Penulis sendiri pun terkejut dengan kenyataan pemimpin veteran UMNO ini memandangkan usia pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru genap setahun pada 9 Mei lalu. Mana mungkin Parlimen dan kerajaan akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15 kerana usia pemerintahannya yang masih baharu.

Apakah sebab musabab Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan nama Ku Li berkata demikian? Namun mengenali Ku Li yang kini sudah menjangkau 82 tahun dan telah terlibat dalam arena politikMalaysia berdekad-dekad lamanya, pemerhatian beliau terhadap situasi politik negara tidak boleh diabaikan.

Beliau bukan calang-calang dan penulis amat yakin bacaan politiknya ada asas dan ada sandaran khususnya berkaitan proses peralihan kuasa dari­pada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Penulis percaya bacaan politik Ku Li cukup `berbiasa’ dan beliau juga cukup masak dengan cara berpolitik Dr. Mahathir dan Anwar. Pasti Ku Li mempunyai pandangannya tersendiri tentang rancangan peralihan kuasa tersebut yang sehingga kini masih belum ditentukan masanya walaupun terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu agar proses tersebut tidak ditangguhkan.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) adalah antara pihak yang mahu Dr. Mahathir mematuhi perjanjian peralihan kuasa dengan Anwar. Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, sebarang usaha penangguhan akan menyukarkan tugas Anwar sebagai Perdana Menteri kelak.

Peralihan itu perlu berlaku sebelum berakhirnya penggal lima tahun pemerintahan Kerajaan PH, sebaik-baiknya tidak melebihi tiga tahun, kata Syed Badli Shah.

Ketika ditanya kepada Anwar oleh wartawan tentang perkara sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Rabu lalu, beliau berkata, tentang tarikh dan masa paling sesuai, perkara itu akan dibincangkannya bersama Dr. Mahathir.

“Soal tarikh (peralihan kuasa) dan sebagainya, biar beliau (Dr. Mahathir) bincang dengan saya. Saya tiada masalah.” kata Anwar.

Sebelum ini Dr. Mahathir telah beberapa kali mengulangi komitmennya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar apabila sampai waktunya

Apapun penulis yakin bahawa Ku Li merasai `sesuatu’ berhubung dengan peralihan kuasa tersebut sehingga beliau memperingatkan kepada UMNO agar bersiap-sedia sekiranya berlaku pilihan raya mengejut.

Mengenai ingatan Ku Li itu, jentera UMNO tolong jangan leka atau melihatnya sebelah mata kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku. Hakikatnya, sejarah politik Malaysia cukup hebat dengan 1,001 kisah. Daripada kes UMNO diharam, era reformasi, penubuhan PKR, keluarnya Dr. Mahathir daripada UMNO, penubuhan Bersatu sehinggalah kisah parti Dr. Mahathir dan parti Anwar bergabung membentuk PH bersama DAP serta Amanah.

Justeru, jentera UMNO, parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk jentera Pas perlu berada dalam mod siap sedia. Jika apa-apa berlaku, persediaan telah pun dibuat dan ini akan melancarkan lagi tugas-tugas pilihan raya sekiranya benar PRU-15 diisytiharkan lebih awal.

Menyahut kata-kata Ku Li UMNO, parti komponen BN serta Pas juga sudah boleh memulakan rundingan pengagihan kerusi antara parti-parti terlibat sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-15. Bermusyawarahlah agar kesemua parti dapat mencapai satu keputusan terbaik.

Secara peribadi penulis amat yakin gabungan jentera BN dan Pas mampu menghasilkan keputusan positif seperti yang telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, PRK Semenyih dan PRK Rantau khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Beri ruang kepada Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Awang bergabung fikiran agar persiapan menghadapi PRU-15 benar-benar mantap. Sama ada PRU-15 akan datang mengejut atau mengikut tempoh yang ditetapkan usaha tersebut perlu dimulakan sekarang.

Dalam pada itu terdapat juga pemimpin Kerajaan PH yang kurang senang dengan kenyataan Ku Li tersebut. Katanya, kenyataan Ku Li itu adalah tidak wajar. Beliau juga menyatakan UMNO masih terkejut dengan kekalahan dalam PRU-14. Terpulanglah kepada pemimpin terbabit untuk membuat ulasan tetapi jangan lupa Ku Li ini ibarat `kamus politik negara’.