Umat Islam harus mampu menjadikan agenda pelerai sesuatu masalah. Strategi ini pen­ting bagi mengembalikan kekuatan umat walaupun terdapat perbezaan akibat fahaman dan aliran, politik dan pilihan raya, hakikatnya agenda umat harus menjadi sesuatu yang lebih penting.

Perjuangan Islam bukan perjuangan nafsu amarah sebaliknya perjuangan Islam adalah didukung oleh jiwa mutmainnah. Rasulullah SAW memiliki sifat sedemikian demi nafas panjang perjuangan Islam itu sendiri. Sebab itu, Islam mampu diwarisi kepada para sahabatnya kerana jalur dakwah dan tarbiah sentiasa menjadi agenda pokok mereka.

Berada dalam satu saf yang tersusun rapi memerlukan akidah mantap, iman terurus, ilmu bersifat memandu dan pengalaman yang menyebabkan keinsafan tentang pen­tingnya jiwa jemaah dan wahdah terjadi.

Ia hanya terjadi jika warga saf terdiri daripada orang yang tasamuhnya tinggi, berhemah dan memiliki daya kesabaran baik kerana al-Quran menganjurkan perjuangan menegakkan kebenaran menuntut upaya menyerap kesabaran tinggi (watawa saubilhaq watawasaubissabr).

Warga saf yang tersusun rapi tidak harus mempunyai sifat gopoh kerana perbezaan dan pertentangan yang ada. Jiwa da’i dan murabbi umpamanya harus bersikap tenang dan sabar lantaran jika berlaku perpecahan tidak mudah untuk disembuhkan lagi dan ia menyebabkan saf tidak berada dalam barisan lurus.

Lurus bukan hanya bermakna lurus zahiri. Lurus yang paling utama ialah lurus batini yang mana keikhlasan, ketelusan dan ketulusan menjadi asas pedoman. Tautan rohaniah hamba dan Khaliq menjadikan jiwa dekat kepada Allah terpancar.

Asas ini kalau dapat dibina ia mendidik rasa amanah tinggi terhadap mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah (maksud surah al Imran ayat 110).

Kemakrufan dalam erti kata yang luas dalam pengertian kelurusan saf ialah rasa percaya yang tinggi sesama Islam dan berhati-hati terhadap orang kafir. Kelurusan juga bermakna berlaku adil sesama Islam dan tidak ­melakukan kezaliman terhadap yang lain.

Kemungkaran membawa makna yang luas juga demi menjaga maslahah dan maqasid syariah ummah. Meng­utamakan yang bukan Islam lebih daripada orang Islam boleh membawa kecenderungan memperjuangkan kebatilan. Tidak pula yang bukan Islam harus dizalimi kalau ketaatannya kepada kebaikan masih ada.

Justeru kelemahan yang ada sesama umat harus mencetuskan jiwa muhasabah yang tinggi supaya jalur dakwah dan tarbiah terjadi. Tidak harus timbul rasa taksub yang tinggi sehingga timbul sifat-sifat pelampau dan menyebabkan konflik terjadi kerana keterbukaan untuk mendengar dan berbeza pendapat selagi ia tidak melanggar syarak harus diraikan.

Suatu kewajipan bagi setiap warga umat mendidik diri dengan muhasabah yang sifatnya berterusan dan dalam masa sama sentiasa memikirkan bagaimana saf bengkok dapat diluruskan supaya umat tetap teguh berada dalam saf yang tersusun rapi.

Kalau saf dibina tidak boleh dijadikan contoh ibarat bangunan, ia mudah runtuh. Keruntuhan ukhuwah Islamiah, rasa syak wasangka tinggi, payah untuk berbeza pendapat dan pandangan, tidak bersedia menerima pandangan orang lain walaupun baik, tidak ada rasa syukur dan terima kasih terhadap kebaikan rahmah dan nikmah Allah dan kebaikan yang orang lain lakukan antara hala­ngan-halangan binaan saf tersusun rapi.

Asas ini menuntut warga umat memiliki kejernihan hati yang cukup tinggi supaya merasakan bahawa sesama Islam kita adalah bersaudara dan kesabaran yang tinggi menghadapi kerenah dan mehnah zaman adalah kunci binaan saf mampu terjadi.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).