Terkini apabila dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC diberitakan berhajat untuk menubuhkan pakatan baharu kerana hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN).

Maka boleh dipersoalkan apakah keputusan itu dibuat berdasarkan fakta atau emosi semata-mata jika dihitung suasana politik semasa.

Begitu juga kerjasama politik di antara dua parti iaitu UMNO dan Pas yang sinonim dengan perjuangan mempertahankan kepentingan agama dan bangsa yang sudah menghampiri kemuncaknya.

Ia tercetus bukan kerana kebetulan tetapi salah satu pemangkinnya adalah perancangan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.

Sebaik sahaja UMNO kehilangan Putrajaya manakala Pas pula merampas Terengganu dan mengekalkan Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU- 14) 10 bulan lepas, tidak terfikir akan wujud kerjasama politik kerana perseteruan kedua-dua parti terlalu lama dan dalam.

Pada ketika itu UMNO bercelaru kerana buat pertama kali selepas enam dekad parti itu tidak berada dalam kerajaan pemerintah.

Manakala Pas pula bagaikan diberi semangat baharu kerana sebelum berlangsungnya PRU-14 ramai yang meramalkan Pas akan tewas teruk. Tidak terlintas akan wujudnya persefahaman kedua-dua parti ini kerana kejutan keputusan PRU-14 menyebabkan sukar untuk kedua-dua parti ini bekerjasama.

Tetapi hakikatnya adalah jika keputusan PRU-14 yang begitu jelas mempamerkan kecenderungan pengundi, secara logiknya UMNO dan Pas sepatutnya bekerjasama.

Tetapi ia sukar dilaksanakan walaupun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO diketahui kecenderungan beliau untuk berunding dengan Pas.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sg. Kandis pada Ogos dan diikuti pula PRK Seri Setia pada September 2018 adalah bibit-bibit awal kerjasama dengan persetujuan tidak berlaku pertembungan calon.

Strategi kerjasama ini tidak mencapai hasrat diharapkan kerana gagal merampas kedua-dua kerusi tersebut.

BERANI BUAT KEPUTUSAN

Bermula dari kegagalan kedua-dua PRK ini membuatkan Ahmad Zahid menerima tentangan dalaman berkait kepimpinan beliau yang turut melibatkan gerakan kerjasama beliau dengan Pas.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO antara lain menggunakan alasan tidak puas hati dengan kepimpinan Ahmad Zahid adalah antara tamparan yang terpaksa dihadapi oleh Presiden UMNO itu.

Ekoran dari enam Ahli Parlimen UMNO yang mengumumkan keluar parti pada Disember lepas dan tekanan dalaman telah memaksa Ahmad Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Ramai yang menjangkakan akan berlaku perubahan dasar terutama sekali melibatkan kerjasama dengan Pas apabila Ahmad Zahid berundur.

Tetapi dasar tersebut bukan sahaja diteruskan oleh Tok Mat tetapi diperkuatkan lagi.

Hasilnya adalah keputusan PRK Cameron Highlands dan Semenyih jelas mempamerkan manfaat kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.

Gagalnya kerjasama di PRK Sg. Kandis, Seri Setia dan juga Port Dickson berkemungkinan kerana masih ujud sikap was-was dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.

Tetapi pada ketika ini bukan sahaja ahli kedua-dua parti itu dapat menghayati manfaat kerjasama politik tetapi mereka yang berada di luar lingkungan kepartian juga merasai kepentingannya.

Sebab itu dihujahkan pemimpin parti politik perlu berani membuat keputusan walaupun mengetahui keputusan yang dibuat pada awalnya akan mendapat tentangan.

Pemimpin yang pintar juga perlu mengetepikan emosi dan agenda peribadi ketika membuat keputusan bersangkut paut dengan parti kerana agak mudah untuk menentukan kesan jangka pendek tetapi kesan jangka masa panjang memerlukan kekuatan yang agak luar biasa.

Jika Ahmad Zahid mengambil keputusan untuk tidak tunduk kepada tekanan dalaman demi untuk mengekalkan penguasaan parti melalui jawatan presiden, besar kemungkinan keputusan PRK Cameron Highlands dan Semenyih akan berlaku sebaliknya.

Ramai juga beranggapan ujian sebenar kerjasama UMNO dan Pas adalah di PRK Rantau dan begitu ironis sekali kemungkinan besar Tok Mat yang meneruskan usaha kerjasama yang dimulakan oleh Ahmad Zahid bakal menjadi calon BN yang disokong oleh Pas.