Perjuangan dalam melahirkan akhbar Utusan Melayu yang begitu mendominasi dan mencatat sejarah tanah air ini terlalu hebat untuk dikesampingkan.

Walaupun ada kelompok membenci mahupun pandang sebelah mata, namun itulah hakikatnya namanya terlalu hebat.

Hebat kerana sejarah di negara ini dicipta kerana kelantangan dan corak pemikiran para pengarang dan wartawannya satu ketika dahulu. Tanpa mereka mungkin cara kita merdeka mahupun kita berfikir terutama orang Melayu sekarang mungkin berbeza.

Negara jiran kita di Indonesia begitu garang dan mahu menggulingkan penjajah dan sanggup tumpahkan darah demi perjuangan. Inilah yang dicetuskan oleh akhbar-akhbar mereka ketika itu yang begitu kritis mahu menjarah dan mengubah sejarah demi perjuangan bangsa dan negara.

Namun berbeza dengan tanah air kita yang merdeka dengan cara lebih berhemah, saling mencari perdamaian di meja rundingan tanpa menumpahkan darah.

Itu secebis jasa akhbar ini yang antaranya melawan Malayan Union, dan memungkinkan tertubuhnya UMNO yang kemudian melakar sejarah memerdekakan negara ini dari British.

Itulah peranan akhbar Utusan Melayu ketika itu yang begitu kuat pengaruhnya dalam mencorak pemikiran dan mewarnai kehidupan masyarakat ketika itu.

Kelangsungan

Impian orang Melayu mahu melihat akhbar milik sendiri menjelma realiti ketika Kesatuan Melayu dipimpin Daud Mohd Shah J.P, menggerakkan usaha mengumpul modal bersama Ambok Sooloh J.P, Ambok Ghani, Manan Mohd Ali, dan Yusuf Ishak.

Utusan Melayu mencatat sejarah sebagai akhbar Melayu pertama sekali dimodali, dikendali dan ditadbir oleh orang Melayu.

Namun itu semua sejarah terbilang yang pernah dilalui akhbar ini. Selama hampir 79 tahun akhbar ini gemilang walaupun di badai taufan dan ombak, dalam berhadapan pelbagai perseteruan demi perjuangan dan kelangsungan Islam, bangsa Melayu, rakyat Malaysia dan tanah air tercinta.

Namun akibat perubahan kerajaan pada pilihan raya umum tahun lepas sedikit sebanyak menjejaskan akhbar ini. Bisnes masih seperti biasa namun sedih melihat apa yang menjadi perjuangan dan kebanggaan satu ketika dahulu dilihat sepi generasi sekarang.

Mungkin orang terlupa. Apa yang dikatakan layak menjadi bahan sejarah bagi Utusan Melayu oleh segelintir pihak sebenarnya permata begitu bernilai bagi orang Melayu satu ketika dahulu.

Apa yang dilayari melalui telefon bimbit sekarang ini demi berita paling sahih merupakan peniup semangat untuk menzahirkan kemerdekaan bagi bumi Malaya satu ketika dahulu.

Apa yang dicari dan di hadam melalui Google dan Facebook oleh semua orang sekarang satu ketika dahulu turut sama dimainkan peranan pencarian maklumat setempat mahupun hal ehwal dunia luar oleh akhbar Utusan Melayu.

Satu ketika dahulu bidang hiburan adalah sesuatu yang eksklusif dan orang akan “membawang” sama seperti sekarang walaupun mungkin beritanya lambat sehari.

Namun kini eksklusifnya sudah semakin hilang dan semua orang boleh menjadi artis. Membawangnya pula semakin menebal dan banyak pula berunsur fitnah dan viralnya menjadi-jadi, seolah-olah mengesahkan akhirat semakin hampir.

Malah sama ada mahu terima atau tidak akhbar juga pernah melalui zaman kemuncak dengan menjadi mesin propaganda kepada pihak dan kelompok tertentu sama ada demi kelangsungan kaum, politik dan agama.

Perjuangan

Selama ratusan tahun jugalah akhbar di Barat digunakan sebagai alat komunikasi, penghubung dan propaganda kerajaan kepada rakyat mahupun hubungan dengan negara-negara luar.

Itu biasa di Barat termasuklah negara yang mendakwa paling hebat seperti Amerika Syarikat (AS), turut menggunakan akhbar dan majalah selain televisyen sebagai mesin propaganda.

Perkara sama berlaku dalam lipatan sejarah Utusan Melayu dan sudah tentu ada pro dan kontra apabila berbicara hal ini. Dan ini biasa apatah lagi jika saham dikuasai parti tertentu.

Namun itu sudah menjadi sejarah dan akhbar ini perlu memandang ke hadapan. Kesilapan adalah biasa dan memaafkan adalah perkara luar biasa dan mulia.

Keadaan sudah berubah begitu juga akhbar ini. Pemberitaan lebih neutral dan saksama. Laporan dan rencana lebih kritis, adil dan membela masyarakat.

Perjuangan demi rakyat marhaen dan orang Melayu tidak berubah malah semakin kukuh. Apatah lagi dalam langit semakin terbuka.

Kini kita perlu akui begitu banyak beza antara akhbar dan sosial media. Dunia kini semakin luas tanpa sempadan dengan wujudnya pelbagai saluran hasil dari kecapaian internet.

Namun pengalaman dan pendedahan adalah berbeza dalam dunia yang semakin canggih ini. Apatah lagi kemahuan dan kehendak manusia kini semakin tidak terbatas dan mudah diperoleh. Yang penting sediakan saja ongkosnya.

Terpulang kepada citarasa dan apa yang dimahukan. Malah kini kita pun sudah tidak boleh terfikir apa lagi yang boleh berlaku melalui teknologi 5G yang kini menjadi rebutan antara China dan AS. Siapa yang mengawalnya mampu menawan dunia.

Begitu juga dengan masa depan akhbar ini. Ia perlu berubah demi kelangsungan dan keupayaan untuk kekal relevan. Tidak hanya cukup melalui Utusan Online yang semakin diterima dan dihormati sebagai medium berita dan laporan sahih dan terkini.

Pelbagai peluang perniagaan lain berkaitan media dan teknologi terkini perlu dilangsungkan.

Ini penting kerana perjuangan akhbar ini demi agama, bangsa, dan tanah air perlu kekal relevan tanpa mengira zaman, generasi dan teknologi.