Kekurangan tenaga kerja manusia akibat kadar kelahiran yang rendah dan majoriti penduduk terdiri daripada kelompok warga emas, menuntut negara matahari terbit ini untuk mendapatkan khidmat robot bagi mengendalikan jutaan peminat dan penganjur sukan terbesar di dunia ini.

Malah jangan terkejut jika sepanjang berlangsungnya temasya sukan ini yang bermula pada 24 Julai sehingga 9 Ogos tahun depan, para peminat dan pelancong akan disambut dengan deretan robot yang sentiasa berkeliaran sama ada di stesen-stesen kereta api atau di lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo.

Di stesen-stesen kereta api bawah tanah, Tokyo telahpun memperkenalkan robot bernama Arisa untuk membantu pelancong asing dan pengguna kereta api mendapatkan arah yang betul dan tandas di sekitar kawasan stesen itu semasa berlangsungnya sukan berkenaan.

Robot `perempuan’ bermata besar dengan ketinggian 182.8 sentimeter dilengkapi monitor skrin sentuh bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Jepun malah bahasa Inggeris, Korea dan Cina.

Selain memberitahu lokasi tarikan pelancongan di ibu kota itu, Arisa yang peramah tidak keberatan untuk berswafoto jika diminta oleh pelancong.

Dibangunkan oleh syarikat teknologi Jepun, Aruze Gaming dan THK, Arisa telah mula membuatkan penduduk Tokyo `jatuh hati’ kerana perkhidmatan yang pantas dan mudah.

Bagaimanapun pemantauan dan kajian terhadap Arisa masih berterusan untuk melihat sejauh mana keberkesanannya membantu pelancong selain meluaskan perkhidmatannya di beberapa lokasi stesen kereta api bawah tanah yang lain.

Selain Arisa, robot bernama, Perseusbot, nama yang diambil sempena nama wira mitos Greek, Perseus juga dijangka menjadi tarikan peminat sukan di negara ini.

Perseusbot mampu mengesan dan membuat laporan tentang individu dan objek yang mencurigakan di stesen-stesen kereta api selain mengurangkan bebanan tugas kakitangan stesen terlibat.

Robot berketinggian 167.5 sentimeter itu mampu mengelak sebarang halangan semasa meronda menggunakan jubin braille dan memberi amaran terus kepada telefon bimbit kakitangan stesen jika mengesan sebarang objek terbiar dalam tempoh yang lama.

Perseusbot juga boleh mengesan pergerakan penumpang yang berpotensi melakukan tindakan agresif seperti menggenggam tangan seperti hendak memulakan pergaduhan.

Robot tersebut yang dibangunkan antaranya oleh Institut Penyelidikan Teknologi Industri Metropolitan Tokyo, Seibu Railway Co. telahpun menjalani ujian di stesen Seibu Shinjuku, Tokyo pada November tahun lalu.

Sepanjang tahun lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda telah menyaksikan beberapa siri ujian robot untuk memastikan sama ada penggunaan robot dapat melancarkan perkhidmatan ketika temasya sukan itu.

Awal tahun lalu beberapa robot telah diuji di tiga lokasi lapangan terbang ini iaitu bahagian logistik, penterjemahan dan keselamatan yang terletak di balai berlepas Terminal 1.

Antara robot yang diuji termasuklah Reborg-X iaitu robot untuk menjaga keselamatan yang telahpun beroperasi di sembilan muzium dan pusat beli belah.

Robot ini mampu berhenti serta merta untuk mengelak pelanggaran atau kemalangan atau bertembung dengan manusia atau objek.

Pada waktu siang robot ini bertindak sebagai pemandu arah kepada pelancong manakala pada waktu petang, tugasnya adalah menjadi pengawal dengan memantau menggunakan teknologi pengesanan penceroboh.

Di bahagian logistik pula, dua robot berbentuk kotak OTTO 100 dan OTTO 1500 berkhidmat untuk membawa bagasi berat manakala robot Relay, berbentuk silinder, bertugas untuk membawa barangan kecil yang dimasukkan ke dalam silinder.

Secara tradisi Jepun sering menggunakan statusnya sebagai tuan rumah sukan Olimpik untuk mempamerkan teknologi termaju dan tercanggih yang dimiliki.

Namun kali ini pengunjung bukan sahaja akan berkenalan dengan produk teknologi tersebut malah akan menyaksikan lebih ramai pelancong dan peminat sukan berkomunikasi dengan mesin berbanding dengan manusia.

Kali terakhir Jepun menjadi tuan rumah sukan Olimpik musim panas ialah pada 1964 diikuti sukan Olimpik musim sejuk pada 1972 dan 1998 dan kali ini bagi memastikan temasya sukan mencapai matlamatnya, Jepun telah memperuntukkan 400 bilion yen (RM15 bilion) khusus untuk kos penganjuran.