DARSIL: Pemilu kali ini memerlukan semua pihak bekerja lebih keras kerana undi dibuat secara serentak dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Adakah pemilihan serentak memberi kelebihan kepada mana-mana calon?

DARSIL: Buat masa ini belum dapat dilihat lagi.

Gandingan Prabowo dan Sandiaga memilih slogan Indonesia Menang apakah maksudnya?

DARSIL: Indonesia Menang membawa maksud rakyat mahukan perubahan seperti yang berlaku di Malaysia sekarang. Penyokong Prabowo terdiri daripada rakyat biasa dan mereka mahukan perubahan di Indonesia dari segi semua bidang.

Baru-baru ini, Jokowi melancarkan MRT, adakah ia memberi kesan kepada kempen pasukan Prabowo?

DARSIL: Tidak, kerana ia hanya dilancarkan di bandar, 50 peratus rakyat biasa tidak dapat merasakan ini semua. Kempen untuk menurunkan harga minyak atau elektrik yang lebih memberi kelebihan kepada gandingan Prabowo dan Sandiaga, perkara yang dilakukan oleh Jokowi sekarang hanya memberikan manfaat kepada golongan kelas menengah ke atas. Di seluruh Indonesia sekarang terdapat lebih 60 peratus adalah golongan menengah dan ke bawah.

Perubahan apakah yang diinginkan oleh rakyat Indonesia?

DARSIL: Rakyat Indonesia mahukan gandingan Prabowo dan Sandiaga mentadbir Indonesia. Ini kerana Prabowo sendiri mempunyai latar belakang sebagai seorang tentera manakala Sandiaga usahawan berjaya dan pakar ekonomi. Selain itu, rakyat juga mahukan ekonomi Indonesia menjadi lebih maju, adil dan makmur. Apa yang dijanjikan oleh Jokowi dahulu untuk menyediakan peluang pekerjaan sehingga kini tidak menampakkan hasil. Tamba­han, banyak janji Jokowi ketika kempen Pilpres 2014 tidak ditunaikan antaranya untuk membeli semula satelit Indosat, menyediakan pelu­ang pekerjaan, mengurangkan kadar elektrik dan janji untuk tidak mengimport barang makanan seperti beras, ubi dan garam. Padahal Indonesia kaya dan mempunyai banyak hasil bumi tetapi kenapa perlu import barang makanan?

Bagaimana pula peluang pekerjaan?

DARSIL: Peluang pekerjaan di Indonesia sangat sukar sedangkan ramai sudah tamat belajar tetapi masih belum mempunyai pekerjaan. Selain itu, harga barangan semakin mahal dan meningkat dua kali ganda menambahkan beban rakyat.

Bagaimana pula isu Prabowo, menan­tu kepada bekas Presiden Suharto akan menjejaskan undi beliau?

DARSIL: Isu ini tidak akan menjejaskan kempen Prabowo kerana beliau sudah berpisah dengan anak Suharto. Pihak lawan sengaja memperbesarkan isu ini untuk menjatuhkan Prabowo.

Prabowo pernah bertanding pada 2014, jadi apakah pembaharuan yang ingin dibawa beliau?

DARSIL: Sekarang dia berganding dengan anak muda berbanding gandingan dahulu. Sandiaga, seorang anak muda yang mempunyai banyak idea dan seorang usahawan berjaya yang boleh memikirkan usaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Selain itu, beliau juga mempunyai rekod yang baik ketika menjadi wakil Gabenor Jakarta.

Jokowi memilih seorang ulama sebagai gandingannya, adakah ia mampu menarik undi majoriti pengundi Islam?

DARSIL: Pengundi sudah bijak, mereka tahu pemimpin mana yang boleh memimpin. Ini tidak bermakna Ma’ruf Amin sebagai seorang kiyai (ulama) tidak bagus, beliau bagus malah, Jokowi juga bagus tetapi rakyat mahu perubahan yang lebih baik.

Adakah sentimen agama boleh mempengaruhi pengundi?

DARSIL: Tidak akan menjadi isu kerana rakyat Indonesia sangat menghormati agama lain, kerukunan agama masih terjaga.

Bagaimana pula isu bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok ?

DARSIL: Buat masa ini tidak memberi kesan kepada mana-mana kem kerana sehingga kini Ahok masih mendiamkan diri dan kita tidak dapat mengagak sama ada ini akan memberi kelebihan atau sebaliknya.

Tinjauan Pilpres menunjukkan gandingan Jokowi dan Ma’ruf sedang mendahului, adakah boleh mempengaruhi pengundi?

DARSIL: Kalau dalam media memang Jokowi akan menang tetapi dalam kalangan masyarakat Prabowo lebih unggul. Rakyat Indonesia sekarang sudah celik ilmu teknologi maklumat (IT) dan mereka boleh menilai melalui media sosial seperti Facebook dan YouTube. Malah, ketika berada di lapangan sambutan yang diterima oleh Prabowo lebih meriah.

Adakah gandingan Prabowo mampu memenangi undi luar negara di Malaysia seperti Pilpres 2014?

DARSIL: Di Malaysia terdapat 1.3 juta rakyat Indonesia yang boleh mengundi. Kami akan usahakan untuk menang seperti 2014. Percaturan di Malaysia sangat sengit terutamanya apabila pemilihan Pilpres dan Pemilihan Legislatif dibuat secara serentak.

Ada pihak mendakwa Prabowo banyak menawarkan janji manis seperti menurunkan tarif elektrik dan lain-lain, tidak bimbangkah jika janji ini tidak dapat ditunaikan?

DARSIL: Kami tidak bimbang, kerana hasil bumi di Indonesia sangat banyak jika ditadbir dengan betul ia mampu mendapatkan pulangan yang banyak, kami yakin Prabowo mampu melakukannya.

Jika gandingan Prabowo menang bagaimana hubungan Malaysia dan Indonesia?

DARSIL: Parti mana yang menang sekali pun tidak akan mempengaruhi hubungan baik antara kedua-dua negara yang sudah lama wujud sebab kita negara serumpun dan tidak boleh dipisahkan.

Bagaimana pula nasib pekerja Indonesia di Malaysia?

DARSIL: Secara umumnya Gerindra akan memastikan rakyat Indonesia yang berada di sini akan dibantu terutamanya untuk menguruskan dokumen dan mendapatkan permit kerja yang sah.

Kenapa perlu gandingan Prabowo dan Sandiaga menang?

DARSIL: Gandingan ini mempunyai misi untuk membantu rakyat. Pada masa sama, saiz Indonesia yang besar memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan daripada bekas askar supaya Indonesia terus disegani oleh negara lain.