Kedua, isu kebersihan dan ketiga, berkaitan pekerja-pekerja atau pelayan di restoran tersebut yang dikatakan tidak membabitkan orang tempatan.

Membuka tirai tahun baharu tahun ini, restoran India Muslim menjadi popular apabila salah seorang pelayannya ditampar oleh seorang lelaki kerana pelayan restoran tersebut menegur pelanggannya yang menghisap rokok selepas larangan merokok dikenakan di premis makan awal tahun ini.

Restoran itu terus menjadi popular apabila status halalnya diragui, menggantung ayat-ayat suci al-Quran di lokasi-lokasi tertentu, Inilah antara masalah yang sering kali kita dengar sekurang-kurangnya setahun dua kali berkenaan status halal premis makanan restoran India Muslim.

Penulis pernah berbuka puasa beberapa kali di restoran India Muslim. Ketika sampai waktu berbuka puasa, tidak semua pekerjanya berbuka puasa. Memang ada sebuah meja diperuntukkan kepada pekerjanya berbuka puasa lengkap dengan hidangan makanan dan minuman. Tetapi jika terdapat 10 pekerja di restoran tersebut, tiga atau empat orang sahaja yang berbuka puasa. Selebihnya sibuk membasuh pinggan, mengemas itu ini dan melakukan pelbagai kerja lain. Ini memperlihatkan mereka tidak berpuasa.

Dalam fikiran pengunjung restoran, sudah tentu memikirkan betapa tidak semua restoran India Muslim dikendalikan oleh orang Islam sepenuhnya.

Keadaan menjadi lebih buruk jika terdapat ayat-ayat al-Quran digantung di sana-sini sebagai daya penarik penting pengunjung menjamu selera di restoran tersebut. Status halal juga diragui terutamanya bahan-bahan yang dimasak sebagai hidangan itu adalah dari sumber yang halal, cara yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau sebaliknya.

Di kawasan-kawasan bandar, restoran India Muslim dapat menarik perhatian dan kedatangan pengunjung disebabkan pelbagai faktor. Antaranya layanan yang baik, perkhidmatan yang cepat dan banyak pilihan minuman dan makanan. Selain itu, bagi ‘kaki bola’ mereka boleh menjadikan restoran India Muslim sebagai tempat untuk menonton perlawanan-perlawanan bola sepak peringkat dunia kerana ada skrin besar disediakan.

Tidak hairanlah, dari Johor Bahru hinggalah ke utara tanah air, restoran India Muslim mendapat sambutan menggalakkan.

Kedai-kedai makan orang tempatan pula lebih tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar tetapi di bandar boleh dibilang dengan jari. Malah, kedai-kedai makan di negara kita pula dikuasai oleh warga selatan Thailand dengan menyajikan makanan segera.

Pokoknya, di mana orang kita berniaga? Apakah yang perlu dilakukan untuk menghidupkan restoran milik orang tempatan di kawasan padat penduduk supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan restoran lain?

Kita bukanlah hendak memboikot restoran India Muslim dan juga restoran tomyam dikendalikan orang luar. Tetapi setidak-tidaknya usaha untuk melonjakkan warga tempatan dalam bidang makanan perlu dilakukan kerana bidang ini menyumbang pendapatan yang sangat tinggi.