MOHD. YUSOF: Dari segi keperluan memang ada. Ini disebabkan kita tiada satu koordinasi antara sebuah agensi dan kementerian lain, selain itu seperti yang kita sedia maklum ini juga berkaitan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mana salah satu daripadanya untuk melihat kos sara hidup turun tetapi sehingga kini ia seperti tidak berlaku. Walaupun ada agensi dan kementerian yang mengambil peranan masing-masing seperti Kementerian Kewangan melaksanakan pemberian subsidi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan penguatkuasaan tetapi perkara ini masih tiada koordinasi. Berikutan itu, MTE diperlukan sebagai kordinator dan satu kuasa yang boleh menjangkau setiap kementerian.

MTE ditubuhkan selepas lapan bulan PH memerintah, adakah ini masa yang tepat untuk menubuhkannya?

MOHD. YUSOF: Sepatutnya MTE dibuat lebih awal tetapi mungkin Perdana Menteri mahu memberi ruang kepada menteri baharu melaksanakan manifesto PH terlebih dahulu. Namun, selepas lapan bulan masih tiada perubahan seperti isu kos sara hidup yang menyebabkan rakyat menukar kerajaan dalam pilihan raya umum lalu.

Salah satu matlamat dalam MTE adalah untuk menangani kos sara hidup dan perumahan, bagaimana isu ini perlu di atasi?

MOHD. YUSOF: Isu kos sara hidup sangat kompleks sebab melibatkan semua kementerian kalau hendak buat sendiri ia tidak akan menjadi. Berhubung isu harga rumah yang melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula perkara utama yang menjadi isu dalam kalangan rakyat adalah penyediaan rumah mampu milik bukannya isu kesukaran mendapatkan pinjaman bank, masalah sekarang harga rumah terlalu mahal berbanding pendapatan rakyat.

Jadi, adakah harapan untuk rakyat melihat harga rumah turun?

MOHD. YUSOF: Untuk ke arah itu mengambil masa, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini, kalau MTE memainkan peranan dengan betul dan membuat bedah siasat mereka akan dapat melihat masalah ini timbul disebabkan struktur monopoli pasaran, tambahan pula kita tidak mempunyai satu polisi jelas bagi mengawal gelagat pembelian rumah. Di Malaysia seseorang itu boleh membeli sampai empat buah rumah disebabkan itu harga naik mendadak, kita tiada polisi seperti satu keluarga hanya dibenarkan membeli sebuah rumah. Kalau hendak beli dua rumah boleh tetapi kena bayar cukai tinggi.

Sebanyak 16 ahli merangkumi menteri Kabinet, tokoh ekonomi dan pemimpin industri terlibat dalam MTE, adakah jumlah ini mencukupi?

MOHD. YUSOF: Bagi saya Kementerian Sumber Manusia juga perlu dilibatkan kerana isu kos sara hidup disebabkan pendapatan rakyat yang naik dengan sangat perlahan, salah satu puncanya adalah kepincangan dalam pasaran buruh. Sebagai contoh, ada sebahagian besar pekerja mempunyai kelayakan yang tinggi tetapi terpaksa bekerja dengan kelayakan lebih rendah disebabkan industri mencipta peluang pekerjaan yang tidak sepadan dan isu-isu lain seperti gaji minimum dan isu pekerja asing yang mengganggu pasaran buruh di Malaysia.

Selain itu, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga perlu dilibatkan kerana makanan adalah salah satu komponen utama dalam kos sara hidup selain isu permit import (AP) untuk membawa barangan import.

Bagaimana pula dengan peranan Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam MTE, adakah mempunyai kaitan dengan cadangan untuk menghapuskan tol misalnya?

MOHD. YUSOF: Saya tidak nampak apakah keperluan Kementerian Kerja Raya di situ mungkin kementerian itu ada satu unit untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, ini sahaja saya boleh rasionalkan. Berkaitan isu penghapusan tol, sebagai penganalisis, isu ini tidak mempengaruhi kos sara hidup sebenarnya kos pengeluaran barang punca utama kenaikan harga barang kerana struktur pasaran kita yang bersifat monopoli dan penyediaan rantaian bekalan makanan melibatkan orang-orang tertentu sahaja. Selain itu, keadaan ringgit yang lemah sekarang menjadi kos tambahan kepada industri yang bergantung kepada barangan import.

Sekiranya tol dihapuskan sekali pun kebanyakan kos perbelanjaan masih sebahagian besarnya melibatkan makanan dan utiliti rumah. Secara purata sekiranya gaji seseorang itu RM1,000 sebulan mereka membelanjakan 30 peratus untuk makanan dan 30 peratus lagi untuk rumah.

Bagaimana pula Dr. melihat hubung kait Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan MTE?

MOHD. YUSOF: MTEN ditubuhkan semasa krisis ekonomi dahulu, selepas itu MTEN tiada peranan lagi. Disebabkan permasalahan yang berlaku sekarang diwujudkan semula majlis ini dan dinamakan MTE, bagi saya biar apa pun namanya, MTE perlu diinstitusikan, bukan hanya ada isu baru diwujudkan, ia sepatutnya dibuat secara tetap dan boleh diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya secara langsung dapat memberi input kepada Perdana Menteri.

Rakyat sudah pasti menantikan berita baik hasil daripada penubuhan MTE, bagi pandangan Dr. berapa lama masa perlu diberikan untuk mendapatkan hasil?

MOHD. YUSOF: Rakyat perlu memberi peluang kepada MTE dahulu, saya rasa pertengahan atau awal tahun hadapan kita boleh lihat kesannya supaya kedudukan ekonomi dan sara hidup rakyat menjadi lebih baik.