Orang seperti Saari Sungip yang terkenal sebagai Otai Reformasi bermula dengan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan menjadi rujukan IKRAM kemudiannya.

ISMA, pecahan daripada JIM pernah terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan ternyata tewas. Orang JIM yang kini dalam IKRAM ramai terlibat dengan PAN bersama Pakatan Harapan.

Mereka suatu ketika berada dalam Pas dan apabila gagal mengambil alih kepemimpinan Pas, mereka tubuhkan PAN sebagai platform menentang Pas dalam PRU-14 nanti.

Sayangnya PAN hanya diberi 27 kerusi Parlimen berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lebih lewat kemunculannya dari PAN mendapat 52 kerusi. PAN Johor dan Perak menyatakan rasa tidak puas hati dengan pengagihan kerusi.

Dijangkakan PAN akan ber­de­pan dengan tiga penjuru dengan Pas bertanding. Bermakna PAN ditubuhkan untuk memecah­belahkan kesatuan orang Melayu dan perjuangan Islam dan sanggup menjadi alat DAP untuk melemahkan kuasa politik orang Melayu dan umat Islam. Apakah nasib PAN sama seperti ISMA nanti? Hanya masa dan keadaan akan menentukannya.

Orang jamaah atau gerakan Islam merasakan mereka boleh memenangi rakyat terbanyak kalau mereka bertanding dalam politik. Realiti politik tidak sebegitu. Sebahagian besar rakyat kurang memahami perjuangan jamaah dan gerakan Islam mendapat duku­ngan kerana ia menuntut masa dan keadaan.

Keadaan masa kini orang Melayu ramai berada dalam UMNO dan sebahagiannya berada dalam Pas. Kemasukan orang JIM sejak zaman Presiden Pas, Fadzil Nor lagi menjadi pertikaian sesete­ngah pihak. Zaman Abdul Hadi Awang mereka bercita-cita untuk menguasai Pas.

Mereka menganggap pe­mim­pin lama Pas tidak mempunyai wibawa kepemimpinan sesuai de­ngan zaman. Oleh kerana Pas masih mempunyai penyokong akar umbi yang kuat, penubuhan PAN tidak menyebabkan orang Pas meninggalkan parti itu. Jumlah penyokong PAN tidak seramai penyokong Pas yang masih bertahan.

Kebanyakan orang IKRAM dalam PAN yang dulunya JIM orientasi tarbiahnya begitu ketat dan keras dengan perjuangan berjamaah. Mereka terhubung de­ngan orientasi Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jordan. Pelik bin ajaib mereka bersedia berkawan dengan DAP yang sedia maklum rasis dan anti Islam.

Di mana pertimbangan siyasah syariahnya sehingga berdendam dengan Pas dan menjadi musuh ketat kepada UMNO yang di­pimpin orang Islam?

Sekiranya orang JIM/IKRAM memerlukan kuasa politik, mereka harus bertahan dengan Pas. Tetapi Pas semakin tahu muslihat mereka untuk mengambil alih pucuk pimpinan Pas dan akhirnya terpinggir daripada Pas dan me­nubuhkan PAN sebagai strategi berdepan dengan Pas. Baiah mereka bukan dengan Pas tetapi dengan Ikhwan sejak mereka belajar di luar negeri lagi.

Lebih mengejutkan PAN menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan, didominasi DAP. Apakah PAN terpaut dengan pendekatan matlamat menghalalkan cara, politik pecah dan perintah se­olah-olah tidak mengetahui sejarah perjuangan DAP dan ideologi yang mereka dukung?

Pas menolak bergabung de­ngan DAP akhirnya selepas mengetahui parti itu rasis dan anti Islam. Semasa dengan DAP, Pas sanggup menukar slogan perjuangan kepada Negara Berkebajikan dan mengatakan konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Apakah PAN akhirnya nanti akan menyedari bahawa perjuangan mereka adalah di bawah dominasi DAP. Kalau ini terjadi PAN menjadi kelompok pendatang lewat melakukan pendekatan yang merugikan umat Islam. Untuk bangun kembali apabila tercalar bukanlah suatu hal yang mudah.

Orang PAN harus mengkaji sejarah hubungan DAP dengan PAP Singapura. Mereka juga harus meneliti keterpinggiran orang Me­layu di Singapura dalam banyak bidang walaupun PAP meniupkan slogan keadilan, sama rata dan merit.

Bayangkan takdirnya Pakatan Harapan menang dan dominasi DAP adalah besar, apakah cita-cita Islam penubuhan JIM/IKRAM dan ABIM boleh menjadi realiti atau mereka bakal terjebak antara kebencian terhadap Pas dan UMNO memilih regu yang dari segi sejarahnya tidak ramah dengan Islam.

Umat Islam tentunya tidak mahu JIM/IKRAM dan ABIM terjebak dengan politik kebencian dan bersama dengan DAP dan menyebabkan perangkap politik mengena. Takdirnya ini terjadi berpatah balik kepada Pas dan UMNO tidaklah mudah kerana sikap berpolitik hendakkan kuasa sudah diketahui oleh ramai orang.

Untuk mengalahkan Pas di kawasan undi orang Melayu tidaklah mudah. Sebagai gerakan politik baharu, PAN memerlukan duku­ngan akar umbi dari khalayak bukan hanya bergantung kepada dukungan sebahagian orang JIM/IKRAM atau pun ABIM dan kekuatan jentera di semua peringkat untuk memenangi pilihan raya.

PAN yang kepemimpinan utamanya terdiri daripada orang JIM/IKRAM dan ABIM tentu amat maklum kepentingan wehdah (kesatuan) khususnya dalam kalangan umat Melayu di Malaysia kerana perpecahan umat Islam di Syria, Iraq, Yaman dan lain-lain negara adalah terlalu serius dan memilukan. Keadaan ini sepatutnya jadi iktibar supaya perkara sama tidak berlaku di negara kita.

Takdirnya perpecahan serius terjadi di Malaysia dan kuasa politik umat Islam terperangkap dalam kemelut politik DAP untuk melakukan dominasi, apakah pendirian politik PAN berada dalam siyasah syariah yang betul?

Jika ia terjadi (minta dijauhkan Allah), kehilangan kuasa umat Melayu akibat politik dendam dan kebencian boleh menyebabkan kedudukan Islam tergugat. Politik benci dan sentimen suka jatuh menjatuh dan merasakan diri le­bih berkelayakan boleh menyebabkan politik umat Melayu berada dalam situasi yang kompleks.