Kitab al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, manakala Taurat untuk Yahudi diturunkan kepada Nabi Musa AS dan kitab Injil untuk Nasrani (Kristian) pula kepada Nabi Isa AS.

Justeru jelaslah ketiga-tiga Muslimin, Yahudi dan Nasrani ialah ahli kitab. Tidaklah jauh daripada fakta jika dikatakan Taurat diturunkan 2,000 tahun dan Injil 600 tahun sebelum al-Quran. Tarikh persis yang benar-benar tepat. Wallahualam.

Tamadun Barat terbahagi kepada zaman-zaman kegelapan, pertengahan, pencerahan dan seterusnya yang terkini. Dalam zaman-zaman berkenaan telah wujud situasi golongan ketua agama Yahudi dan Nasrani membendung pemerintahan raja-raja.

Di zaman pertengahan, kita ambil Copernicus untuk kita cerakinkan. Beliau lahir di pertengahan abad ke-15 dan meninggal 20 tahun selepas Melaka jatuh pada 1511. Beliau seorang pakar matematik dan pakar astronomi atau ilmu bintang.

Kekolotan Nasrani waktu itu memastikan sesiapa yang ingkar dalam pegangan agamanya dihukum, dan lazimnya melibatkan hukum mati.

Berdepan dengan bahaya begitu, Copernicus berahsia dan bersendirian mengkaji dan menyimpulkan bahawa pusat universe (alam semesta) adalah matahari dan bukan bumi seperti ajaran Aristachus selama 1,800 tahun atau 400 tahun sebelum Nabi Isa AS lagi.

Bumi, Marikh dan Saturn mengelilingi matahari, katanya. Kejadian siang dan malam adalah hasil pengelilingan itu, sedangkan bumi sendiri berpusing di atas paksinya yang condong. Segalanya ditulis dalam sebuah buku.

Hanya apabila beliau meninggal dunia, baharulah tulisannya didedahkan oleh kawan setianya. Golongan pemikir dan cendekiawan mengalu-alukannya.

Pemimpin-pemimpin agama akhirnya akur sama. Dengan sendirinya kepercayaan bahawa bumi ini terhampar, terhapus. Bermulalah kepercayaan bahawa dunia ini bulat.

Kebulatan dunia ini menggalakkan pelayar-pelayar menjarah lautan luas. Ini memungkinkan pelayaran agung Magellan, Vasco Da Gama, Francis Drake dan lain-lain. Terjumpalah Amerika Utara dan Selatan; India, benua Asia serta pelbagai kepulauan.

Islam pun mula rancak dikembangkan oleh mubaligh yang menggunakan kapal, bot dan perahu, tidak lagi terbatas di belakang unta dan kuda. Jalan laut ditambah kepada Laluan Sutra, Laluan Turki dan Laluan Sinai untuk ke Timur, Eropah dan Afrika.

Maka jelaslah, latar belakang kehidupan kita waktu itu berlaku proses tolak-tambah dan tendang-terajang dalam kehidupan agama dan kemasyarakatan kita yang sangat berbeza dengan suasana mencari ilmu yang dihadapi oleh Copernicus di Poland.

Seperti yang disebutkan, kekolotan gereja di Poland dan Eropah mula di atasi oleh kejumpaan sains dan teknologi oleh individu-individu seperti Copernicus.

Hakikat itu tidak berlaku di tempat kita atau dalam kalangan Muslimin sejagat. Soalnya apakah kekolotan gereja yang berlaku di zaman pertengahan Barat itu baru kini bermula di dunia Islam?

Sumber-sumber pembacaan, pendengaran dan tontonan di sana sini memastikan ilmuwan-ilmuwan Islam sendiri mengaku bahawa kekolotan dalam kalangan Muslimin kini berlaku berleluasa.

Jika benar begitu, kita akan mengambil masa lagi untuk melahirkan seorang Copernicus atau seorang yang sepertinya sebagai lambang penerokaan pencerahan kita. Wallahualam.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.