Untuk mencapainya, kita perlu memikirkan dan mereka bentuk semula ekosistem pendidikan dan latihan secara menyeluruh untuk menghasilkan perspektif yang akan membentuk masa depan baharu untuk negara.

Ancaman terdekat kepada usaha ini adalah mengguna pakai piawai yang ditetapkan pihak asing semata-mata untuk mengejar status.

Inilah yang sebenarnya mengancam kemajuan kita kerana ia mengehadkan sumber-sumber sedia ada dan menyekat kepintaran kita untuk menangani isu-isu unik tentang negara dan budaya kita.

Penyenaraian universiti dalam ranking global adalah contoh paling jelas menunjukkan agenda institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia semakin terpesong dalam mengejar status atau label world class yang sebenarnya lebih menyekat kebolehan mereka untuk menawarkan persekitaran pendidikan terbaik untuk pelajar-pelajar mereka.

Sistem ranking global mula menular pada 2003 dan kini terdapat 17 agensi ranking berbeza yang hampir semuanya diusahakan secara komersial. Hanya tujuh peratus daripada agensi-agensi itu dikendali sektor awam.

Kayu ukur utama untuk menilai kualiti dalam kaedah penyenaraian ranking adalah mengambil kira prestasi penyelidikan. Tiga agensi ranking global utama ialah Times Higher Education (THE), Quacquarelli Symonds (QS), dan Shanghai Jiao Tong (ARWU).

Menurut Higher Education Policy Institute UK, lebih 85 peratus penilaian dalam ranking THE dan QS serta 100 peratus ranking ARWU berhubung kait dengan penyelidikan secara langsung atau tidak. Kebanyakan institusi sepatutnya memberi penekanan kepada pelajar dan sistem ranking yang tidak mengambil kira faktor ini tidak boleh seperti lazimnya, memartabatkan sesebuah institusi sebagai yang ‘terbaik’.

Pelbagai persoalan kini disuarakan pakar-pakar yang mengkaji metodologi digunakan agensi-agensi ranking ini. Kami turut berkongsi kebimbangan mereka kerana percaya adalah jauh lebih baik sekiranya kita menggunakan petunjuk yang selari dengan objektif-objektif sosial dan ekonomi negara dan bukannya dipilih organisasi-organisasi komersial untuk agenda mereka sendiri.

Apa yang benar-benar kita perlukan sekarang adalah membangunkan kecekapan untuk menjana visi yang membawa perubahan, membentuk budaya nasional berteraskan empati, membudayakan daya kreatif dan mengutamakan dasar-dasar yang dapat membantu meluaskan kapasiti Malaysia untuk maju dan berdaya saing mengikut cara dan kehendak kita sendiri.

PROF. EMERITUS TAN SRI DR. LIM KOK WING ialah Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing.