Berlaku peristiwa dalam perjuangan warga umat kalah-menang dalam sesuatu pertarungan. Kemenangan tidak menyebabkan kita hilang pertimbangan hingga timbul tekad membalas dendam dan me­luaskan lagi jurang perpecahan yang menyebabkan arah tuju perjuangan sebenar menjadi kabur.

Kekalahan tidak bermakna hayat perjuangan sudah sampai ke penghujung. Ada hikmah di sebalik kekalahan bagi membolehkan warga umat me­lakukan muhasabah, melihat ke dalam diri supaya wujud ke­sedaran baharu untuk bangun semula dengan tekad yang lebih baik meluruskan saf yang kelihatan bengkok dan membentuk barisan yang tersusun rapi sesuai dengan cabaran sezaman dan maslahah lingkungan.

Antara cabaran terbesar dalam mengurus sesebuah kerajaan tidak sahaja kepada pentingnya kualiti dan integriti kepimpinan dalam menyempurnakan ama­nah tetapi dukungan kepengikutan yang berhemah supaya jiwa mandiri terbina, kecemerlangan berlaku, kebijaksanaan terjadi dan bersedia bertarung di arus perdana yang menuntut perimbangan antara idealisme dan realiti.

Sering terjadi idealisme pengikut terlalu tinggi, kalau boleh perubahan yang lebih sempurna berlaku sekelip mata, mentaliti subsidi semakin kuat mengakar sehingga kemampuan sesebuah kerajaan melakukan perubahan terhalang. Perubahan ke arah perubahan sikap yang sifatnya se­ring mengharap kerajaan melakukan segala-gala perlu diatasi.

Kalau tidak sejarah bakal mengulangi jejak kerana premis sikap dan pemikiran tidak berubah. Strategi yang dirintis oleh Rasulullah SAW amat mementingkan pembinaan rijal (manusia) supaya berlaku dakwah dan tarbiah yang memberi fokus kepada kekentalan akidah dan terbinanya akhlak contoh bagi menjadi pedoman warga umat yang beriman dan bertakwa.

Umat Islam harus mampu menjadikan agenda peleraian masalah sebagai sesuatu yang paling utama. Strategi ini penting bagi mengembalikan kekuatan umat supaya walaupun terdapat perbezaan akibat faham dan aliran, politik dan pilihan raya, hakikatnya agenda umat harus menjadi sesuatu yang lebih penting.

Perjuangan Islam bukan perjuangan nafsul amarah sebaliknya perjuangan Islam adalah didukung oleh jiwa mutmainnah. Rasulullah SAW memiliki sifat sedemikian demi nafas panjang perjuangan Islam itu sendiri. Sebab itu Islam mampu diwarisi kepada para sahabat dan tabie-tabieen kerana jalur dakwah dan tarbiah sentiasa menjadi agenda pokok mereka.

Berada dalam satu saf yang tersusun rapi memerlukan akidah yang mantap, iman yang terurus, ilmu yang sifatnya memandu dan pengalaman yang menyebabkan keinsafan tentang pentingnya jiwa jemaah dan kesatuan terjadi.

Ia hanya terjadi jika warga saf terdiri daripada orang yang tasa­muh (saling menghormati) tinggi, berhemah dan memiliki daya kesabaran yang baik kerana al-Quran menganjurkan perjuangan menegakkan kebenaran menuntut upaya menyerap kesabaran yang tinggi (watawa saubilhaq watawasaubissabr).

Warga saf yang tersusun rapi tidak harus mempunyai sifat gopoh kerana perbezaan dan pertentangan yang ada. Jiwa dai’ dan murabbi umpamanya harus bersikap tenang dan sabar, lantaran jika berlaku perpecahan tidak mudah untuk disembuhkan lagi dan ia menyebabkan saf tidak berada dalam barisan yang lurus.

Lurus bukan hanya bermakna lurus zahiri. Lurus yang paling utama ialah lurus batini di mana keikhlasan, ketelusan dan ketulusan menjadi asas pedoman. Tautan rohaniah hamba dan Khaliq menjadikan jiwa taqarrub Ilallah atau dekat kepada Allah terpancar.

Asas ini kalau dapat dibina, ia mendidik rasa amanah yang tinggi terhadap mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah (maksud Surah al Imran ayat 110).

Kemakrufan dalam erti kata yang luas dalam pengertian kelurusan saf ialah rasa percaya yang tinggi sesama Islam dan berhati-hati terhadap yang kafir. Kelurusan juga bermakna berlaku adil sesama Islam dan tidak me­lakukan kezaliman terhadap yang lain.

Kemungkaran membawa makna yang luas juga demi menjaga maslahah dan maqasid syariah ummah. Mengutamakan yang bukan Islam lebih daripada orang Islam boleh membawa kecende­rungan memperjuangkan kebatilan. Tidak pula yang bukan Islam harus dizalimi kalau ketaatannya kepada kebaikan masih ada.

Justeru kelemahan yang ada sesama umat harus mencetuskan jiwa muhasabah yang tinggi supaya jalur dakwah dan tarbiyah terjadi. Tidak harus timbul rasa taasub yang tinggi sehingga timbul sifat-sifat pelampau dan menyebabkan konflik terjadi kerana keterbukaan untuk mendengar dan berbeza pendapat selagi ia tidak melanggar syarak harus diraikan.

Kalau saf yang dibina tidak boleh dijadikan contoh ibarat bangunan, ia mudah runtuh. Ke­runtuhan ukhuwah Islamiah, ra­sa syak wasangka yang tinggi, payah untuk berbeza pendapat dan pandangan, tidak bersedia menerima pandangan dari orang lain walaupun baik, tidak ada rasa syukur dan terima kasih terhadap kebaikan rahmah dan nikmah Allah dan kebaikan yang orang lain lakukan antara halangan-halangan binaan saf yang tersusun rapi.

Asas ini menuntut warga umat memiliki kejernihan hati yang cukup tinggi supaya merasakan bahawa sesama Islam kita adalah bersaudara dan kesabaran yang tinggi menghadapi kerenah dan mehnah zaman adalah kunci binaan saf mampu terjadi.