Sememangnya, masyarakat amat mengalu-alukan dan tertunggu-tunggu untuk melihat pasukan penguat kuasa seperti PDRM dibarisi oleh orang yang luar biasa ketahanan diri mereka dan kalis jenayah. Ini termasuk kalis rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Pendek kata, harapan masyarakat adalah melihat polis sebagai seorang yang ‘maksum’, adiwira membanteras jenayah yang sentiasa ada apabila diperlukan.

Sebab itu sebagai orang yang diamanahkan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, PDRM mesti memastikan semua pegawai dan anggotanya melaksanakan tugas-tugas utamanya. Antara tugas utama di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam dan mencegah serta mengesan penjenayah.

Sebelum ini pada 9 Oktober lalu di Johor Bahru, seorang pegawai dan enam anggota polis dari Unit D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang didapati berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan di daerah itu ditukarkan ke jabatan lain. Tindakan itu diambil selepas rakaman video di Facebook itu tular. Itu belum dicampur kes-kes polis yang terlibat dalam dadah.

Tugas sebagai polis sebenarnya mulia. Ia termasuk dalam suruhan Allah iaitu mencegah kemungkaran. Sa­yangnya perbuatan segelintir anggota PDRM merosakkan imej pasukan itu yang dikatakan sebagai kelima terbaik dunia selepas Uni­ted Kingdom, New York, Jepun dan Taiwan (menurut laporan Indeks Keselamatan Global) pada Julai 2011. Ini sekali gus menjejaskan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada agensi penguat kuasa undang-undang itu.

Yang parahnya, mereka yang terlibat dalam rasuah dan menjadi tali barut ini adalah orang yang dipertanggungjawabkan dan diberi ‘lesen’ untuk memastikan keadilan dan menguatkuasakan undang-undang. Kita tidak mahu nanti masyarakat hilang hormat kepada PDRM yang banyak berjasa memelihara dan menjaga keamanan negara. Jangan sampai masyarakat menukar slogan PDRM sebagai penguat kuasa undang-undang kepada penyalahgunaan kuasa atau gila kuasa.

Apa yang diidamkan oleh masyarakat adalah anggota dan pegawai PDRM yang sentiasa komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Pendek kata, kedatangan atau kehadiran polis menyebabkan umum rasa tenang kerana tahu mereka menjaga keamanan dan mencegah jenayah. Kita bimbang akibat tidak amanah­nya polis akan mengundang kebinasaan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadisnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu sahaja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya; “bagaimana maksud amanah disia-siakan? “Nabi menjawab: Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (Riwayat Bukhari)

Barangkali ada yang menyalahkan gajet-gajet terutama telefon bimbit yang menjadi punca kepada tularnya perlakuan atau tabiat tidak baik yang dilakukan oleh segelintir anggota PDRM. Mungkin juga ada yang menyifatkan perlakuan sedemikian sudah menjadi ‘darah daging’ dalam pa­sukan cuma mutakhir ini ia heboh apabila diketahui umum.

Sedarlah, segala perbuatan yang dilakukan baik dilakukan secara sembunyi atau di depan khalayak semuanya diketahui oleh Allah SWT. Tidak kira siapa pun kita, waima pemimpin tertinggi negara sehinggalah pegawai tertinggi polis, di kiri dan kanan kita ada malaikat yang mencatat amalan dan segala perbuatan kita. Tiada yang terlepas waima pahala atau maksiat walau sebesar zarah. Semuanya akan ditayangkan di hadapan Allah semasa timbangan kita di akhirat kelak di mahkamah Allah yang Maha Adil.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka dan tangan-tangan mereka berkata kepada Kami dan kaki-kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang telah mereka usahakan. (Yasin: 65)