Meskipun demikian, Pascal amat menentang sain­tisme, atau kepercayaan bahawa kaedah sains harus diguna pakai untuk semua bentuk ilmu. Saintisme juga percaya satu masa nanti sains akan menyelesaikan apa juga masalah manusia.

Pada hemat Pascal, untuk terselamat daripada sain­tisme, kita perlu menghargai dua aspek asasi kecerdasan: kecerdasan geometrik (esprit géométrique) dan kecerdasan rasa-hati (esprit de finesse). Keseimbangan harus sentiasa dipelihara antara dua arah bertentangan akal manusia.

Dalam kesarjanaan Islam, seperti yang dirumuskan oleh Ibn al-‘Arabi, al-Sha‘rani dan al-Zabidi, terdapat tiga tertib ilmu, yang diistilahkan ilm al-‘aql, ilm al-ahwal, dan ilm al-asrar.

Tertib ilmu yang pertama, ilmu akal adalah apa jua ilmu yang diperoleh sama ada secara naluri atau melalui proses berfikir.

Ilmu yang diperoleh secara naluri merujuk kepada asas bagi semua proses berfikir, seperti hukum bukan-percanggahan dalam logik (principle of non-contradiction). Ia juga merujuk kepada maklumat yang swaketara atau aksiom, yang tidak dapat disangkal, contohnya - 1 adalah separuh daripada 2.

Dalam hal ilmu yang diperoleh melalui proses berfikir, maklumat diraih melalui penyelidikan akliah terhadap dalil atau keterangan, dengan syarat dia memahami petunjuk dalil berkenaan. Penekanan ilmu akal adalah kepada proses berfikir secara diskursif, yang menyelidik dan menyimpulkan sesuatu secara logikal. Oleh kerana kesalahan dan kekeliruan juga boleh berlaku, sebahagian dugaan akal adalah sahih dan sebahagian yang lain tidak sah atau fasid.

Tertib yang kedua dipanggil ilm al-ahwal, yang diperoleh dengan merasai atau mengecapi hal atau keadaan sesuatu. Contohnya, kemanisan madu, kepahitan jadam, kelazatan bersanggama, keasyikan cinta, dalamnya kasih, dan gelora rindu.

Ilmu tentang perkara-perkara tersebut hanya boleh diraih dengan mengecap atau merasa atau mengalaminya langsung secara tahqiq. Tanpa merasainya secara langsung, tidak mungkin dapat meraih ilmu tersebut. Secerdas mana pun seseorang itu, dia tidak akan dapat meraih ilmu tersebut semata-mata menerusi definisi atau dengan menyusun dalil-dalil fikiran.

Hakikat bahawa ilmu ini dirasai dan dialami secara langsung menutup kemungkinan untuk ia dipindahkan melalui nukilan perkataan, laporan lisan atau perbincangan panjang berjela. Tidak mungkin untuk orang yang merasainya menjadikan orang lain yang tidak merasai untuk mengalami ilmu yang sama.

Kalaupun ilmu ini perlu diajar kepada orang lain, cukuplah mengungkapkannya secara “peribaratan isyarat” yang membayangkan maksud sebenar orang yang merasai dan mengecapinya.

Kesalahan dan kekeliruan ilmu ini dalam kalangan ahl al-zawq tergambar dalam keadaan seseorang yang lidahnya dipenuhi hempedu, hingga dia merasai madu pahit rasanya, sedangkan hakikat sebenar bukan sedemikian. Apa yang sebenarnya menyentuh lidah (alat perasa jasmani) adalah hempedu dan bukan madu.

Tertib ketiga ilmu digelar ilm al-asrar iaitu ilmu yang rahsia yang dizahirkan oleh Allah ke dalam hati seseorang Nabi dan wali.

Justeru, ilmu ini melampaui batas ilmu yang diperoleh melalui dugaan fikiran. Ini adalah ilmu yang menurut Nabi Muhammad dihembuskan melalui roh al-Quds (iaitu Malaikat Jibril) dalam hati. Inilah ilmu yang khusus bagi para nabi dan wali yang tulen, seperti firman-Nya- “(Allah) menentukan kurnia rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah mempunyai anugerah yang maha besar” (Ali ‘Imran, 5:34).

Contoh kurnia rahmat Allah yang maha besar khusus kepada para wali adalah yang dianugerahkan-Nya kepada wali dalam kalangan umat Nabi Sulaiman: “Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada al-Kitab [al-Taurat], ‘Aku akan membawa singgahsana itu ke­padamu (dari Yaman ke Baitul Maqdis) sebelum matamu berkedip” (al-Naml, 27:40).

Tiga contoh ilmu asrar adalah pernyataan metafizik oleh Rasulullah, “Dahulu Allah, dan tiada suatu serta-Nya pun”; pernyataan Rasulullah mengenai hari Kebangkitan yang kolam airnya lebih manis daripada madu; dan khabar daripada Tuhan kepada Rasulullah mengenai hakikat syurga dan isinya.

Mereka yang arif tentang ilm al-asrar, para nabi, dan para aulia’, adalah golongan yang berpandangan jauh dan bijaksana (hukama’) yang arif tentang segala ilmu dan memahaminya secara yang menyeluruh, seperti ilmu-ilmu ilahiyyat, sains tabii, matematik dan mantik. Justeru, menurut Ibn al-‘Arabi: “Tidak ada ilmu yang lebih mulia daripada ilmu yang serba mencakupi yang mengandung segenap ma‘lumat (al-hawi ‘ala jami‘ al-ma‘lumat).”

PENULIS ialah Felo Utama/Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).