Mengikut pengalaman juara program Masterchef Selebriti Malaysia 2012 itu, ketika berkunjung ke pusat beli-belah tersebut, isterinya berdepan dengan situasi sukar apabila terpaksa menukar lampin anaknya kerana sudah ‘bocor’. Lalu beliau bergegas mencari tandas. Yang paling dekat adalah tandas bertanda Premier yang memerlukan bayaran masuk RM2.

Namun, pengurus wanita yang menjaga pintu tandas di situ dengan bongkaknya tidak membenarkan isterinya menggunakan tandas itu untuk menukar lampin bayi dengan alasan bau najis bayi akan menyebabkan tandas eksklusif berkenaan akan berbau busuk dan ia boleh mengundang kemarahan pelanggan lain.

Walaupun mereka berjanji akan memasukkan lampin ke dalam plastik yang sudah sedia dibawa dan akan buang di luar, pengurus wanita tersebut tetap berkeras tidak membenarkan mereka menggunakan tandas itu.

“Pergi ke tandas tingkat 2, di situ tandas percuma, najis bayi bau busuk, nanti customer (pelanggan) lain tak nak masuk tandas ni!” tengking pengurus itu.

Bukan soal tidak mahu pergi ke tandas lain atau tidak mampu membayar bayaran sebanyak itu. Tetapi, kata Fazley, keadaan sudah kritikal. Dengan lampin sudah bocor, amat sukar untuk berjalan jauh ke tingkat atas dan terpaksa melalui ramai orang yang mungkin tidak selesa melihatnya.

Cerita Fazley lagi, pengurus wanita itu tetap tidak membenarkan seorang ibu dan bayi berumur lapan bulan untuk menukar lampin dengan alasan “nanti tandas busuk!”

Cekmek Molek amat hairan jika soal bau menjadi ukuran, adakah najis orang dewasa yang menggunakan tandas eksklusif itu akan berbau wangi semerbak bunga ­lavender atau buah strawberi?

Fazley sempat bertanya kepada wanita berkenaan, adakah memang menjadi undang-undang di pusat beli-belah itu untuk tidak membenarkan mana-mana pelanggan menukar lampin anak di tandas mereka walaupun di saat kecemasan. Pengurus wanita itu mengiyakannya.

Difahamkan, selepas tularnya kisah Fazley ini, pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit telah pun meminta maaf. Mereka menafikan ada undang-undang yang melarang bayi menukar lampin di tandas mereka. Kesilapan adalah daripada pihak mereka kerana tidak menggunakan budi bicara apabila berhadapan dengan situasi kecemasan seperti itu. Pihaknya tidak pernah mendiskriminasikan ibu dan bayi di dalam apa jua keadaan. Kejadian yang berlaku itu, adalah kecuaian mereka dalam memberikan latihan terhadap pengurus wanita tersebut.

Pengalaman Fazley itu mungkin turut dialami pelanggan lain sebelum ini. Tetapi mungkin tidak pernah didedahkan kerana yang mengalami itu bukan seorang bertaraf orang ternama. Hanya dalam kalangan rakyat biasa.

Isunya di sini bukanlah soal tandas bertaraf lima bintang atau sejauh mana prihatinnya sesebuah pusat beli-belah menyediakan kemudahan ‘mesra bayi dan ibu’. Soalnya, di manakah letaknya budi bahasa seorang wanita terhadap wanita lain ketika dalam kecemasan lebih-lebih lagi jika ada bersamanya seorang bayi?

Kisah ini mungkin antara beribu contoh situasi lain yang menunjukkan sikap kurangnya budi bahasa masyarakat kita. Alasan yang sering digunakan adalah terpaksa mengikut peraturan. Cubalah letakkan diri sendiri di tempat orang lain yang sedang mengalami kesusahan. Jika masing-masing boleh berbudi bahasa, memahami masalah orang lain, pastinya tidak timbul perkara sebegini. Walaupun peraturan menetapkan sebegitu atau melaksanakan tugas demi menurut perintah, tidak salah mengorbankan peraturan itu demi kebaikan semua pihak.

Perkara itu turut dianjurkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. (Hadis riwayat al-Bukhari).