Jadilah orang yang bahagia dan membahagiakan dengan berpegang kepada tujuh kunci kebahagiaan (menurut Ali bin Abi Talib). Pertama, jangan membenci sesiapa walaupun ada yang menyalahi hakmu. Kedua, jangan bersedih secara berlebihan sekalipun masalah sedang memuncak. Ketiga, hiduplah dalam kesederhanaan sekalipun serba ada. Keempat, berbuatlah kebaikan walaupun cuma sekali. Kelima, banyakkan memberi walaupun anda sedang susah. Keenam, tersenyumlah walaupun hatimu sedang menangis. Ketujuh, jangan putus berdoa untuk saudara sesama Islam.

Tujuh kunci kebahagiaan saranan Ali bin Abi Talib itu menunjukkan betapa dalam hubungan silaturahim sesama insan ini perlu ada pengorbanan `rasa’ demi menjaga hubungan dan jaminan kebahagiaan. Setiap apa yang dilakukan hanyalah dengan niat mencari reda Allah, bukan mengharap penghargaan manusia. Layanlah orang dengan sebaik mungkin sebagaimana mengharapkan orang lain melayan kita dengan baik. Ikhlas dan berlemah lembut dengan orang apatah lagi dengan mereka yang tersayang seperti isteri atau suami atau anak-anak.

Jika ada masalah selesaikanlah dengan baik. Berbincang, barulah masalah yang nampak besar menjadi kecil dan masalah yang kecil itu tidak diperbesar-besarkan. Biasanya pada musim perayaan akan berlaku dua perkara yang akan mendatangkan kesan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Pertama, menjelang hari raya suami isteri akan bergaduh hanya kerana isu balik ke kampung. Sama ada kampung isteri atau suami dahulu. Kedua, setelah habis bercuti raya di kampung timbul pula masalah hendak diadakan rumah terbuka atau tidak. Inilah dua isu yang biasa berlaku dalam rumah tangga pada musim perayaan Aidilfitri.

Justeru, bertolak ansurlah antara suami isteri supaya hubungan kedua-duanya sentiasa baik dan harmoni. Sebagai isteri jangan sesekali bermuka-muka. Sewaktu di pejabat mungkin dia seorang ketua yang baik, prihatin dan sering bertolak ansur hingga dihormati oleh semua staf bawahan. Malangnya apabila di rumah, dia seorang isteri yang degil. Langsung tidak menghargai suami dan tidak boleh bertolak ansur. Setiap perkara perlu mengikut kehendaknya. Bersikap malas hingga suasana dalam rumah berserabut dan tidak terurus. Sentiasa berwajah masam, langsung tiada ukiran senyum di bibir hingga sakit mata suami memandang. Sebagai ibu pula, dia bukan ibu yang penyayang tetapi garang dengan anak-anak. Malas hendak melayan kerenah anak sebaliknya lebih mementingkan kerja-kerja pejabat.

Demikian juga kaum lelaki, di pejabat misalnya, dialah lelaki yang paling baik, ramah, berbudi bahasa, penyabar, pendengar yang tekun dan ringan tulang membantu orang yang dirasakan memerlukan bantuan. Di hadapan khalayak ramai dia seorang yang pemurah, suka memberi, bersedekah dan suka belanja kawan-kawan makan atau minum. Tetapi ketika di rumah atau berada dalam kalangan dia sangat berkira. Bersifat `tangkai jering’, sangat susah hendak mengeluarkan belanja, memberi atau menghulur bantuan wang ringgit. Dengan anak-anak asyik naik angin. Pantang anak buat salah pasti dimarahi dan dipukul. Dengan isteri langsung tidak diberi muka. Akibatnya isteri tidak berani bersuara, berat mulut hendak bercakap sehingga sukar hendak diajak berbincang. Atau jika bercakap dengan isteri sekalipun, seperti orang yang tiada perasaan. Ketika bercakap memandang isteri pun tidak. Lebih banyak menatap skrin tablet atau telefon pintar. Tolonglah fikir tentang manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain terutama terhadap mereka yang disayangi dan bukan sebaliknya.

Sempena Aidilfitri ini juga maafkanlah mereka yang berbuat salah dengan kita. Golongan yang pemaaf adalah orang yang suci hatinya serta berjaya merendahkan egonya dan berjaya meningkatkan ketakwaannya. Justeru, manfaatkan Aidilfitri ini untuk kita sucikan segala dosa dengan bermaaf-maafan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Seperkara lagi semasa berkunjung ke rumah sanak saudara gunakanlah perkataan yang menyenangkan hati mereka yang mendengar ketika kita berbicara. Jangan sesekali menghina terutama menghina peribadi orang lain. Beradab walaupun dalam keadaan bergurau. Jangan amalkan sikap yang kononnya mengutuk itu membawa bahagia. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.