Sambutan Hari Bumi penting dalam menjayakan inisiatif pembangunan lestari yang menurut Laporan Brundtland 1987, bermaksud “pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.”

Tahun ini tema Sambutan Hari Bumi ialah Hentikan Pencemaran Plastik atau End Plastic Pollution yang mengajak kita untuk me­ngurangkan jika tidak pun menghapuskan terus penggunaan plastik yang menjadi punca kerosakan teruk alam sekitar, apatah lagi sifatnya yang tidak mudah terurai di dalam tanah.

Sejak pembubaran Parlimen hingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita masih dapat melihat di mana sahaja begitu banyak plastik yang dijadikan kain ren­tang atau apa jua bahan kempen yang masih ada di pelbagai kawasan di negara ini.

Sekarang adalah masa untuk memikirkan bagaimana bahan itu dapat dikitar semula atau dijadikan bahan-bahan lain untuk ke­gunaan awam atau seperti cada­ngan seorang ahli akademik dalam media sosialnya, sudah sampai masa untuk melarang penggunaannya dan memastikan PRU-15 lebih tertumpu kepada penggunaan kempen secara digital.

Usaha ini memerlukan kerja pendidikan yang bersungguh-sungguh agar semua pihak memahami kepentingan pembangunan lestari.

Malaysia dikatakan antara ne­gara tertinggi menggunakan plastik dan setiap tahun banyak hidupan laut mati angkara bahan buangan itu.

Ketibaan Ramadan ini seharusnya turut dijadikan satu komitmen umat Islam dan masyarakat dalam menjaga alam sekitar, apatah lagi dengan tumbuhnya begitu banyak bazar di mana sahaja.

Elakkan membeli-belah de­ngan meminta diisi dalam beg plastik. Sebaliknya mengga­lakkan ahli keluarga membawa bekas makanan sendiri untuk mengisi makanan atau barangan yang dibeli. Penjual dan peniaga pula sepatutnya menggunakan bekas makanan mudah terurai atau bahan semula jadi seperti daun pisang untuk mengelakkan dari menggunakan plastik.

Penggunaan bekas makanan sendiri juga mampu mengelakkan umat Islam membazir apabila membeli juadah berbuka puasa dengan berlebihan sebaliknya mengikut kadar yang perlu sahaja untuk mengelakkan pembaziran makanan yang sangat ditegah Islam.

Kita tahu, saban tahun pada Ramadan jutaan tan makanan dilaporkan dibuang yang sepatutnya boleh membantu golo­ngan yang tidak berkemampuan di seluruh dunia. Sebahagian besar umat Islam mengambil ringan isu menjaga alam sekitar dan pembaziran yang jelas amalan sebahagian besar kita bertentangan dengan semangat Ramadan itu sendiri.

Ramadan ini wajar menjadi titik tolak untuk masyarakat terutamanya dalam mengamalkan ajaran Islam yang berkaitan de­ngan menjaga alam sekitar seperti kata seorang penulis, kalaulah kita melihat alam sebagai masjid atau rumah ibadat, tentu sahaja kita menjaganya sebaik mungkin dari segi sikap dan amalan kita termasuk menjaga adab dan kebersihannya.

Universiti Sains Malaysia (USM) yang begitu komited memperjuangkan kelestarian alam dan mewujudkan masyarakat yang sejahtera sejak 2008, bermula dengan pengharaman penggunaan polisterina melalui kempen Keranda Putih pada 2009, kini mengorak langkah mengajak masyarakat mengurangkan plastik dengan meminta sebahagian besar kafeterianya tidak lagi menggunakan straw plastik yang begitu banyak diguna dan dibuang. Sebaliknya mengga­lakkan penggunaan straw stainless steel yang boleh digunakan ber­ulang kali dan dibersihkan yang kini terdapat di pasaran termasuk melalui perniagaan dalam talian.

Malah, melalui Pusat Kajian Kelestarian Global dan Sekreta­riat Kampus Sejahteranya, usaha dibuat dengan menggalakkan warga kampus, pelajar dan staf­nya membawa bekas minuman sendiri untuk membeli minuman di kafeteria - usaha yang tentu sahaja perlu disokong dan dijadikan budaya.

Bayangkan jika kita bersatu hati bermula pada Ramadan ini dengan mengelakkan penggunaan plastik yang kemudiannya dibuang dan mencemarkan alam serta menggantikan de­ngan penggunaan bekas makanan, straw dan bahan yang boleh diguna semula, tentu sahaja ber­upaya merealisasikan semangat sambutan Hati Bumi yang pen­ting dalam menjaga alam untuk generasi masa hadapan.

Rakyat negara ini seharusnya melihat sambutan Hati Bumi sepenting sambutan-sambutan perayaan lain dalam mentransformasi fikiran dan tindakan demi kelestarian hari esok.

Sambutan Hari Bumi pertama diadakan pada 22 April 1970, bermula dengan kira-kira 20 juta orang rakyat Amerika Syarikat yang berkumpul dan mengadakan demonstrasi alam sekitar.

Tarikh 22 April juga menandakan ulang tahun kelahiran bagi gerakan alam sekitar dan peri­ngatan Hari Bumi berkembang secara global pada 1990 dan diraikan setiap tahun oleh 200 juta orang di 141 negara yang kemudiannya menghasilkan persidangan United Nation Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil, pada 1992.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM).