMAD AHMAD
SAMAD AHMAD

“Mana tembakul Mak, Melor?” Melor membisu, matanya merembes air. “Mana Melor?” suara ibunya tinggi. Melor tak dapat menahan sedunya. “Pekaaannnnn...” tak habis ayatnya..” Mak Melor melompat turun. “Sampainya hati anakku, tak ingatkan emakk...” Dia mengongoi di senja itu. “Biarlah aku pergi dapatkan batu belah!” kata Mak Melor dengan kuat.

“Makk...jangan pergi Mak kesian Melor. Kesian Pekan...”

Mak Melor berlari sekuat-kuat hatinya menuju ke arah batu belah yang tak jauh dari rumahnya. Melor dan Pekan ikut memburu ibunya dari belakang. Maknya tak menoleh lagi. Dia merajuk amat sangat. Melor dan Pekan tak kenangkan dia lagi. Susah payah dia menangguk di tali air. Tak takut ular, tak takut biawak. Dia inginkan telur tembakul. Biar sama-sama dikecapnya dengan Melor dan Pekan. Emak Melor melaung dan meraung:

Batu belah, batu bertangkup

Nak makan, makanlah aku

Batu Belah batu bertangkup

Nak telan, telanlah aku

Aku kempunan telur tembakul!

Hujan dan guruh mula menderu dan menjalar-jalar. Sudah dekat benar Mak Melor ke pintu batu belah batu bertangkup itu. Pada kali ketiga seruannya, batu belah itu menyahut “ ggrrrr, grrrrrrrr, grrraaahhhhhh...’’ Mengaum. Mulutnya mula ternganga.

“Makkkk, makkkk ampunnn makkk jangan tinggalkan Melor dengan Pekan makk..!” Suara anaknya itu tak dihiraunya lagi. Mulut Batu belah itu sudah mencakup Mak Melor.

“Auuuummm, grrrrrrrrr..grrrrahhhhhh..” Hanya Nampak rambut Mak Melor terjulur sedikit. Malam itu penuhlah dengan tangisan Melor dan Pekan. Emaknya kempunan telur tembakul. Batu Belah batu bertangkup sudah menelannya. Kak Cut dan aku yang sudah berbaring di atas tikar, tak dapat menahan air mata, membasahi bantal sejukku itu.

Cerita rakyat ini jadi kenangan seumur hidupku, adalah hasil rekaan pengarang yang berasal dari Klang Selangor bernama Abdul Samad Ahmad. Cerita ini amat popular dalam kalangan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu. Inilah antara cerita yang menyisipkan nasihat agar anak-anak selalu ingatkan ibunya yang bersusah payah membesarkan mereka. Jika ada makanan, juadah, buah-buahan dan sebagainya jangan lupakan ibu. Sisihkan sebahagian untuk ibu.

Waktu saya melaporkan diri sebagai penyunting di bilik Keris Mas, Ketua Pengarang pada bulan Mac 1968, ikut sama hadir pengarang Abdul Samad Ahmad. Dia tersenyum menatap saya. Cermin matanya tebal sambil menghisap-hisap paipnya. “Tahniah, Ahmad Kamal!” katanya. Sambil mengucapkan terima kasih saya menjabat tangannya. Waktu saya di sekolah rendah di Prince’s Road saya sudah membaca buku beliau yang lain Laksamana Tun Tuah. Di Maktab Sultan Idris buku Sejarah Kesusasteraan Melayu 1, 2 dan 3 kajiannya menjadi teks pengajian Sejarah Sastera kami. Beliau amat prolifik menterjemahkan Riwayat Hidup Abraham Lincoln, Roman Setia itu Jaya, Cinta Itu Bahaya dan Kenang-kenangan Selangor.

Cintanya terhadap bidang karang-mengarang sama bangkit dengan cintanya terhadap sejarah dan cerita-cerita klasik. Beliau yakin bahawa tanpa buku-buku sejarah lama dan karya pujangga lama tentulah akan goyah pegangan seseorang penulis Melayu. Cinta terhadap bangsa, bangsa Melayu dan akar budayanya tertanam teguh dalam jiwanya. Dengan begitu ikut mekar minatnya kepada politik tanah watan dan bangsanya. Abdul Samad Ahmad dilahirkan di Bukit Raja, Klang Selangor pada 14 November 1913. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Port Swettenham (Pelabuhan Klang) dan seterusnya ke sekolah Inggeris ACS, Klang. Pada tahun 1932 Abdul Samad menyambung persekolahan di High School Klang hingga lulus Junior Cambridge. Satu kelebihan tokoh yang meminati sejarah dan politik tanah air ini beliau juga meminati seni muzik dan sempat mengikuti rombongan bangsawan menjelajah pelosok tanah Semenanjung.

Sejak kecil lagi Abdul Samad suka membaca, habislah buku-buku dan akhbar langganan ayahnya seorang forest ranger (merinyu hutan) dibacanya. Beliau pernah bekerja sebagai wartawan akhbar Majlis di bawah asuhan Abdul Rahim Kajai. “Aku mesti menjadi pengarang sepenuh waktu,” itulah yang menjadi cita-cita utamanya, bukan sebagai wartawan.

Beliau meninggalkan lapangan itu dan menumpukan perhatian kepada bakatnya, menulis dan mengarang roman sejarah. Bagi mencapai cita-citanya itu Abdul Samad menyewa New Klang Press milik keluarga Diraja Selangor. Tetapi kemudian sewaannya itu hanya sampai bulan keempat sahaja.

Seorang India berjaya membeli percetakan itu. Bagi mengisi masa lapang beliau kembali bersama kumpulan bangsawan menuliskan cerita-cerita bangsawan yang ada akar sejarah Melayu. Beliau sendiri ikut menjadi pengarah kepada pementasan itu. Tentu sahaja ada mesej politik kemelayuan disisipkan ke dalam pementasannya itu.

Pada suatu hari tokoh politik Kesatuan Melayu Muda (KMM), Ibrahim Haji Yaakub menemuinya. “Majlis dah tutup, kini kita mahu terbitkan Perubahan Baru, mahukah Bung menjadi pengarangnya?” Abdul Samad yang ikut mendidih terhadap tindak tanduk penjajah Inggeris menerima pelawaan itu. Dia menulis 38 siri `Sahabat Bahagia’ untuk siaran Perubahan Baru. Inggeris menangkapnya pada 16 Disember 1941 bersama tokoh lain Ibrahim Yaakub, Ishak Haji Muhammad dan Muhammad Salehuddin.

Mereka dikenali sebagai nasionalis kiri Melayu yang mahu memerdekakan Malaya dengan bersatu dengan Indonesia. Abdul Samad ditahan di Penjara Pudu, dipindahkan ke Morib dan kemudian dibawa ke Penjara Changi Singapura. Di situ dia bersama dengan Ahmad Boestamam dan Shamsuddin Salleh. Apabila dibebaskan, Abdul Samad memasuki barisan pengarang Berita Malai. Di Berita Malai khidmatnya singkat, dia bertekad mahu kembali ke Klang dan meneruskan cita-citanya menulis karya-karya baharu. Semangat yang ulet, pengalamannya dan kejituan cintanya kepada Alif Ba Ta menjadikan Syed Nasir Ismail mengambilnya menjadi pengarang (dan penasihat) di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cintanya terhadap bangsa Melayu diabadikan dalam novelnya Tak Melayu Hilang Di Dunia (1950). Bangun dan jatuh Melayu dalam politik diramalnya dalam Zaman Gerhana (1976).

Kemudian menyusul Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu 1979), Hikayat Amir Hamzah (1987). Beliau menerima Ahli Mangku Negara (AMN) (1964), Anugerah Budayawan Negara (1967), Ijazah Kehormat Sarjana Sastera Universiti Kebangsaan Malaysia (1980).

Beliau bersara daripada DBP pada 1979. Waktu menjadi Penulis Tamu beliau menulis Zaman Gerhana. Dadanya sentiasa bergelora menyalakan obor cinta terhadap Alif Ba Ta. Akar kemelayuan itu tidak pernah pudar dan patah. Abdul Samad Ahmad, nasionalis tulen yang sukar ditandingi!