Setelah hampir 20 tahun hubungan akhbar ini dengan  Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), DATUK SERI ANWAR IBRAHIM umpama terperosok di bawah kolong,  akhirnya beliau sudi menerima kunjungan kami.  Walaupun ada antara kami yang masih tidak percaya pertemuan ini mampu dilangsungkan, hakikatnya keupayaan Anwar memaafkan dan melupakan kisah silam begitu bermakna bagi kami.

Lebih bermakna lagi kunjungan kami ini juga jatuh pada tarikh ulang tahun kelahiran yang ke-71  bekas Timbalan Perdana Menteri itu, sekali gus membuktikan tidak ada dendam padanya kerana sanggup menerima kehadiran kami pada hari yang sepatutnya dikongsi hanya bersama keluarga tersayang dan teman rapat sahaja.

Sejarah juga membuktikan hubungan Anwar dengan akhbar ini begitu rapat satu ketika dahulu, umpama isi dan kulit. Akhbar ini antara yang sering saja menyokongnya dan dijadikan platform untuk khidmat bakti kepada rakyat serta kelangsungan politiknya ketika itu.

Bagaimanapun peristiwa hitam yang dilalui ketika krisis politik 1998 mengakibatkan kehidupannya berubah sama sekali akibat pertembungan kuasa dengan Perdana Menteri keempat ketika itu. 

Beliau hilang segalanya baik jawatan, pangkat malah disumbat ke penjara atas beberapa pertuduhan. Namun setelah 20 tahun dan ketika beliau masih dipenjara, tuah kembali menyebelahi apabila partinya menang besar dalam pilihan raya lalu.

Dalam wawancara selama hampir sejam yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, DATUK ABD. AZIZ SHEIKH FADZIR, Pengarang Mingguan Malaysia, BADRUL AZHAR ABDUL RAHMAN, dan wartawan HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, FADZIL ZAINOL  dan jurugambar ABDUL RAZAK LATIF, beliau menghurai lebih lanjut tentang kebebasan media, persediaan sebagai bakal Perdana Menteri selain isu pemilihan PKR yang  hangat diperkatakan sekarang. 

KENANG UTUSAN, ISU KESIHATAN 

MINGGUAN: Pertama, kami mengucapkan terima kasih Datuk Seri sudi ditemu bual dan selamat ulang tahun kelahiran yang kebetulan jatuh hari ini. Keduanya, tahniah kerana menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR.

ANWAR:
Pertama saya hendak sebut saya terima (pelawaan untuk ditemu bual) Utusan kerana kenang sejarah gemilang yang lalu sebagai suara hati nurani masyarakat Melayu di zaman era penjajah dan ini tak dapat kita padam walaupun kita ada permasalahan dengan politik selepas itu. Jadi saya harap kita dapat kembalikan landasan yang awal itu.

Semua orang bimbang dengan kesihatan Datuk Seri. Bagaimana keadaan Datuk Seri sekarang?

ANWAR:  
Alhamdulillah, kesihatan dari segi umum, jantung, hati dan kalbu semua okay. Cuma di bahu ini oleh kerana penggantian titanium ia mengambil sedikit masa. 
Tetapi dalam tempoh seminggu dua saya boleh mengeluarkan ini kerana sudah boleh bergerak dengan bebas. Cuma ketekunan mengikuti rejim fisioterapi itu harus saya patuhi.

Bila agaknya Datuk Seri boleh cergas 100 peratus?

ANWAR:
Sekarang ini memang sudah (boleh). Cuma dia (doktor) minta dalam tempoh dua minggu ini, saya boleh keluarkan talian (anduh) ini dan agak boleh bergerak aktif. Tetapi tidak bolehlah kut hendak main tenis, mungkin ambil masa sedikit.


HALA TUJU ANWAR, PKR?

Dua agenda utama penubuhan PKR adalah membebaskan Datuk Seri dan menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Agenda itu telah tercapai. Ke mana hala tuju perjuangan PKR selepas ini?

ANWAR:
Kita pergi lebih awal tahun 1998 dalam Pengisytiharan Permatang Pauh itu, kita rumuskan daripada ayat al-Quran, “tidak ada perubahan melainkan perubahan ke arah kebaikan.” Jadi agenda reformasi kita teraskan supaya ada komitmen dan iltizam jelas menegak keadilan, membebaskan sistem kehakiman yang sekarang ini, saya tidak fikir sudah capai tetapi dalam proses.

Ia tidak harus dilihat terlalu sukar sebab apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat pengisytiharan kemerdekaan, janjinya ialah kebebasan, keadilan, satu badan kehakiman yang bebas, penguatkuasaan tidak memihak, kemudian media yang bebas. 

Maknanya komitmen, hasrat mendukung kebebasan dan demokrasi itu adalah hasrat murni dari awal kemerdekaan, walaupun UMNO ketika itu Perikatan. Tetapi ia didukung oleh  semua rakyat. 

Jadi saya kira keadaan sekarang walaupun kita harus lebih matang,  canggih atau sofistikated tetapi kita harus menjana perubahan ke arah itu. Ekonomi harus dipacu, pertumbuhan harus lebih rancak, tetapi pengagihan itu harus lebih adil.

Kita tidak harus membiarkan kelompok miskin terpinggir. Majoriti (miskin) masih dalam kalangan Melayu dan bumiputera dan sebahagian kecil tentunya dalam kalangan masyarakat India terutama di estet dan juga masyarakat Cina.

Jadi, saya sekarang ini menggagaskan reformasi dalam erti kata itu. Sebab itu, meskipun saya mendukung kepimimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, saya mahu dalam keadaan sekarang, selain memperkukuh PKR yang sekarang telah muncul sebagai antara parti besar dalam negara,  saya mahu pastikan adanya reformasi yang berkesan di Parlimen negara. 

Saya mahu perkara ini dikembangkan dan didukung bukan hanya parti dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi juga dalam UMNO dan rakan sekutu mereka.

Datuk Seri mengatakan mahu melakukan reformasi Parlimen supaya kuasa tidak hanya dipegang oleh Kabinet. Apakah langkah ini dibuat kerana ada keresahan dalam sebahagian pimpinan PH terhadap Kabinet sekarang?

ANWAR:
Ada dua sebab. Yang pertama, itu memang menjadi ketetapan dasar kita dari awal. Parlimen harus berfungsi. Kadang-kadang Parlimen itu senang sangat, bila tidak bersetuju, gantung dan ada perkara tidak boleh dibincangkan. 

Misalnya, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh disoal. Perkara-perkara itu memang janggal dan tidak selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen. Dalam manifesto pun kita tekankan juga soal reformasi Parlimen.

Sekarang tentulah bila menteri-menteri baharu, kadang-kadang kurang pengalaman dan kenyataan itu ada beberapa kelemahan,  semestinya Parlimen perlu menekankan menerusi beberapa jawatankuasa khas yang berfungsi sepertimana berlaku di banyak negara seperti di Indonesia. 

Tak semestinya kita ikut corak dan pengalaman mereka tetapi prinsip jawatankuasa yang boleh memanggil menteri dan menanya soal bil secara terperinci. Oleh sebab sidang Parlimen melibatkan terlalu ramai (ahli dewan), maka pengkhususan ahli Parlimen dalam beberapa jawatankuasa itu sangat penting.


AZMIN - RAFIZI & KEBEBASAN MEDIA

ABD. AZIZ SHEIKH FADZIR (tiga dari kiri) bersama barisan wartawan Mingguan Malaysia ketika mewawanca

ABD. AZIZ SHEIKH FADZIR (tiga dari kiri) bersama barisan wartawan Mingguan Malaysia ketika mewawancara Anwar Ibrahim di pejabatnya di Petaling Jaya.

Pemilihan PKR kali ini agak menarik kerana melibatkan pertandingan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd. Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden. Bagaimana Datuk Seri melihat pertandingan tersebut?

ANWAR:
Pertandingan itu kalau kita sebut parti yang demokratik, kita harus beri ruang. Sebab itu saya tidak beri komen terhadap pemilihan Presiden itu sendiri sehingga sah kerana saya tidak mahu anggap kedudukan Presiden walaupun Anwar menjadi calon, sebagai suatu yang muktamad yang tidak boleh dicabar. 

Dalam UMNO baru-baru ini kita saksikan ada cabaran terhadap semua jawatan penting dan juga seharusnya berlaku (dalam PKR) supaya orang dapat memilih. Keadaan sama dalam beberapa kedudukan utama termasuk Timbalan Presiden.

Jadi saya tidak fikir ia sesuatu yang janggal. Tanggungjawab  saya adalah memanggil keduanya (Mohamed Azmin dan  Mohd. Rafizi) dan memperingatkan jangan salah guna kuasa dan jangan guna kedudukan.

Kalau tidak, yang kita serang 20 tahun dahulu, itu akan terpalit kepada kita, tidak sesuai. Sebab itu misalnya dalam soal kebebasan media, saya selalu memperingatkan kawan-kawan, jangan kerana kemarahan atau dendam kita lupa landasan kita.

Semua orang memang terpalit rasa marah dan rasa kecewa. Kalau baca Utusan yang lama dahulu pun saya rasa tercuit. Tetapi kekuatan kita ialah kerana pertahankan prinsip itu. Bahawa prinsip memuliakan martabat manusia dan sedia memaafkan. 

Yang keduanya, memastikan apa yang kita janji dan ikrar kita, itu kita tunaikan. Itu tentang kebebasan. Jadi, tugas saya memperingatkan calon-calon ini.

Keduanya, (Mohd.) Rafizi dan (Mohamed) Azmin itu tokoh penting. Jadi, bagi saya, soal siapa menang atau kalah itu soal lain. Tetapi saya anggap kedua-duanya itu penting untuk membantu saya memperkukuh parti.

Tindakan Mohd. Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden menimbulkan tanggapan dalam kalangan rakyat bahawa wujud dua kem dalam PKR. Sejauh mana kebenarannya?

ANWAR:
Saya tengok kedua-duanya adalah kem saya. Tapi tidak boleh elak daripada tafsiran kerana (Mohamed) Azmin itu penyandang. Jadi, apabila ada yang mencabar, mesti ada (tanggapan) bahawa saya yang beri laluan. Sebenarnya tidak. Saya bicara kepada kedua-duanya.

Kepada (Mohamed) Azmin, saya tanya mengapa hendak pertahankan? Dia beri penjelasan yang cukup kuat. Kepada (Mohd.)Rafizi, saya kata tidak perlulah ada pertandingan tetapi dia bagi alasan dan saya bagi laluan. 

Jadi saya tidak boleh mengatakan “jangan”kalau dia beri hujah yang mahu diutarakan. Yang mampu saya lakukan ialah jangan terlalu taksub, terikat dengan puak atau 'cai' masing-masing kerana ini akan menolak kemungkinan kita memilih yang terbaik. 

Kalau ada calon lain Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi umpamanya, itu semua harus diberi peluang kepada ahli-ahli.

Saya fikir ahli cukup matang kerana kalau dikatakan ada kem, kedua-dua puak itu, hari-hari  penuh di sini. Kadang-kadang mahu signal (isyarat) daripada saya. Signal daripada saya hanyalah pertahankan idealisme perjuangan parti.    

Bila ada pertandingan, sedikit sebanyak bibit-bibit perpecahan itu tidak dapat dielakkan. Sebagai sebuah parti yang baru membentuk kerajaan, sudah tentu PKR tidak mahu keadaan itu berlaku. Jadi, bagaimana Datuk Seri hendak membendung perkara ini daripada berlaku?

ANWAR:
Itu sepertimana yang Winston Churchill (bekas Perdana Menteri Britain) pernah ungkapkan, bahawa demokrasi itu mungkin wahana terbaik tetapi tidak sempurna. 

Kita tidak ada pilihan. Pemilihan parti harus demokratik. Sebab ada pilihan dan ada kempen, ada kenyataan yang akan melukakan. Tetapi tugas saya ialah untuk mengubati. Jadi, saya tidak fikir lukanya itu akan parah dan ini saya berikan syarat bukan sahaja kepada kedua mereka tetapi juga kepada yang lain.

Sebab itu (diletakkan) beberapa syarat seperti jangan ada serangan peribadi dan penyalah gunaan kuasa tetapi terangkan mesej masing-masing. Tetapi saya setuju ini tidak mudah berdasarkan pengalaman saya dalam beberapa pertandingan. 

Dalam UMNO juga berlaku, kadang-kadang sengit tetapi terserah kepada kepemimpinan. Kalau kepemimpinan tidak terlalu keras mendukung fahaman puak, ia dapat kembali inklusif. Tetapi kalau pimpinan juga terheret dengan puak, maka perpecahan mungkin terjadi.

Jadi saya tidak fikir dalam konteks PKR, kerana saya sebagai bapa harus mendukung semua dan menganggap semua sebagai pasukan dan memberikan ruang kepada mereka.

Mohd. Rafizi mengatakan Nurul Izzah sebahagian kemnya.  Oleh sebab Nurul Izzah adalah anak kepada Datuk Seri, tidakkah ini memberikan gambaran seolah-olah Datuk Seri menyokong Mohd. Rafizi?

ANWAR:
Nurul Izzah itu, kalau saudara ikuti sikap politiknya itu sangat tegas dan bebas. Ada hal dia setuju dengan saya dan banyak hal juga dia tak bersetuju dengan saya. Jadi kita harus anggap beliau itu mempunyai pendirian sendiri.

Tetapi setakat dia berbincang dengan saya, dia juga berasakan perlu mengelak daripada 'dilihat' dalam mana-mana pasukan tetapi tidak menghalang beliau daripada menyokong mana-mana. 


BAKAL PM:  SERAH KEPADA ALLAH
 

 

Apabila menjadi ahli Parlimen nanti, apakah Datuk Seri bercadang menjadi Timbalan Perdana Menteri supaya proses peralihan kuasa itu dapat berjalan dengan baik dan memberikan keyakinan kepada pelabur bahawa semua dasar kerajaan sekarang akan diteruskan?

ANWAR:
Saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa saya tidak bercadang memegang apa-apa jawatan. Saya akan berganding dengan beliau dalam pimpinan.

Saya menyokong dasar-dasar kerajaan tetapi saya tidak rasa perlu menjawat apa-apa jawatan dalam kerajaan. Memadai saya jadi ahli Parlimen kerana saya hendak tumpu soal reformasi Parlimen. 

Kemudian bila ketika waktunya saya ambil alih kuasa daripada Perdana Menteri, itu saya fikir perancanaan yang lebih teratur daripada saya kembali dalam Kabinet dan mungkin menimbulkan rasa agak kurang selesa.

Ini kerana kenyataan sejarah berliku-liku yang sebegitu rupa. Jadi, saya fikir itu rencana saya. 

Dalam sebulan dua ini, mungkin saya ke Parlimen tetapi saya hendak tumpu tentang soal reformasi Parlimen, kerjasama semua parti dan kemudian, membantu dalam soal-soal dasar.

Datuk Seri perlu melalui beberapa proses sebelum peralihan kuasa Perdana Menteri. Sesetengah orang di luar melihat proses itu terlalu lama dan mungkin Datuk Seri terlepas peluang menjadi Perdana Menteri. Komen Datuk Seri?

ANWAR:
 Manusia cuma mampu berikhtiar. Akhirnya bertawakal kepada Allah SWT. Kita ada perjanjian yang bertulis dan Tun Dr. Mahathir berulang kali menyebut.

Saya tidak ada langsung alasan atau wasangka untuk mempertikai hal yang sedemikian. Saya lihat dalam kalangan rakan-rakan dalam PH sudah sepakati dan pembangkang pun nampak faham begitu.

Jadi oleh demikian, saya harus mengambil langkah teliti. Langkah pertama adalah menjadi ahli Parlimen. Untuk berapa lama, saya tidak rasa terdekat atau terdesak. 

Saudara lihat saya lebih tenang dan rileks. Sejak mengambil alih jawatan ini, tidak ada masa lagi dah untuk duduk di Turki berminggu-minggu untuk rawatan. Perkara-perkara itu tidak mungkin berlaku. Jadi berilah ruang itu dengan baik supaya peralihan itu berlaku dengan baik. 

Yang penting keamanan dan transisi itu walaupun ada orang menegur tentang beberapa kelemahan. Saya akui dan saya tidak menafikan beberapa kelemahan yang harus kita tangani dan baiki. 

Tetapi ini satu perkara yang unik, (transisi) tanpa pertumpahan darah tetapi melibatkan beberapa kelemahan dari sudut mungkin kurang pengalaman di setengah pihak dan kenyataan kurang teliti. 

Sebab itu saya kata kebebasan media itu sangat penting. Kalau ada kenyataan kurang teliti, serangan media itu bertubi-tubi. Jadi, bagi saya, media itu menjadi satu wahana  yang sangat berkesan.

KEBIMBANGAN SOAL ISLAM, MELAYU 

 

Beberapa perkembangan selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu meresahkan orang Melayu dan Islam. Misalnya, pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara serta cadangan menyemak semula 102 institusi pentadbiran di negara ini. Apakah keyakinan yang boleh diberikan Datuk Seri bagi menghilangkan kebimbangan ini?

ANWAR:
Dari segi dasar, saya menyokong langkah-langkah yang diambil. Tetapi saya tidak fikir ia boleh menyimpang daripada landasan dan semangat Perlembagaan kita  tentang prinsip-prinsip utama; bahasa, hak keistimewaan (orang Melayu dan bumiputera), Islam dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Jadi perubahan-perubahan kecil itu, ia menimbulkan sedikit kegusaran kerana orang Melayu seperti mana saudara sebutkan, dikejutkan dengan perubahan yang kelihatan agak mendadak.

Tetapi pada hemat saya dan saya berikan keyakinan ia tidak mungkin merubah dasar yang telah disepakati dan ini dalam prinsip dan semangat Perlembagaan kita.

Bahkan ada kenyataan-kenyataan yang kadang-kadang keterlaluan dan saya secara terbuka pernah menegur mengingatkan menteri-menteri jangan terlalu celupar sehingga menyinggung perasaan kaum. 

Seperti mana juga kita harus memberi keyakinan kepada orang Cina, India dan lain-lain, orang Melayu juga harus diberikan keyakinan bahawa negara ini tidak akan menyimpang daripada hasrat membebaskan, memerdekakan dan membantu mengangkat martabat, harakat dan darjat Melayu dalam pelbagai bidang.

Pendekatan kita mungkin berbeza. Seperti mana pernah saya ungkapkan dahulu, saya tidak terlalu cenderung tentang 'kebumiputeraan' seperti mana pernah diungkapkan sejak 1969 di era Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Muhammad Ghazali Shafie. 

Saya sebutkan pertama kali kebumiputeraan itu diungkapkan di depan kami dalam seminar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada masa itu, saya pemimpin PKPIM.

Jadi saya fikir ini harus berganjak. Kita harus menumpukan kepada Malaysia. Kalau saya sebut tentang pembasmian kemiskinan, walaupun tidak sebut bumiputera, kalau benar efektif, ia pasti akan membantu sejumlah besar bumiputera ketimbang kaum-kaum lain. Ini pendekatan.

Umpamanya kemudahan pendidikan, pendemokrasian akses kepada pendidikan berkualiti, itu harus ditekankan. Kita tidak boleh fikir umpamanya meritokrasi dan kemudian biar yang terpinggir dan termiskin itu dalam keadaan sekarang. Itu maknanya tidak mendukung prinsip keadilan. 

Jadi, sementara kita mendukung meritokrasi, kita juga harus beri ruang supaya anak-anak Melayu desa dan peribumi lain di pedalaman juga diangkat supaya mereka dapat bersama bersaing dalam meritokrasi.

Jadi, bagi saya,  tentunya akan memaklum kepada Tun Dr. Mahathir. Saya juga akan lebih aktif menemui golongan budayawan, bahasa, sastera dan juga peniaga dalam kalangan masyarakat Melayu untuk memberi
keyakinan dan meminta mereka memberikan pandangan supaya keadaan ini dapat diperbaiki dengan dasar yang berganjak.

Dasar, tidak mempertahankan yang lama. Walaupun yang baharu, saya tidak akan bersetuju atau pertahan kalau ada percubaan untuk meminggirkan masyarakat Melayu.


ISU BAHASA, SENSITIVITI KAUM

 

Dalam pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara, tidakkah kerajaan fikir sekiranya jawatan itu diisi dalam kalangan orang Melayu yang terbaik atau lebih baik daripada bukan Melayu, ia dapat menghilangkan kebimbangan itu supaya agenda besar PH dapat diangkat?

ANWAR:
Perlembagaan menetapkan kuasa melantik itu kepada Perdana Menteri dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya kebetulan bersama Yang di-Pertuan Agong dalam sedikit kemelut peringkat akhir dalam isu pelantikan Peguam Negara. Pandangan-pandangan sebegini memang kita dengar tetapi keputusan (dibuat) untuk melantik Tommy Thomas yang mempunyai kredibiliti dan kewibawaan. 

Tentunya beliau akan menjalankan tugas dan memastikan bahawa kepentingan semua masyarakat termasuk Islam dan Melayu dipertahankan. Ini yang menyebabkan Agong mengeluarkan kenyataan menyokong pelantikan tetapi menekankan keperluan menjaga Islam dan kedudukan Melayu bumiputera. 

Setakat ini, itu sahaja yang boleh saya jelaskan. Kita juga akan memastikan pelantikan-pelantikan berikut nanti akan mengambil kira bukan sahaja sensitiviti semua kaum tetapi yang cukup layak dan boleh meyakinkan rakyat bahawa seseorang tokoh itu dapat menjaga kepentingan semua.

Belum sampai 100 hari PH menjadi kerajaan, ada menteri membelakangkan Bahasa Kebangsaan apabila mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa lain. Bagaimana pendirian Datuk Seri dalam hal ini?

ANWAR:
Beberapa pelanggaran kecil ini memang berlaku. Saya akui. Tetapi saya ingat yang utama ditekankan, dasar ini tidak harus berganjak. Upacara rasmi haruslah menggunakan bahasa Melayu walaupun kadang-kadang dalam sidang antarabangsa, kita harus menggunakan bahasa Inggeris. 

Kita harus beri ruang kalau sesudah bercakap bahasa Melayu, kalau dia hendak bercakap dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Arab, itu memang dibolehkan. 

Tetapi saya setuju dengan teguran bahawa tidak boleh dianggap remeh soal bahasa kerana sudah berjuang puluhan tahun dan pertarungan itu akhirnya kadang-kadang menjurus kepada pertumpahan darah seperti 13
Mei 1969. Oleh demikian, hal-hal itu kita padamkan kerana itu hanya satu sudut sejarah tetapi jangan kita remehkan.

Saya telah membuat kenyataan berulang kali dalam perkara ini.  Pelanggaran kecil-kecil itu ada berlaku semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kadang-kadang menteri Melayu sendiri dalam kenyataan media campur aduk bahasa Inggeris dan Melayu. 

Pada hal pada pendapat saya, harus kita gunakan bahasa dengan baik peringkat awal. Kemudian kalau hendak sampai secara mudah kepada orang lain, itu dia mengerti.