Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Perubahan positif perkhidmatan industri bas

KEMALANGAN maut yang meragut nyawa 14 penumpang bas ekspres di
KEMALANGAN maut yang meragut nyawa 14 penumpang bas ekspres di lebuh raya PLUS berhampiran Kampung Jayo, Pagoh, Johor pada 24 Disember tahun lalu. UTUSAN

SETELAH agak lama tidak kedengaran nahas ngeri melibatkan bas, negara dikejutkan dengan kemalangan yang meragut nyawa 14 orang penumpang apabila bas ekspres yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam cerun sedalam 6.1 meter di Pagoh, Johor pada 24 Disember lalu.

Mohd. Azharuddin Mat Sah
Mohd. Azharuddin Mat Sah

Kemalangan sekitar pukul 3.59 pagi di Kilometer 137.3 Lebuh Raya PLUS itu turut menyebabkan 16 penumpang cedera sementara lesen perkhidmatan syarikat pe­ngusaha bas tersebut, Goldstar Express (M) Sdn. Bhd. digantung sementara me­nunggu siasatan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

Sebelum ini, insiden paling teruk direkodkan pada 21 Ogos 2013 apabila 37 orang maut dalam kemalangan bas di Genting Highlands. Seperti dijangka, orang awam mula menyalahkan pihak berkuasa kerana masih banyak lagi bas dipandu laju, pada masa sama pemandu atau bas yang digunakan mempunyai banyak saman tertunggak.

Yang pasti, gabungan bilangan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis ermasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) masih tidak mampu memantau operasi lebih daripada 4,500 bas ekspres membabitkan 200 syarikat pengusaha selain bas persia­ran, bas henti-henti dan teksi di atas jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini memberitahu semua agensi penguat kuasa telah mengambil iktibar susulan tragedi di Genting Highlands pada 2013 itu dan tiga cadangan untuk operasi bas di kawasan tinggi te­lah dikuatkuasakan pada hujung tahun tersebut.

“Pengusaha bas kawasan tinggi kini tidak boleh lagi menggunakan bas dua tingkat, perlu menyediakan tali pinggang keledar dan penumpang tidak dibenarkan berdiri dalam bas.

“Kami juga telah melaksanakan sistem pengesan global (GPS) kepada semua bas ekspres sementara tali pinggang dan sistem mengehadkan kelajuan diwajibkan ke atas semua bas baharu malah sedang menimbang pemasangan kamera keselamatan dalam bas,” tegasnya.

Untuk kes kemalangan bas ekspres di Pagoh pula, beliau memaklumkan SPAD dan agensi penguat kuasa lain kini sedang menunggu siasatan Miros selesai dan akan menilai cadangan-cadangan baharu untuk tindakan segera kelak.

Mohd. Azharuddin menjelaskan isu berkaitan bas bukan ha­nya bertumpu kepada keselamatan penumpang dan penguatkuasaan, malah perlu mengambil kira kelangsungan industri pengusaha bas dan antaranya isu kekura­ngan pemandu khususnya di Johor dan Lembah Klang, kos operasi serta harga tiket.

Ujarnya, kekurangan pemandu boleh menyebabkan pengusaha melonggarkan tapisan pekerja baharu di samping menutup sebelah mata tentang pelanggaran peraturan seperti berhenti rehat setiap empat jam, tidak boleh memandu melebihi lapan am dan tidak me­lebihi kelajuan 90 kilometer sejam.

“Masalahnya, agensi penguat kuasa tidak mampu memantau setiap bas sepanjang masa dan mengharapkan pengusaha sendiri memantau pemandu mereka serta merekodkan pemeriksaan keselamatan secara berkala.

“SPAD pula akan melaksanakan pemeriksaan mengejut bagi memastikan pengusaha sentiasa menyimpan rekod kelajuan GPS serta pemeriksaan tahap ke­selamatan bas dan pemandu bagi setiap perjalanan. Jika berlaku kemalangan, mereka perlu jawab dan berdepan risiko lesen digantung,” jelasnya.

Walaupun masih banyak aduan tentang bas dipandu laju di lebuh raya, Mohd. Azharuddin berkata, terdapat penambahbaikan hasil rekod data yang dikumpul yang kemudiannya dibuat perbandingan dari setahun ke setahun khusus­nya melibatkan jumlah kemalangan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod data itu, jumlah kemalangan bas ekspres telah berkurangan hasil tindakan bersepadu polis, JPJ, AADK dan SPAD melalui operasi bersama yang sentiasa dipertingkatkan (253 operasi pada 2015 kepada 439 operasi tahun lalu) dari semasa ke semasa.

“Ambil sahaja contoh musim sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Pada musim sama tahun lalu kami menerima 70 adu­an penumpang bas tetapi pada tahun ini cuma 41 aduan. Tahun ini juga hanya ada satu kes kemalangan tetapi tidak serius. Dalam kemalangan itu pemandu bas sahaja alami cedera ringan. Kami juga merekodkan 127 kesalahan sahaja tahun ini berbanding 248 tahun lalu dan 233 pada 2015,” katanya.

Menjawab satu soalan beliau berkata, kajian Miros antara 2007 hingga 2014 menunjukkan bahawa 66 peratus kemalangan yang melibatkan bas dan lori berpunca daripada faktor manusia.

Oleh itu, Mohd. Azharuddin turut memaklumkan SPAD akan meluaskan lagi penggunaan aplikasi pintarnya ‘MeterOn’ kepada pemandu bas bagi membolehkan mereka membuat aduan jika pemandu bas berkenaan melanggar peraturan jalan raya. Sebelum ini aplikasi tersebut hanya digunakan oleh orang awam untuk membuat aduan terhadap pemandu teksi.

“MeterOn yang boleh dimuat turun secara percuma pengguna telefon pintar jenis Android atau iPhone mampu menyampaikan aduan orang ramai serta-merta kepada kami dan ini akan memudahkan SPAD mengambil tindakan terhadap pemandu dan pengusaha bas yang melanggar peraturan.

“MeterOn sudah boleh digunakan sepenuhnya untuk aduan terhadap teksi dan saya jangka orang ramai boleh mula menggunakan aplikasi ini bagi membuat aduan terhadap perkhidmatan bas selewat-lewatnya penghujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu satu makmal khas bagi membincang isu-isu berkaitan industri bas di negara ini akan diadakan bermula 20 Februari ini selama enam minggu dan satu cadangan penuh akan dikemukakan kepada kerajaan pada pertengahan tahun ini.

“Kami akan tumpukan tentang kerjasama dan perkongsian data antara semua agensi bagi menyela­raskan penguatkuasaan di samping penekanan asas keselamatan yang perlu dilaksanakan oleh setiap pe­ngusaha bas,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain