Mereka tidak ambil kisah sangat tentang siapa dan untuk apa hal-hal menjijikkan itu tersebar meluas di persekitaran maya. Cuma barangkali, disebabkan ada individu yang terbabit dalam video ditular itu disebut-sebut bakal menjadi pemimpin utama negara, maka mahu tidak mahu rakyat terpaksa ‘menoleh’ untuk sekadar mengambil iktibar dan kewas­padaan.

Lagipun, perkara mengenai skandal hubungan seks sejenis melibatkan tokoh-tokoh tertentu bukan lagi asing bagi rakyat Malaysia. Pelbagai pihak tidak merelakan hal yang menggambarkan keruntuhan akhlak dan moral ini muncul dalam khalayak. Apatah lagi penyebarannya terbuka sehingga menghinggapi pengetahuan golongan muda dan remaja.

Apa pun minat rakyat tetap terarah kepada keinginan melihat negara maju dan rakyat sejahtera. Mereka mahu tahu apa perancangan dan tindakan dibuat kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup harian. Mereka mahu janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditunai tanpa banyak alasan.

Mereka lebih suka mengetahui apa sudah jadi dengan janji-janji pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk kononnya boleh melegakan kehidupan rakyat, berbanding menonton video lucah individu tertentu. Misalnya janji hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu dihapuskan, pemansuhan bayaran toldan banyak lagi.

Sesekali mereka juga lebih tertarik menonton semula janji-janji: “Hari ini ambil-alih kuasa, esok harga minyak petrol turun...!”. Termasuk juga ucapan penuh berani mengutuk peribadi orang itu dan ini kononnya jahat, berlaku salah, zalim, selain sanggup menghina bangsa sendiri. Tujuannya mengukur semula tahap harga diri seseorang penutur dalam video-video berkenaan serta menjangkau kebolehpercayaan untuk menerima mereka sebagai pemimpin negara.

Rakyat mahu melihat prestasi ekonomi negara berkembang stabil. Melaluinya, rakyat dapat menikmati kemakmuran.

Semua pihak, baik di bandar mahu pun desa mengharapkan inisiatif-inisiatif baharu yang lebih berkesan bagi membantu mereka menjalani kehidupan. Mereka termasuk para usahawan kecil dan sederhana (IKS), petani, penternak, nelayan, peneroka dan pekebun kecil. Macam mana dengan harga komoditi-komoditi utama negara?

Pokok getah atau kelapa sawit bukan sekadar untuk diperkenalkan kepada murid sekolah atau pelancong luar, tetapi rakyat mahu tahu sejauh mana sumber komoditi itu boleh menjamin kelangsungan pendapatan yang berpatutan untuk mereka.

Malang jika ada sesiapa atau mana-mana pihak berada ‘di belakang’ penyebaran video-video seks songsang seperti ini. Apa motifnya? Nyatanya, pihak yang bertindak demikian turut tidak bermoral sebagaimana pelaku dalam video-video berkenaan.

Apakah ada pihak cuba menjadikan isu ini bagi mengalih tumpuan rakyat agar tidak memberi fokus terhadap perseki­taran yang meresahkan? Tentu tidak! Mereka misalnya, masih mahu mengetahui apa jadi dengan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd.Kassim...dan banyak lagi.

DATUK SAYUTI MUKHAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.