Namun hakikatnya kita perlu berpijak di bumi nyata. Perubahan tampuk pemerintahan di negara ini mulai 9 Mei lalu dengan pantas mendedahkan kepada umum masalah kedudukan kewangan dan hutang negara serta situasi ekonomi yang sangat tidak menentu yang sedang dihadapi sekarang.

Kita didedahkan dengan pelbagai data dan fakta yang amat mengejutkan dan mencemaskan misalnya, dimaklumkan hutang negara cukup tinggi iaitu dikatakan lebih RM1 trilion yang menyebabkan kedudukan kewangan dan kemampuan perbelanjaan negara sangat terhad di samping pendedahan tentang pelbagai jenis pembaziran dan juga penyelewengan yang telah berlaku sehingga mengancam kedudukan kewangan dan ekonomi negara secara menyeluruh.

Jadi umum sudah mula menge­tahui kemampuan kerajaan semasa. Rakyat juga mula sedar betapa tidak banyak bantuan yang boleh kerajaan hulurkan buat masa sekarang. Jelas pihak kerajaan sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mula menyusun semula kerangka ekonomi negara secara menyeluruh mengambil kira kedudukan kewangan serta masalah ekonomi global yang tidak menentu.

Dan apa yang pasti segala usaha dan inisiatif yang sedang dirangka ini akan memakan masa panjang untuk memberikan hasil. Justeru sementara itu bukan saja kerajaan perlu berbelanja secara berhemah dan mengikat perut tetapi ­nampaknya rakyat juga perlu memahami situasi ini dan mula mengikat perut dengan harapan akan ada sinar di hujung terowong.

Dalam masa 100 hari peme­rintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kita dapat lihat beberapa langkah drastik yang telah dan sedang diambil demi memastikan kedudukan kewangan dan ekonomi kita kembali stabil dan pulih. Misalnya, pelbagai projek mega sedang dikaji semula, malah sudah ada yang dibatalkan demi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan juga hutang negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri terpaksa pergi ke China untuk berbincang tentang beberapa projek mega seperti pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek lain berkaitan China yang jelas membabitkan perbelanjaan dan hutang yang tinggi. Seperti yang diumumkan kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan projek ECRL ini.

Situasi seperti ini menjelaskan betapa kritikalnya kedudukan kewangan negara. Jadi, penulis berpandangan sudah tiba masanya untuk rakyat belajar berdikari tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada bantuan pihak kerajaan seperti sebelum ini. Sudah tiba masanya untuk buang tongkat yang diberikan selama ini sehingga sebahagian daripada kita terlalu dimanjakan walaupun pada hakikatnya sudah boleh berdikari.

Penulis melihat keputusan terkini kerajaan yang mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat merupakan satu lagi langkah drastik dan kurang popular yang terpaksa dilakukan demi memperkukuhkan kembali kedudukan kewangan negara untuk tempoh jangka panjang di samping mengikis budaya rakyat dimanjakan atau terlalu bergantung harap kepada bantuan kerajaan.

Walaupun pengumuman ini mengundang pelbagai reaksi dari rakyat terutamanya penerima BSH namun sudah tiba masanya untuk rakyat memerdekakan diri daripada budaya tongkat ini. Malah langkah ini juga dapat mengikis label BR1M yang digambarkan sebagai sogokkan rasuah.

Walaupun pihak kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan bantuan BR1M ini akan diteruskan namun tidak salah ia disemak dan dinilai semula mengikut keperluan berdasarkan objektif bantuan, golongan sasaran serta kemampuan kewangan negara.

Pendekatan agihan bantuan juga wajar diolah semula dengan memberi penekanan utama kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh dan berterusan.

Kita juga berharap rakyat dapat bersama-sama membantu menjana pertumbuhan ekonomi misalnya dengan cara kurangkan kebergantungan kepada produk luar negara. Rakyat perlu mengubah minda dengan mula memberikan sokongan sepenuhnya kepada produk tempatan. Ini bukan saja dapat mengurangkan aliran keluar wang tunai tetapi turut membantu meningkatkan ekonomi rakyat di samping boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Kita perlu belajar dan ambil iktibar dari rakyat Jepun, Korea dan juga China. Dalam kesempatan ini penulis mencadangkan kerajaan menghidupkan semula kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ yang pernah dicetuskan sebelum ini.

Mudahnya, hayatilah secara mendalam kata-kata pujangga ini, jangan tanya apa sumbangan negara pada kita sebaliknya perlu sentiasa tanya apa sumbangan kita pada negara tercinta ini. Semoga kita dapat memerdekakan diri masing-masing daripada budaya bergantung harap pada bantuan dan tongkat.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).