Rasionalisasi dasar PPSMI yang termaktub sebagai dasar kerajaan itu telah diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 .

Dasar PPSMI bukan bermaksud kerajaan mahu mengembalikan semula aliran Inggeris di semua sekolah kebangsaan seperti yang dilaksanakan sebelum ini tetapi perlaksanaan PPSMI menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Disember 2009 memuatkan berita bertajuk “Pengajaran, pembelajaran sistematik” melaporkan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ahli akademik berpendapat, keputusan pelaksanaan PPSMI itu membuktikan walaupun PPSMI dilaksanakan, pelajar masih mampu mencipta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Laporan itu memetik, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) ketika itu, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pencapaian cemerlang calon bandar dan luar bandar dalam peperiksaan SPM dan PMR membuktikan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat amat penting.

“Isu PPSMI tidak timbul sama sekali, faktor kerjasama termasuk daripada guru dan ibu bapa serta sistem pengajaran sistematik menjadi penentu terhadap kejayaan pelajar dalam peperiksaan.

“Walaupun terdapat peningkatan peratusan dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, ia masih belum meningkatkan penguasaan pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut,” katanya.

Sementara itu, ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, peningkatan penguasaan tersebut menunjukkan Kementerian Pelajaran mencapai matlamatnya dalam melahirkan pelajar cemerlang setiap tahun.

“Dasar PPSMI juga tidak menjadi penghalang, usaha ini telah dibuktikan melalui kesungguhan peranan Kementerian Pelajaran, guru dan ibu bapa,” katanya.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ketika itu, Azam Md. Atan pula berkata, peningkatan penguasaan tersebut menunjukkan kesungguhan dan komitmen pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Dasar PPSMI membuktikan kejayaan, namun dasar itu perlu diperkasakan demi kepentingan pelajar. Perkara utama yang perlu diberikan tumpuan ialah bagaimana untuk meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris,”katanya.

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 4 April 2005 Bernama melaporkan, tahap kefahaman pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terhadap PPSMI meningkat pada tahun kedua pelaksanaannya,

Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pencapaian murid Tahun 1 bagi subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah menggalakkan dengan pencapaian pelajar di sekolah luar bandar menyaingi pencapaian sekolah-sekolah bandar,

Analisis Kajian Tahap Kefahaman Murid (KTKM) yang terbaru menunjukkan murid Tahun 1 cepat menyesuaikan diri dalam kedua-dua subjek sains, matematik dan Bahasa Inggeris, katanya.

Hishammudin berkata, “Purata skor bagi mata pelajaran sains adalah 69.3 peratus, matematik (77.4 peratus) dan Bahasa Inggeris (77.7 peratus).

“Analisis pencapaian murid Tahun 1 di 20 sekolah terbaik dalam kajian ini menunjukkan pencapaian sekolah-sekolah luar bandar mampu menyaingi pencapaian sekolah-sekolah di bandar,” katanya.

Hishammuddin berkata, sementara pencapaian murid Tingkatan 1 adalah di tahap memuaskan dengan purata skor bagi subjek sains hanya pada tahap 59.2 peratus, matematik 58.2 peratus dan Bahasa Inggeris 61 peratus.

Menyentuh jumlah guru yang memilih mengajar subjek sains, matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah, Hishammuddin berkata, bilangan itu masih belum mencukupi.

Pada 31 Januari 2005, seramai 18,576 orang guru mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah, 21,558 orang mengajar matematik dan 20,957 orang mengajar sains, ini termasuk guru opsyen dan bukan opsyen yang mengajar satu atau lebih subjek. Sementara di sekolah rendah pula terdapat 39,491 orang guru mengajar Bahasa Inggeris, 61,819 mengajar matematik dan 44,107 orang mengajar sains.

PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

ESOK: Rakyat Menolak PPSMI

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

MOMEN 
& MEMORI