DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (kiri) ketika menjadi ketua Pemuda UMNO pada 1998 dan Presiden UMNO pada 2018
DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (kiri) ketika menjadi ketua Pemuda UMNO pada 1998 dan Presiden UMNO pada 2018 

Semalam, Zahid sekali lagi menerima tekanan yang sama. Kali ini didesak oleh Timbalan Presiden UMNO yang mahu Zahid bercuti sebagai Presiden sehinggalah kes beliau selesai dibicara dan beliau boleh kembali semula sekiranya dibebaskan. Apa yang lebih menarik ialah ada pemimpin UMNO menyatakan kesediaan Zahid melepaskan jawatan akan membuktikan betapa profesionalnya beliau berbanding pemimpin pembangkang dahulu seperti Lim Guan Eng dan Anwar yang tidak melepaskan jawatan walaupun disabitkan kesalahan.

Awang bersetuju wajah UMNO tidak boleh dibabitkan dengan masalah peribadi pemimpin. Cuma Awang bimbang jika ini dijadikan senjata oleh Dr. Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mengheret semua pemimpin UMNO dan seterusnya menggagalkan harapan UMNO untuk direkayasa. Kalau itulah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, maka Awang ingin mencadangkan semua pemimpin UMNO yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan dahulu juga harus direhatkan.

UMNO mesti berani mengambil tindakan drastik supaya pemimpin bukan sahaja perlu bersih tetapi perlu dilihat bersih. Mungkin nama seperti Shahril Hamdan dan beberapa pemimpin muda baharu boleh diketengahkan supaya serangan untuk melemahkan kebangkitan UMNO dengan tuduhan kepada pemimpin-pemimpinnya tidak menjadi senjata kepada PH.

UMNO tidak perlu takut untuk membuat anjakan bagi mengangkat pemimpin dalam kalangan orang muda. Ramai tokoh muda sudah menjadi pemimpin besar dunia seperti Sebastian Kurz (Austria), Justin Trudeau (Kanada), Matteo Ranzi (Itali) dan Shama al-Mazrui (UAE). Sejarah juga telah membuktikan Sultan Muhammad Al-Fateh daripada Dinasti Uthmaniyah hanya berusia 21 tahun ketika berjaya menawan kota Constantinople (Istanbul).

UMNO juga pernah dibarisi pemimpin-pemimpin muda di zaman Dr. Mahathir baru menjadi Perdana Menteri dulu. Tokoh-tokoh seperti Muhyiddin Yassin, Annuar Musa, Shahrir Samad, Rais Yatim, Rahim Tamby Chik dan Anwar memegang jawatan dalam kabinet dan kerajaan negeri di usia 30-an.

Awang bersimpati dengan nasib Zahid namun percaya beliau senantiasa meletakkan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi. Awang juga berharap agar krisis ini tidak digunakan untuk menghalalkan agenda peribadi pihak tertentu bagi menghancurkan perjuangan parti terbesar orang Melayu ini.

 

JAMBATAN BENGKOK
 

Isu Jambatan Bengkok kembali semula dengan kembalinya Mahathir sebagai Perdana Menteri. 
Isu ini yang merupakan pencetus pertelingkahan Dr. Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sehingga wujudnya gerakan menjatuhkan Pak Lah dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Akhirnya tahun 2009, Pak Lah berundur. Dalam tempoh lima bulan menjadi Perdana Menteri, projek yang amat dekat di hati Dr. Mahathir kembali menjadi agenda utama kerajaan.

Rakyat terkejut dan tertanya-tanya di kala manifesto yang membabitkan janji untuk mengurangkan bebanan rakyat tidak mampu ditunaikan oleh kerajaan PH, tetapi kini projek yang memenuhi cita rasa Perdana Menteri menjadi keutamaan.

Apa yang lebih pelik, jambatan ini bukanlah satu keperluan kepada rakyat negeri Johor apatah lagi untuk rakyat Singapura. Ia sekadar satu impian yang belum menjadi kenyataan seorang Perdana Menteri.

 

KERETA  NASIONAL KETIGA
 

DR. MAHATHIR MOHAMAD masih terkesan kehilangan Proton. - BERNAMA
DR. MAHATHIR MOHAMAD masih terkesan kehilangan Proton. - BERNAMA 

Awang masih lagi membayangkan wajah Nurul Izzah Anwar yang tergamam apabila Dr. Mahathir menyatakan hasrat beliau membangunkan projek kereta nasional baharu jika PH menguasai Putrajaya dahulu.

Sememangnya kereta juga merupakan minat peribadi Dr. Mahathir. Bagi menyuntik semangat ‘Malaysia Boleh’, Proton dibangunkan pada tahun 1985 iaitu empat tahun selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Dr. Mahathir amat kecewa apabila kerajaan dahulu membuat keputusan menjual majoriti saham Proton kepada syarikat Geely iaitu syarikat milik negara China. Awang masih ingat ungkapan beliau ‘‘walaupun Proton masih ada tapi ia bukan lagi milik kita’’.

Selepas lima bulan menjadi Perdana Menteri, agenda kereta nasional kembali. Persoalannya apakah ia boleh berdaya maju atau hanya memenuhi keinginan Perdana Menteri semata-mata? 
Awang tidak menafikan Proton memang kebanggaan kita. Namun kita juga sedar kerana mahu menjayakan Proton waktu itu, pelbagai cukai dikenakan kerana hanya mahu memastikan harga Proton adalah yang termurah dan boleh dijual dalam pasaran.

Akhirnya keputusan berani terpaksa dibuat kerajaan dahulu walaupun ia berisiko kerana tidak mahu mencetus pertelingkahan dengan Dr. Mahathir disebabkan projek ini merupakan projek kesayangan beliau. Mungkin ia menjadi penyuntik motivasi untuk Dr. Mahathir menjatuhkan Najib Razak dan BN kerana menjual syarikat Proton ini.

 

ASRAMA TIRAI BESI
 

Kisah pembangkang ke penjara muncul lagi. Kalau dulu zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, ramai ahli politik berpeluang berehat di asrama tirai besi. 

Waktu itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) paling popular digunakan. Lim Kit Siang, Karpal Singh, Halim Arshat dan Ibrahim Ali semuanya adalah bekas penghuni asrama tirai besi ini.

Anwar juga pernah merasainya. Dipecat kerana disyaki meliwat tetapi akhirnya dipenjarakan atas tuduhan salah guna kuasa sebagai seorang menteri.

Kini persekitaran sama kembali. Kalau dulu ISA digunakan, tapi sekarang Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) menjadi pilihan.

Ramai pemimpin pembangkang menunggu masa temu janji dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah AMLA. Bermula hanya untuk membuktikan kes salah laku pengurusan Najib dalam 1MDB, kini berlarutan hingga melibatkan yayasan yang digunakan untuk membangunkan masjid dan tahfiz.

Mungkin ia juga akan digunakan untuk menguburkan parti politik seperti UMNO jika gagal membuktikan aliran wang yang berlaku dalam akaun. Inilah kehebatan kuasa AMLA yang tidak mengenal jasa, niat dan keikhlasan peribadi tetapi hanya menyahut arahan si pemberi.
Dr. Mahathir tetap Dr. Mahathir. Masa mungkin berubah tetapi cara masih tetap sama. Umur mungkin berubah tetapi minat tidak berubah.

 

DASAR PENSWASTAAN
 

Penswastaan Malaysia versi Dr. Mahathir kembali semula. Awal tahun 1984 dan 1985, Dr. Mahathir cukup popular dengan dasar penswastaan syarikat kerajaan dengan bermatlamat mengurangkan kos operasi kerajaan dan membolehkan syarikat-syarikat milik kerajaan diurus dengan lebih baik.

Malangnya semua syarikat yang diswastakan seperti Renong, UEM dan MAS kini kembali menjadi milik kerajaan yang terpaksa diselamatkan dengan harga yang tinggi.

Syarikat milik Khazanah kini menjadi tumpuan penswastaan baru Dr. Mahathir. Dengan nilaian aset yang tinggi, sudah semestinya akan menarik minat ramai usahawan baharu dan usahawan lama yang sedang dibaharui untuk mengambil bahagian.

Awang juga hairan kenapa syarikat sudah berdaya maju, mampu merentasi pasaran antarabangsa yang dimiliki oleh rakyat Malaysia, hari ini mahu diserahkan kepada individu-individu tertentu hanya kerana kononnya bukanlah matlamat kerajaan untuk terlibat dengan perniagaan.