Ya, hari ini Isnin, 4 Februari 2030, hari ketiga daripada sembilan hari cuti berturutan. Minggu Emas dimulai Sabtu, disusuli keesokannya dek Tahun Baharu Cina. Ia kemudiannya bakal diikuti ketibaan 1 Syawal 1451H pada esok hari. Gabungan cuti hujung minggu dan cuti-cuti umum membuatkan kerajaan mengisytiharkan Jumaat, 8 Februari sebagai cuti khas.

Skrin telefon pintarnya disentuh. Imej hologram memaparkan lokasi tren dan baki perjalanan, selain maklumat-maklumat lain. Masih berbaki sejam ke Putrajaya Sentral. Molek benar, bolehlah dihimpunkannya zuhur dan asar sebelum dinaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Kota Singa. Kali ini, Nuh tidak akan bersiar-siar menaiki tren LRT4, kerana hatinya meruntun-runtun untuk bersegera.

Matanya merayapi wajah penghuni gerabak. Masing-masing karam dunia sendiri, lena di alam mimpi, atau khayal di alam maya. Entah mengapa, semakin teknologi berkembang, semakin banyak komunikasi yang dilakukan sesama mesin dan gajet melalui 5G dan Internet of Things (IoT), namun semakin berkuranglah pula interaksi sesama manusia.

Dia menggeleng. Barangkali, dia juga begitu. Maklumlah, Tanah Rimau terlalu pesat pembangunannya sehingga mungkin terhasilnya ketempangan pembangunan insani. Taraf negara maju sudah dicapai dan segalanya berubah, sehinggakan perkara asas seperti MyKad menjadi saksi. Kad bercip pintar EMV berkapasiti 1 GB makin menghebat! Kad identiti, lesen memandu, kad insurans, rekod kesihatan, laporan kewangan, pasport perjalanan serantau, kad vaksinisasi, laporan pendidikan, kad kredit dan debit, adalah antara fungsinya. Tambahan pula, dengan sokongan NFC nirsentuh gajet-gajet, fungsi RFID MyKad benar-benar mengabsahkan statusnya sebagai `satu kad untuk semua’. Mungkin, penggubal dasar GMPC dan e-Kerajaan tiga dekad lalu akhirnya sudah boleh tersenyum bangga.

* * *

“Hentian seterusnya: Putrajaya Sentral, hab pertukaran laluan transit ringan LRT4, laluan transit massa MRT2, terminal kereta api berkelajuan tinggi, dan depoh bas. Terima kasih kerana menggunakan khidmat Laluan Rel Pantai Timur”.

Nuh tersenyum mendengarnya. Meskipun lebuh raya ditutup kepada kenderaan berat komersial di Minggu Emas ini, ia bukanlah suatu masalah. Tanah Rimau sudah menggunakan sistem kereta api untuk angkutan kargo. Jambatan emas merentas Semenanjung Emas, sepadan!

Tanah ini sudah berpopulasikan 38.06 juta. Sepuluh peratus bukanlah warganegara, dengan 63 peratus daripadanya adalah lelaki. Walaupun kini sekitar 58 peratus warga Tanah Rimau berada pada usia pekerjaan, antara 20 dan 65 tahun, penggunaan tenaga robot dan arus pengurangan tenaga kerja dek Revolusi Industri 4.0 telah berlaku, peliknya, lambakan tenaga asing masih berterusan. Kesannya, syarat pernikahan diperketatkan lagi, dan pemeriksaan rawak identiti semakin kerap. Hampir setiap fasiliti hanya boleh diakses dengan MyKad dan pengesahan biometrik.

Ekonomi semakin baik. Perjanjian pertukaran setara mata wang yang ditandatangani Tanah Rimau bersama dua negara jiran beberapa tahun lalu dijangka bakal mengorak langkah penubuhan mata wang serantau: Massa ASEAN. Khabarnya, ia yang akan diwujudkan sempena jubli platinum ASEAN mampu menjadi kuasa besar Asia Pasifik, cerminan keutuhan mata wang Euro dan Kesatuan Eropah. Namun semuanya tergantung kepada keseimbangan pembangunan pesat negara-negara ahli, serta saling kepercayaan warganya. Ternyata, syarat terakhir itu adalah komoditi yang semakin sukar didapati. Mereka lebih percayakan mesin berbanding manusia.

* * *

Disimpannya barang-barang dalam kompartmen di ruangan kaki. Dia memilih sistem kuncian berasaskan MyKad, biometrik mata, serta kata kunci. Paparan hologram jamnya mengesahkan segalanya teratur. Dari Putrajaya Sentral, HSR akan membawanya terus ke Jurong. Perlu dinaikinya tren MRT Laluan Daerah Jurong di stesen JS6 Jurong West sebelum menukar tren di stesen JS3 Tengah. Dari stesen yang bersebelahan Depot Tengah, perjalanannya bakal diteruskan ke stesen CC25 Haw Par Villa. Kembara ditamatkan di stesen CC28 Telok Blangah dengan tren MRT Laluan Bulatan.

Walaupun bukan warga Kota Singa, Nuh mahir benar laluan kereta api di sana. Dia tersenyum bangga memikirkan pencapaian ayah dan syarikatnya di Temasekpura. Siapa sangka, syarikat bumiputera kelahiran 1981 mampu bertahan dan berterusan membekalkan produk berkualiti dari Batang Benar? Dari sebuah pekan di pinggir konurbasi Kuala Lumpur - MVV2, mereka mendunia sebagai pengilang landasan konkrit dan pendukung simpang laluan kereta api. Sungguh, ini antara epik pembudayaan mod pengangkutan baharu: kereta api!

* * *

Akhirnya Nuh tiba ke lokasinya. Selain Makam Habib Noh di Bukit Palmer, dia dan keluarga pasti ke masjid yang satu ini. Tepat di koordinat 1.2663521° Utara, 103.8242979° Timur, berdirinya sebuah masjid berbentuk oktagon. Meski terletak di seberang tambak, kawasan ini masih mengekalkan ikatan sejarah leluhurnya. Bendera bulan sabit putih bertanah merah, beralaskan biru kerajaan Harimau Selatan kekal mengaum megah di Kota Singa!

Ya, Masjid Temenggong Daeng Ibrahim tetap gah. Meskipun tidaklah sebaharu laluan-laluan keretapi, bangunan yang dinaik taraf sempena ulang tahun jubli perak pembinaannya tetap kekal berseri. Lagipun, jika tiada yang lama, tiadalah yang baharu. Maka Nuh beriltizam hari ini dengan megahnya akan disarung baju Melayu teluk belanga sebelum berbuka, simbol kebijaksanaan bangsa merdeka.

* * *

Seusai solat asar, petir mula sabung-menyabung. Suasana semakin gelap hingga mengelirukan keberadaan mentari dan rembulan. Ahli jawatankuasa masjid berkali-kali menjenguk ke luar, entah apa yang mereka perhatikan. Batang hidung keluarganya juga masih belum kunjung kelihatan.

Dentuman-dentuman yang kuat membuat sebahagian hadirin menutup telinga. Namun lebih ramai yang tidak terkesan, tiada sekelumit pun khuatir impak garangnya alam. Manusia seakan sudah terlalu yakin dengan teknologi. Mutakhir, manusia semakin lupa mereka hanyalah khalifah, pentadbir, dan bukan pemilik mutlak apa- apa pun, waima nyawa mereka.

Runut bunyi alam makin menggusarkan. Walhasil berlakulah gangguan elektrik. Gelap. Sebahagiannya sirna setelah generator dihidupkan. Namun yang peliknya, sistem komunikasi dan jam utama masjid yang terhubung ke Internet hanya berkelip-kelip lumpuh.

Hayat asar semakin ke penghujung menurut jam-jam dan gajet-gajet peribadi hadirin. Itu sahajalah yang mampu diakses, kerana nyata sistem komunikasi lumpuh keseluruhannya. Tiada berita dari kedua-dua belah tambak. Sistem komunikasi dan tenaga Tanah Rimau dan Kota Singa saling terkait. laksana sepasang kembar, bersatu di hati, berpisah di kepala.

Keredaan hadir dengan perlahan buat petir-petir yang menyahcas. Alam nan menggelap. Ramai yang kegelisahan. Dari kejauhan, lampu-lampu kecemasan bernyala, sambil sesekali diiringi bunyi siren. Barangkali ambulan, kemalangan atau pasukan pengaman bertindak bagi memastikan keselamatan.

“Lal, cuba kamu tinjau-tinjau luar. Entah-entah sudah masuk waktu”.

Nuh tidak pasti apakah itu singkatan Bilal, Jalal atau barangkali Bilal Jalal. Butir pemilik suara juga kabur-kabur dijamah cahaya lampu yang dijimatkan daripada generator. Mungkin, itulah ‘imam’.

Ada desas-desus membantah: “Maghrib 7:21 malam, isyak 8:33 malam!”.

Dengan tenang ‘imam’ menjawab, “Tuan-tuan, Puan-puan, kita berbuka, berpuasa, bersolat, bukan mengikut jam, tetapi mengikut ketetapan Tuhan, melalui kitaran matahari dan bulan”.

Dibiarkannya hadam kata-kata sebelum dilanjutkan: “Firman-Nya dalam ayat 187 surah al-Baqarah: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

“Benar, mentari dan rembulan taat patuh kepada-Nya. Pergerakannya mengikut sunnatullah, dan kita pula mengira waktu-waktu solat berdasarkan ilmu falak perjalanan mereka. Tetapi apakah jaminan jam kita tidak rosak? Tidak terawal, dan tidak terlewat?”.

Soalnya, lanjut, “Andai gajetmu sudah azan, namun duduknya matahari mengingkarinya, apakah kamu akan mengingkari hamba Tuhan yang di atas hanya kerana patuh dengan rekaan di bawah?”.

Hadirin terdiam. Benar, jika dibandingkan memang terdapat perbezaan waktu di antara gajet-gajet peribadi. Ada yang lambat, namun banyak yang terlebih awal.

“Ingatlah hadirin pesanan yang dititipkan kalam suci. Dalam surah Yunus, ayat kelima, Allah berfirman yang maksudnya: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”.

Ayat-ayat suci yang dihadirkan membuatkan sebahagian tertunduk. Dalam kegelapan, ada beberapa wajah menyinar dek pantulan cahaya telefon pintar. Barangkali, ada yang cuba mentahkikkannya.

Mata Nuh terang tatkala melihat ‘Lal’ datang membisikkan sesuatu kepada si ‘imam’. Bisikannya diangguk, sebelum ‘Lal’ bergegas keluar.

Sejurus kemudian kedengaranlah bunyi beduk dipalu. Azan maghrib dilaungkan, dan hadirin pun berbuka.

* * *

Kehangatan suasana makin terzahir. Kipas-kipas yang dikuasakan generator tidak seampuh pendingin hawa. Makin ramai yang cuba mengambil udara luar, tidak kurang juga ada yang berasap selepas berbuka.

“Imam, saya nak tanya, kenapa kita mesti nak bergantung kepada benda-benda ini? Kenapa tidak sahaja secara individu menentukannya? Bukankah itu lebih selamat?”.

‘Imam’ berpaling mencari punca soalan. Kunyahannya ditelan sebelum dimulakan bicara.

“Tuan, ada hikmahnya. Ibadah kita ditetapkan waktunya. Alam ini, penuh tanda-tanda kebesaran-Nya. Tambahan pula, bukankah ibadah-ibadah itu berjemaah?” soal ‘Imam’.

“Maksud, Imam?”.

“Lebih baik solat bersendirian atau berjemaah?” soalan pembukanya.

“Tentulah berjemaah”.

“Tuan berpuasa seorang diri, atau tuan ikuti waktu sama dengan yang lain?”, tanyanya lanjut.

“Tentulah puasa hari-hari yang sama”.

“Berhaji pula, waktunya? ”.

“Ish, Imam ni, mestilah kita ikut Muslimin yang lain. Nanti jadi kera sumbang. Silap-silap dicekup, dilabel sesat!”, balasnya.

‘Imam’ tersenyum. “Ya, itulah hikmahnya. Kita bersama-sama, saling mempercayai. Semakin yang berilmu dan yang di atas patuh kepada Tuhan, semakin mudahlah kita yang di bawah mengabdikan diri kepada-Nya!”

Dalam kelam senja, beberapa kepala jelas mengangguk setuju, termasuklah Nuh.

“Tambahan pula, tuan, memang Islam nak galakkan kita menguasai ilmu falak. Contoh mudah, penentuan arah kiblat. Alhamdulillah, kita berpeluang menyemak arah kiblat melalui istiwa al-Adzam,” tutur tambahan ‘Imam’. Daripada penjelasannya, tahulah mereka bahawa dua kali dalam setahun, matahari berada tepat di atas Kaabah. Maka, pada 5:16 petang 28 Mei dan 5:28 petang 16 Julai waktu tempatan, melainkan tahun lompat, bayang-bayang objek tegak tatkala itu akan menunjukkan tepat ke arah Kaabah.

“Nah, hebat bukan? Tidak perlu dirisaukan ratakah kompas, atau wujudkah gangguan magnetik, atau mungkin efek penyegitigaan lokasi bagi telefon bimbit di dalam bangunan! Lagipun, bukankah garis lurus adalah jarak terpendek antara dua titik?” tambah ‘Imam’.

* * *

Solat maghrib ditunaikan berjemaah. Dalam kekelaman bebas cahaya dan gangguan telekomunikasi, ruang bicara menyentuh perihal penentuan Hari Raya.

“Imam rasa, esok raya?”.

“Wallahuaklam, saya tidak mencerap anak bulan”, balasnya.

Jelasnya, MABIMS yang dianggotai Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia dan Malaysia telah bersetuju mengguna pakai kaedah Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan anak bulan) dalam penentuan takwim.

“Tuan-tuan, sejak 1995, kita menggunakannya. Digunakan hisab dan rukyah, yang dipersetujui MABIMS pada Jun 1992, berasaskan resolusi Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah Istanbul 1978”.

‘Imam’ memerhatikan reaksi. Ramai yang baru tahu.

“Sebelum itu, sehingga 1986, takwimnya Istilahi, selang-seli 29 dan 30 hari turutan bulan. Bagi 1986 hingga 1991 pula, takwim Hakiki digunakan, bersandarkan ijtimak bumi, bulan dan matahari. Kemudiannya, takwim wujudul hilal yang berdasarkan kewujudan anak bulan di atas ufuk digunakan, sehinggalah tahun 1995”.

Anggukan menyusul lagi.

“Bila cerapan pertama, Imam?”.

Dahinya dikerutkan. Usia mencemburui memori.

“Kalau tak silap, cerapan sulung pada 29 Syaaban 1392. Ya, Oktober 1972 di Teluk Kemang. Kemudian, bilangan stesen cerapan ditambah hingga kini 29 kesemuanya”.

‘Imam’ semakin bersemangat mengongsikan prosedur. Panel Falak Jakim akan berikan data kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, terutamanya dari stesen paling Timur dan paling Barat. Pada tarikh yang dinantikan, jabatan rukyah negeri, diketuai mufti-mufti akan mencerap, dibantu Ketua Hakim Syar’ie dan Pengarah Jabatan Ukur. Hasilnya diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sebelum dimohonkan perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.

“Ha, akhir sekali, setelah diperkenan, barulah Setiausaha Sulit Kanannya akan maklumkan RTM agar disiarkan!”.

Ramai melongo. Bukan mudah rupa-rupanya.

“Namun, pernah jua berlaku perbezaan…”, Imam seakan mengerti soalan yang mungkin terbetik di hati, terutamanya bagi yang sudah berusia.

“Ya, Ramadan 1403 mencatat sejarah perbezaan. Dua negeri di Semenanjung memulakan Ramadan pada 12 Jun 1983, manakala negeri-negeri yang lain bermula sehari selepasnya”. Ayatnya membesarkan saiz bukaan mulut-mulut.

“Kedua-duanya betul. Bezanya pada penafsiran masing-masing berkenaan ketetapan pengiraan falak. Satu menggunakan kaedah wujud al-hilal, anak bulan di atas ufuk, manakala yang lain-lain menggunakan kaedah kebolehlihatan, imkan al-rukyah yang telah dimasukkan nilai ihtiyat dalam pengiraan. Dan Allah jua yang Maha Mengetahui”, ucapnya.

* * *

Tiba-tiba, seminit sebelum jam lapan, bekalan elektrik kembali hadir. Televisyen ternyala sendiri. Skrin lengkung memancarkan hologram dua tubuh. Pembaca berita wanita yang berselendang daripada RTM TV1 memaklumkan bahawa suatu pengumuman akan dibuat. Walaupun tidak beragama Islam, dia tampil ayu berpakaian sopan demi menghormati bulan mulia.

Sebahagian hadirin kelihatan teruja. Keterujaan memuncak apabila munculnya lelaki bersongkok. Biarpun berumur, duduknya tegak, riak wajahnya tenang, senyumnya berahsia. Montaj pada kaca televisyen memaparkan pangkat dan namanya.

Keriuhan luput tiba-tiba. Insan tersebut memulakan bicara. Tuturnya teratur, bak garam jatuh ke air.

“Assalamualaikum…”. Ucapan diawali kalimah basmalah disambut semua.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, dengan ini saya mengisytiharkan...”, ayat yang dihentikannya bagi menghela nafas turut mencetus kesan yang sama buat penonton.

“…tarikh Hari Raya Puasa Aidilfitri 1 Syawal 1451 Hijriah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan jatuh pada hari...”.

* * *

Nuh tersenyum. Kalimah hamdalah meniti bibirnya. Talian telekomunikasi yang semakin pulih dari gangguan kini persis empangan pecah, mesej-mesej ucapan masuk mencurah-curah.

Ruang bicara keluarga dibukanya. Ucapan ditaipkan setulus ikhlas, sebelum gajet disimpannya semula. Dioraknya langkah ke arah imam. Sosok tubuh itu dipeluknya erat, ilmu dikongsinya menjadikan Aidilfitri 1451 sungguh istimewa buatnya!