Waktu itu pantang dengar ada ‘yang tidak kena’ dengan kerajaan (terdahulu), cepat saja Maria Chin ‘mengaum’.

Mengetuai Bersih 2.0 sebagai pengerusi, Maria Chin sentiasa menjadi bahan berita dengan kejayaan mengatur ribuan orang dalam demonstrasi jalanan di ibu negara yang mendapat perhatian rakyat tempatan dan lensa antarabangsa.

Kemudian secara tiba-tiba Ma­­ria Chin mengambil tindakan drastik menyahut cabaran politik bertanding di kerusi Parlimen Petaling Jaya. Dan barangkali atas faktor ketelusan, kejujuran dan kesungguhan beliau mahu menegakkan keadilan demi ‘membuang kerajaan kleptokrasi’ yang dibuktikan ketika mengendalikan himpunan Bersih, sebahagian besar pengundi membalasnya de­ngan memenangkan beliau.

Maria Chin menang dalam jumlah undi yang bukan sedikit, 78,984 - angka yang mengujakan buat pendatang baharu sepertinya.

Tetapi mengapa Maria Chin menyepi setelah menjadi ahli Parlimen dalam memperjuangkan isu-isu yang berkepentingan rakyat dalam pentadbiran Malaysia Baharu hari ini.

Banyak isu yang berlegar di depan matanya yang diyakini kalaulah kerajaan terdahulu me­lakukannya, pasti Maria Chin teruja untuk turun ke jalanan. Sebagai pemimpin yang mempertahankan prinsip ‘berani kerana benar’, Maria Chin sepatutnya tidak takut untuk menyuarakan kebenaran.

Tapi mengapa sepi tanpa berita? Sepatutnya bukan sahaja Maria Chin, bahkan seluruh mereka yang pernah berjuang untuk menegakkan demokrasi sebelum PRU-14 tempoh hari - yang kini ada yang berjawatan menteri pun - menyingsing lengan mempertahankan rule of law atau kedaulatan undang-undang hari ini.

Jika dahulu kalau nak jadi calon pembangkang atau Pakatan Harapan, bakal calon mesti agresif menghentam kerajaan. Tiada fakta dalam cercaan itu tak apa, asalkan lantang. Lagi celopar berapi-api, lagi naiklah graf ‘Petunjuk Prestasi Utama’ (KPI).

Maka hari ini buktikanlah tanggapan itu salah. Apabila kita menegakkan yang hak, maka secara semula jadinya yang batil akan lenyap.

“Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu sendiri mengetahuinya.” (Al-Baqarah II: 42).

Suatu ketika Maria Chin sudah membuktikan ‘kelayakannya’ dengan dipanggil ke sana sini oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung penganjuran himpunan haram sehinggakan tiada masa untuk uruskan diri sendiri.

Jika kejayaan himpunan Bersih dinilai dengan jatuhnya kerajaan terdahulu atas prinsip memperjuangkan kebenaran, Maria Chin juga harus bersuara hari ini khususnya dalam mempertahankan rule of law yang menjadi buah mulut rakyat hari ini.

Bahkan, bukan sahaja Maria Chin tetapi Datuk S. Ambiga juga yang kebetulan seorang peguam dan aktif dalam mengetuai Bersih untuk bercakap hal ini.

Kalau ikutkan bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Salleh Buang, istilah rule of law bererti semua pihak (rakyat, organisasi serta kerajaan) dalam sebuah negara itu tertakluk kepada undang-undang (yang mesti jelas, diketahui umum dan dikuatkuasakan sepenuhnya), ada sistem kehakiman yang bebas dan mampu menyelesaikan pertikaian secara adil dan terbuka.

Selain itu, ia merangkumi aspek semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dalam mahkamah, tidak ada tangkapan atau pemenjaraan yang arbitrary, tiada harta rakyat boleh diambil secara salah dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah hendaklah padan de­ngan kesalahan yang dilakukan.

Huraian mengenai istilah rule of law yang terbaik dan paling mudah difahami, kata Salleh, terdapat dalam portal World Justice Project, yang mana dinyatakan di situ bahawa rule of law mengan­dungi empat elemen penting iaitu kebertanggungjawaban (accountability), undang-undang yang adil (just laws), kerajaan terbuka (open government) dan penyelesaian pertikaian yang mudah dicapai dan tidak berat sebelah (accessible and impartial dispute resolution).

Agaknya apa kata Maria Chin dan Ambiga? Mahu sahutkah cabaran ini?