Soal ini kembali hangat apabila ada pihak mencadangkan GLC diswastakan, sekali gus tidak terlibat lagi merealisasikan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PPEB).

Berikut adalah inti pati perbincangan isu itu dalam Forum Khas Majlis Perundingan Melayu (MPM) bertemakan ‘Jangan Bergantung Kepada GLC, GLIC & PEA’ di Kuala Lumpur pada Rabu lalu yang disertai wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM. 

Ahli panel ialah salah seorang arkitek DEB, DR. RAIS SANIMAN dan Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn. Bhd, DATUK JASMAY MD. SHAH serta moderator, Setiausaha Agung MPM, DATUK DR. HASAN MAD.

PENERAJU MESTI ADA ROH MELAYU

GLC, GLIC dan PEA seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Risda, Felcra semua ini masih dan amat relevan untuk menjayakan agenda ekonomi bumiputera.

Cuma kita nak betulkan balik adalah sesiapa sahaja yang kerajaan nak letak dari segi kepemimpinan dan pengurusan syarikat itu mesti ada roh Melayu. Kita bukan kata semua (tiada roh Melayu), kerana ada sesetengah GLC sangat bagus (membantu bumiputera) seperti Petronas, cuma ada dua tiga juga yang nakal sikit.

Saya harap kepemimpinan kerajaan sekarang khususnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat balik agenda bumiputera dalam DEB yang sebenarnya lebih memberi tumpuan dari segi pelaksanaan.

Kalau kita tengok buku DEB, tiada perkataan bumiputera pun. Fokusnya adalah membasmi kemiskinan dan menguncupkan perbezaan ekonomi. Tetapi dari pelaksanaan, bumiputera yang ditolong kerana paling ketinggalan adalah golongan itu.

Kita sekarang ini terlampau banyak shouting (menjerit) agenda bumiputera tetapi pelaksanaan tidak ke mana.

Misalnya tujuh bidang utama PPEB yang dilancarkan pada 2013 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dari segi pelaksanaan tiada dan hanya bersifat kosmetik.

Sekarang ini kita nak, jangan menjerit banyak mengenai agenda bumiputera sebaliknya utamakan dari segi pelaksanaan. Orang yang nak melaksanakan, kita kena tahu betul-betul.

Menyentuh mengenai pelaksanaan, MPM telah mewujudkan 20 kluster ekonomi dan kita mahu setiap kluster ini mempunyai penyertaan daripada GLC, GLIC dan PEA.

Kita juga akan menghantar memorandum hasil perbincangan forum khas ini kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

MELAYU/BUMIPUTERA WARGANEGARA KELAS KETIGA

Selepas lebih 60 tahun merdeka, Melayu masih lagi ketinggalan dalam setiap aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Jadi Melayu/bumiputera masih menjadi warganegara kelas ketiga di negara sendiri.

Salah satu kaedah di bawah DEB untuk membolehkan bumiputera terlibat dalam ekonomi Malaysia yang moden adalah untuk mewujudkan kelas komersial dan industri Melayu. Caranya adalah dengan mewujudkan GLC. Konsep GLC yang pertama adalah dalam bentuk perbadanan kemajuan negeri (SDC). Selepas itu barulah diwujudkan Khazanah dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Konsep GLC ini adalah tidak salah. Ia sama seperti konsep zaibatsu di Jepun, chaebol di Korea Selatan dan GLC di China. GLC diperlukan dalam pembangunan ekonomi seperti di Korea Selatan dan Jepun.

Konsep GLC ini telah berjaya di Korea Selatan serta Jepun dan sekarang di China. Di Malaysia GLC tidak menunjukkan prestasi seperti yang dijangkakan, ada sesetengah yang berjaya dan ada sebilangan yang gagal. Jadi ideanya bukanlah untuk menghapuskan GLC tetapi untuk meneruskan GLC kerana kegagalan berpunca daripada masalah pengurusan kerana diuruskan oleh ahli politik dan bekas ahli politik.

Oleh itu, kita kena kembali kepada objektif asal GLC untuk membangunkan syarikat dan membangunkan kelas komersial dan industri Melayu. Saya cadangkan kepada kerajaan untuk melakukan kajian menyeluruh mengenai keadaan GLC sekarang untuk melihat kekuatan dan kelemahan bagi mewujudkan GLC lebih moden yang dapat membantu orang Melayu terlibat dalam sektor ekonomi moden seperti Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Kelima (IR 5.0) dan robotik.

Kita juga perlu memastikan GLC cekap dan berdaya saing serta diuruskan oleh profesional dan bukan ahli politik.

PERUBAHAN DASAR TEKAN SYARIKAT BUMIPUTERA

Saya mempunyai pengalaman lebih 20 tahun di Bank Pembangunan bagi membina dan mewujudkan usahawan bumiputera. Kita lihat menjelang akhir 1980-an dan awal 1990-an, budak-budak Melayu mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Pada akhir 1980-an, kita lihat kerajaan melalui Kementerian Kewangan, ia benar-benar ada sedikit roh untuk membantu usahawan bumiputera kalau dibandingkan dengan sekarang.

Kalau dulu semua kontrak kerajaan disalurkan kepada satu atau dua agensi untuk menguruskannya dan mengagihkan kontrak. Sebab itu Bank Pembangunan mewujudkan Besta Corporation Sdn. Bhd. (Besta) pada 1982. Besta bukannya sebuah syarikat untuk mendapatkan keuntungan sebaliknya supaya ia boleh menguruskan semua kontrak pengedaran makanan dan minuman di bawah Kementerian Kewangan.

Jadi Besta akan mengenal pasti sya­rikat bumiputera di seluruh negara, pada ketika itu kita mempunyai 60 syarikat bumiputera. Syarikat-syarikat berjaya seperti Jalen Sdn. Bhd. adalah bermula daripada kontrak kerajaan. Tetapi malangnya, polisi dan dasar kerajaan berubah.

Perubahan itu secara tidak langsung telah memberi tekanan kepada syarikat-syarikat bumiputera termasuk Besta apabila kerajaan swastakan dapur-dapur Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Secara automatik, pasaran untuk 60 vendor ini sudah hilang apabila syarikat baharu yang mendapat konsesi itu tidak mengagihkan kepada syarikat-syarikat bumiputera.

Bagi saya membantu usahawan bumiputera oleh kerajaan tidak mempunyai noktah, ia kena dijalankan secara berterusan.