Apapun semua pihak yang terlibat diingatkan supaya tidak membazir dan melampau dalam membuat persediaan majlis yang dirancang. Usah bergolok bergadai semata-mata agar majlis nampak gah dan menjadi bualan tetamu yang bertandang. Buatlah mengikut kemampuan kewangan yang ada agar tidak membazir dan berlebih-lebihan.

Nabi SAW pernah bersabda “Adakanlah majlis pernikahan walau dengan menyembelih seekor kambing” (Riwayat al-Bukhariy). Yakni disuruh bersederhana dan tidak membazir. Ini kerana tujuan mengadakan kenduri kahwin ialah mengiklankan bahawa pasangan tersebut sudah bernikah sekali gus mengelak fitnah dan cakap-cakap belakang.

Jangan jadi seperti membesarkan kerak nasi di periuk yakni membazir dan meniru sifat Pak Kaduk yang menang sorak sedangkan kampung tergadai.

Hal ini diburukkan lagi dengan majlis persandingan pe­ngantin yang tidak mematuhi syariat seperti mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat selain majlis persandingan dipenuhi dengan perkara lagha dan sia-sia. Malah kadang-kadang sesi karaoke dan lagu yang dimainkan terlalu kuat dan memekakkan telinga para tetamu. Dalam hal ini bersederhana adalah lebih molek selain semua jemputan yang hadir selesa menjamu selera dan dapat eratkan silaturrahim dengan saudara mara dan rakan-rakan yang lama tak berjumpa.

Malahan yang lebih penting untuk diambil berat oleh pasangan muda yang baru berkahwin ialah bagaimana mereka mampu mengharungi liku-liku hidup berkeluar­ga dengan aman dan harmoni sehingga ke akhirnya. Ini terutama di tahun-tahun pertama memasuki alam rumah tangga yang jauh berbeza ketika hidup bujang. Jika dahulu makan atau tidak urusan sendiri tetapi setelah berkeluarga dan beranak-pinak, menjadi tanggungjawab suami untuk menyediakan makan dan pakai yang mencukupi buat seisi keluarga.

Mengikut laporan pembentangan di Parlimen oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2016, sebanyak lebih daripada 48,077 kes perceraian dica­tatkan dengan tiga negeri tertinggi iaitu Selangor 7,331 kes, Sabah (6,638) dan Johor (4,700). Laporan kajian juga mendedahkan sebanyak 56.2 peratus perceraian dalam kalangan lelaki disebabkan tiada persefahaman, 11.8 peratus disebabkan isteri curang dan 10 peratus disebabkan campur tangan pihak ketiga seperti mertua dan ipar-duai.

Bagi wanita pula sebanyak 38 peratus perceraian disebabkan tiada persefahaman, diikuti suami curang sebanyak 20.5 peratus dan suami gagal menjalankan tanggungjawab seba­nyak 15.2 peratus. Lebih mendukacitakan lagi apabila didapati majoriti pasangan bercerai ialah daripada kalangan orang Melayu yang baharu lima tahun hidup berumah tangga.

Sehubungan dengan itu bakal raja sehari dinasihatkan agar tidak tertumpu menguruskan persiapan untuk mengadakan majlis walimatulurus sahaja. Perancangan kehidupan selepas pernikahan seperti tempat tinggal yang bersesuaian, nafkah dan perbelanjaan seharian selain perancangan masa depan apabila dikurniakan cahaya mata sebaiknya menjadi pertimbangan.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.