Begitu juga dengan Sungai Perak, kisahnya cukup berpengaruh. Selain menjadi laluan pengangkutan utama sejak beberapa kurun dahulu, sungai kedua terpanjang selepas Sungai Pahang itu pernah menjadi saksi kepada dua peristiwa perang yang penting, meskipun beza masanya begitu lama iaitu Perang Bisik dan Perang Bekor.

Perang Bisik atau Perang Musuh Bisik yang berlaku pada kurun ke-19 itu merupakan gerakan tentera Siam untuk menyerang Kedah.

Datuk Hashim Ismail, seorang pengkaji bebas yang mengetahui kisah tersebut memberitahu peperangan tersebut merupakan strategi genius dalam mengenal pasti dan menghadapi musuh.

Beliau berkata, antara pemimpin terlibat dalam peperangan tersebut adalah Sheikh Daud Abdullah Al-Fattani, Tunku Kudin dari Kedah dan kerajaan Siam.

“Peperangan yang berlaku merupakan pertempuran antara kerajaan Siam dan orang Islam yang bermula di Kedah, kemudian berlanjutan hingga ke Perak.

“Ketika itu, Kedah telah diserang oleh Siam atas alasan tidak membayar ufti dan membantunya memberi bekalan keperluan asas bagi menyerang Burma.

“Setelah menyerang Siam, mereka cuba menekan Perak, tetapi dengan menggunakan strategi berbeza seperti menghantar pelbagai barangan seperti kain dan sebagainya melalui Sungai Perak.

“Sultan Perak ketika itu bijak mengesan taktik tersebut telah menggunakan strategi berbisik iaitu penyebaran satu kod rahsia melalui bisikan,” katanya ketika ditemui S2 di kediamannya di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau menambah, taktik tersebut bertujuan mengesan musuh. Jika seseorang itu terpinga-pinga mendengar kod tersebut, maka dia adalah musuh dan akan dibunuh saat itu juga.

Lebih 100 tahun kemudian, tercetus satu lagi peperangan yang dianggap penting kerana melibatkan pertelingkahan antara penduduk tempatan.

Menurut Hashim, perang yang berlaku sekitar 1940-an selepas penjajahan Jepun dan sebelum kedatangan semula Inggeris itu melibatkan rasa tidak puas hati antara penduduk kampung di Bekor, Kuala Kangsar.

“Peristiwa berdarah itu dinamakan Perang Bekor. Ia berlaku ketika serangan komunis sedang hangat. Kisahnya dicatatkan di Sungai Perak.

“Ada bermacam-macam versi tentang Perang Bekor kerana melibatkan pertelingkahan antara kaum iaitu Melayu dan Cina. Ada yang kata Cina mulakan, ada pula kata sebaliknya.

“Puncanya, seperti yang diceritakan oleh penduduk tempatan, dekat sebuah perkampungan masyarakat Melayu di tepi Sungai Perak. Orang Cina ternampak mayat seorang wanita yang disyaki hilang terdampar dekat tebing sungai di kampung tersebut.

“Jadi, mereka beranggapan anak perempuan Cina dari kampung lain di Perak yang hilang rupanya telah dibunuh dan dirogol oleh penduduk dari kampung di Bekor.

“Akibat rasa tidak puas hati dan tanpa usul periksa, mereka telah datang melalui hutan dari arah tanah tinggi dekat Bekor dan menyerang kampung orang Melayu,” jelasnya.

Beliau memberitahu, keadaan ketika itu kucar-kacir. Tiga hari tiga malam peristiwa tersebut berlanjutan.

“Saya diberitahu, keadaan masa itu sangat teruk, rumah orang kampung dibakar, perut orang dirodok sampai terburai isinya.

“Namun ada seorang penduduk, rumahnya terselamat dan dia kemudian membunuh semua orang yang membuat kacau sehingga keadaan kembali tenang.

“Waktu itu, mayat-mayat bergelimpangan, orang Cina membawa pulang jasad kenalan mereka ke kampung asal. Ketika itu juga, Sungai Perak mengalir merah.

“Kalau awak jumpa orang-orang tua di Kuala Kangsar dan Bekor, mereka masih ingat lagi peristiwa tersebut, macam mana takutnya penduduk ketika itu,” ujarnya.