Walaupun pelbagai maklumat diterima mengenai pemergian Almarhum, saya hanya boleh menerima hakikat apabila kenyataan rasmi akhirnya dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang.

Pelbagai memori bersilih ganti di fikiran kerana Almarhum merupakan seorang raja yang amat disenangi pemimpin dan rakyat kerana sifat baginda yang amat merendah diri dan sentiasa mengambil berat tentang masalah rakyat.

Ramai yang tidak tahu bahawa Almarhum merupakan sumber inspirasi untuk saya melakukan kerja-kerja amal bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sebagai aktivis sosial, saya sentiasa menjadikan Almarhum sebagai ikon yang tidak pernah kenal erti penat dalam hal membantu orang ramai.

Masih tersimpan kemas di ingatan saya apabila Almarhum menyapa saya ketika baginda merasmikan Persidangan Dewan Rakyat di hujung tahun 1970-an.

“His honourable Lee Lam Thye, how are you doing? How’s your social works?” (Apa khabar Yang Berhormat Lee Lam Thye? Bagaimana dengan kerja-kerja sosial awak?”)

Saya akui sedikit tergamam apabila Almarhum, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada masa itu menegur saya yang masih baharu di Parlimen.

Saya hanya sempat berbual sekejap namun setiap kali melihat saya selepas itu, Almarhum sering menganggukkan kepala dan tersenyum walaupun dari kejauhan.

Apabila saya tidak lagi aktif dalam politik, saya berpeluang menghadap Almarhum bersama pemimpin Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Kuantan.

Seperti selalu, Almarhum akan bertanya khabar serta bagaimana dengan kerja-kerja sosial yang saya lakukan. Saya amat terharu apabila Almarhum turut mengambil tahu pelbagai aktiviti yang saya jalankan di bawah pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sebenarnya, keprihatinan Almarhum terhadap isu rakyat lahir daripada sifat penyayang baginda. Ia juga merupakan salah satu kelebihan kerabat Diraja Pahang yang amat sinonim dengan frasa “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Rakan-rakan saya di Pahang termasuk wartawan dan jurugambar sering berkongsi pengalaman mengiringi Almarhum ketika lawatan ke kawasan yang ditimpa bencana.

Jika Almarhum melihat terdapat kekurangan, baginda akan terus menitahkan pegawai terbabit untuk segera mengambil tindakan.

Gambar-gambar Almarhum ketika melawat mangsa bencana banyak memberikan semangat untuk saya dan ramai lagi sukarelawan untuk bekerja lebih keras demi untuk membantu mereka yang memerlukan.

Hati saya amat tersentuh apabila melihat gambar-gambar mangsa menangis sambil memeluk Almarhum. Mereka sudah tentu berasa terharu dan ingin berkongsi rasa dengan seorang Sultan yang amat dikasihi.

Saya juga amat terkesan apabila melihat gambar Almarhum menadah tangan berdoa memohon pertolongan yang Maha Kuasa setiap kali berlakunya bencana atau insiden menyayat hati seperti kehilangan di hutan belantara atau lautan.

Wajah sugul Almarhum jelas kelihatan seolah-olah baginda kehilangan ahli keluarga yang amat dikasihi.

Sesungguhnya, hanya mereka yang sering terlibat dalam operasi membantu mangsa bencana akan memahami perasaan Almarhum. Kita bukan sahaja perlu bersengkang mata untuk mencari mangsa tetapi juga perlu menenangkan keluarga mereka.

Saya amat memahami situasi sebegitu kerana tugas saya sebagai aktivis masyarakat dan juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri suatu ketika dahulu menyebabkan saya perlu turun padang setiap masa.

Diharapkan seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dapat mencontohi Almarhum Sultan Ahmad Shah yang sering turun padang demi untuk membantu mereka yang memerlukan.

Almarhum sanggup mengenepikan protokol dan mencemar duli demi untuk menghulurkan bantuan dan memudahkan urusan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Jika seorang insan yang bergelar Sultan dan Yang di-Pertuan Agong boleh melakukannya, tidak ada alasan untuk kita sebagai pemimpin atau rakyat biasa untuk mengelak daripada tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.

Semoga semangat, keprihatinan dan limpah kasih Almarhum akan sentiasa tersemat di hati kita sebagai rakyat Malaysia demi menjadikan negara lebih harmoni dan dipenuhi kasih sayang.

Dengan perasaan sedih yang amat mendalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah ucapan takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.