Golongan yang masih membaca buku dianggap old school atau spesies semakin pupus. Anda boleh lihat kedai buku pun makin mengecil dan ditutup. Yang masuk pun kerana mencari buku rujukan peperiksaan atau alat tulis.

Jadi bagaimanakah hendak menarik orang membaca sesuatu tulisan anda? Soalan ini relevan hanya kepada anda yang minat menulis. Yang tidak minat menulis dan membaca, tidak perlu dihiraukan kerana mereka tidak membaca pun Merrepak hari ini.

Ketika era penerbitan buku, majalah dan akhbar sekarang menghampiri tragedi kaset, CD dan DVD yang tenggelam dek Youtube dan pelbagai portal streaming video, masih ramai yang mengetahui bahawa bidang penulisan tetap memberi peluang pendapatan yang baik.

Difahamkan industri penerbitan buku novel cinta remaja masih berdiri tegak walaupun ada yang memberitahu pasaran kini dilambakkan dengan tulisan yang kualitinya dipersoalkan. Jika bernasib baik, ada orang produksi filem membacanya, mungkin buku itu diadaptasi ke filem. Lagi meletuplah percetakan buku itu sesudah dijadikan filem. Tetapi itu berlaku sekali sekala sahaja.

Jadi penulisan bagaimanakah yang dikatakan boleh menjana hasil? Senang sahaja. Berikut adalah panduan mengikut metodologi Merrepak:

1. Bagaimana menjana duit?

Buka portal berita di internet. Namun ia memerlukan masa untuk meraih hits. Ia bergantung kepada berita yang anda paparkan. Ramuannya ialah berita itu tidak ada pada media lain, bersifat eksklusif dan berwibawa iaitu jika membuat tuduhan, disertakan kenyataan orang yang dituduh atau dengan bukti-bukti.

Dengan hits tinggi, ia akan mendatangkan iklan daripada Google, contohnya. Satu portal bercorak industri hiburan, didapati telah dihiasi dengan pelbagai iklan. Malah mengenakan caj sehingga RM50,000 untuk sesebuah syarikat masuk ke dalam portalnya.

 

2. Cari nama ringkas, senang diingat

Misalnya, 'mikolok’ atau 'seliparjepun’. Cuma jangan terlampai kreatif untuk menamakannya 'biawakhidup’ pula. Memang ada yang selamba menggunakan nama-nama brutal dan kasar. Silakan. Seandainya ia serasi, mengapa perlu risau?

 

3. Pilih subjek tumpuan

Hendak rojak boleh, semua topik hendak ditulis dari makanan kepada kereta, fesyen dan selebriti. Tetapi ramuan rojak tidak akan menjamin kehadiran semua jenis peminat tersebut. Pembaca atau pelayar internet hari ini cenderung kepada subjek khusus. Mahu tumpu kepada kereta, cerita hal kereta sahaja. Mahu cerita politik, cerita hal politik sahaja.

 

4. Bahasa

Ada beberapa portal didapati tidak menitikberatkan bahasa penyampaian, sebaliknya memilih bahasa 'budak weechat’ yang hanya golongan remaja sahaja yang boleh menafsirkannya. Ini harus diubah. Penggunaan bahasa yang betul dan tepat, membantu menambah bilangan pembaca daripada segala lapisan dan peringkat usia. Menambah itu bermakna berulang kali datang membaca, sekali gus meningkatkan kadar 'hits’.

 

5. Persembahan

Satu daripada kaedah menarik pembaca ialah gaya persembahan. Seandainya teks sahaja memenuhi ruang bacaan pun, akan mengurangkan minat pembaca. Selang-seli dengan gambar atau ilustrasi. Paparan portal anda hendaklah sentiasa diubah, mungkin setahun sekali agar 'segar sentiasa’.

 

6. Video

Ciri ini wajib ada. Ingat bahawa ini era di mana orang semakin malas membaca! Jadi mereka lebih suka menonton video. Gaya kontemporari ialah artikel disertakan dengan video seminit dua. Ambil video guna telefon pintar pun memadai, asal jangan bergegar teruk atau kabur.

 

7. Topik berita

Topik hendaklah isu semasa atau jika baharu, hendaklah bersifat news breaking. Elemen ini menjadi pegangan media rasmi dan amat kurang pada portal berita bebas kerana kekangan tenaga dan masa (biasanya portal dikendali oleh seorang dua sebagai kerja sambilan).

Anda harus berani tampil dengan isu-isu semasa yang panas. Hanya dengan ini dapat menarik minat orang datang. Cuma ingat, peganglah kepada Rukun Negara agar dalam keghairahan kita, masih ada tatasusila yang kita pelihara.

 

8. Kewibawaan

Lazimnya, jika anda mahu menjadi pemberita, anda harus berkelakuan seperti pemberita iaitu turun padang ke acara atau tempat kejadian, mewawancara serta mencatat butiran dan mengambil gambar, kemudian baharulah memuat turun berita. Ini meningkatkan ketulenan dan kewibawaan portal anda.

Masalahnya hari ini, ramai yang mencuri, merompak dan memplagiat berita daripada laman rasmi media lain, dan dimuat turun dalam portal masing-masing. Walaupun disebut di dalam berita mengenai sumber sebenar, ia masih dianggap pelanggaran hak cipta. Sekali gus menjadikan portal itu tiada kewibawaan.

Inilah trend semasa di dalam dunia internet kita hari ini. Jalan pintas ialah menciplak dari media rasmi tetapi reputasi anda berada di tahap lantai walaupun hits berlambak.

Semakin lama semakin ramai orang tahu bahawa mereka perlu mendapatkan pengesahan sesuatu berita. Ini disebabkan terlalu banyak cerita pembohongan, berat sebelah dan fitnah bersimpang siur di dalam media sosial hari ini.

Jika anda tidak dapat memberi penjelasan munasabah dari mana sumber berita anda, orang tahu kerja anda sekadar mencuri kerja orang lain, yang tetap tergolong dalam definisi berdosa. Insaflah.