Keyakinan itu dapat dilihat apabila beliau beberapa kali mengkritik, mengecam serta menyindir sistem pendidikan negara yang diuruskan oleh Kerajaan sebelum ini. Dalam erti kata lain, hanya beliau sahajalah yang tahu apa patut dibuat.

Namun sebenarnya, naratif-naratif yang beliau sampaikan di dalam konteks kemajuan pendi­dikan bukanlah satu cerita baharu. Bahasa mudahnya, idea beliau adalah idea lama yang telah pun dibangkitkan atau dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

Misalnya, pandangan beliau mengenai pemantapan bahasa Inggeris dan penekanan kepada tek­nologi di sekolah-sekolah. Ini­siatif pemantapan bahasa Inggeris ini merupakan salah satu daripada perbincangan wajib setiap kali bertukarnya Menteri Pen­didikan. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.

Malah, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Keempat telah dihentikan selepas aktivis bahasa pro Anwar Ibrahim seperti Datuk A. Samad Said menentang pelaksa­naannya. Tapi yang A. Samad Said lawan itu cerita dulu. Sekarang mereka sudah satu kapal. Ceri­tanya mungkin berbeza selepas ini.

Apa pun tujuannya, saya harap itu adalah yang terbaik untuk negara ini. Kerana masa depan negara yang akan dicorakkan oleh generasi akan datang bergantung kepada sistem pendidikan negara. Baik buruknya pelaksanaan sistem pendidikan negara, bakal memberi kesan besar kepada negara ini.

Atas sebab itulah hari ini saya menulis untuk menyumbang dan sama-sama memberi pandangan untuk sistem pendidikan negara. Lagipun, saya mengambil sema­ngat pemimpin kerajaan yang baharu kononnya mereka terbuka dengan segala pandangan dan kritikan daripada rakyat. Sama ada mahu terima atau tidak pandangan ini, terpulanglah.

Saya akan memberi penekanan kepada tiga perkara. Pertama, sistem peperiksaan hari ini dicirikan sebagai usaha – Jika hafal, maka lulus. Ia seperti satu ujian ingatan dengan hanya sedikit penekanan terhadap pemahaman dan aplikasi terhadap sesuatu ilmu itu. Jadi, untuk meminimumkan penekanan yang tidak wajar terhadap sistem penghafalan ini, ada ke­perluan untuk kita beralih ke arah ujian berasaskan kompeten atau competency based testing.

Untuk itu, dicadangkan supaya kerajaan meneliti konsep On-Demand (ODE) sebagai langkah besar dalam arah fleksibiliti untuk pem­belajaran terbuka dan jarak jauh. Konsep ODE yang ini akan menjadikan sistem pemeriksaan ke­seluruhan bebas daripada kerangka masa dan akan membantu pelajar mengambil peperiksaan mengikut kehendak dan persediaan mereka.

Menerusi konsep dasar ODE atau Peperiksaan-Atas-Permin­taan ini, pelajar diberi kebebasan untuk ke dewan peperiksaan hanya ketika mereka telah bersedia. Ini sekali gus dapat mengurangkan tekanan kepada pelajar di negara kita yang disifatkan oleh kawan-kawan Dr. Maszlee sendiri ketika dalam pembangkang sebagai tidak relevan dan hanya fokus kepada peperiksaan semata-mata.

Selain itu, konsep ini juga kondusif untuk menjamin mutu dalam penilaian. Bukan sahaja ODE bebas daripada tekanan masa tetapi ia juga membolehkan para pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka sehingga berpuas hati dengan tahap penguasaan yang ditetapkan oleh mereka sendiri secara individu.

Ini meningkatkan dimensi ke­terbukaan dalam Sistem Sekolah di mana peperiksaan adalah pada diri sendiri dan tahap prestasi pelajar dikawal diri sendiri. Dari sudut tenaga pengajar atau guru, ia mampu memberi fokus dan kemajuan teknik pengajar untuk memberi fokus kepada sesuatu subjek.

Kedua, selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada penguasaan bahasa pengekodan dan pengaturcaraannya. Sistem Pendidikan Malaysia yang ingin diperbaharui ini perlu memberi penekanan terhadap ketiga-tiga bahasa ini yang menjadi medium bahasa masa depan.

Penekanan dan cadangan kepada ‘koding’ ini merupakan salah satu daripada perancangan Kerajaan sebelum ini. Ia kerana, kerajaan sebelum ini telah mengenalpasti sedar akan bahasa pengekodan ini. Dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan bahawa jika sebelum ini kerajaan telah melaksanakan dasar untuk membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rak­yat dan kini kerajaan perlu pula memberi penekanan kepada bahasa masa depan.

Antara contoh sekolah yang berjaya melaksanakan program koding ini adalah Sekolah Kolej Yayasan Saad (KYS) di Ayer Keroh Melaka. KYS telah menjalankan program-program koding sejak 10 tahun lalu. Setiap pelajarnya mempunyai asas pengekodan dan pengaturcaraan seawal usia 13 tahun. Sebab itulah, hari ini KYS dikenali dalam menghasilkan para pelajar yang berkualiti.

Dan yang ketiga, Kerajaan Pakatan Harapan hari ini perlu menyatakan pendirian mereka mengenai sekolah-sekolah vernakular. Apakah ia akan diteruskan atau tidak? Jika semasa Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, ramai pemimpin di dalam Pakatan Harapan mahukan agar sekolah jenis ditutup antaranya adalah anak Tun Dr. Mahathir sendiri yang juga merupakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Apabila sudah menjadi kerajaan, maka atas sebab itulah mereka perlu nyatakan pendirian. Tetapi, kalau ikutkan sembang-sembang mereka terutamanya di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini, sekolah vernakular akan ditutup bagi memberi fokus kepada perpaduan kaum di negara ini. Mungkin esok atau lusa tutuplah. Entahlah, sebab itu kerajaan perlu nyatakan pendirian, kerana rakyat ingin tahu.

Akhir sekali, kepada Dr. Mas­zlee, tugas Yang Berhormat (YB) di Kementerian Pendidikan bukanlah mudah. Setiap dasar dan polisi yang YB perkenalkan, akan mencorak pemimpin masa akan datang negara. Jika dasar itu baik, maka Malaysia akan melahirkan pemimpin masa depan yang baik.

Justeru, buatlah yang terbaik. Kurangkanlah berpolitik. Utamakan kepentingan negara. Janganlah setiap hari buat sidang media hanya untuk ‘umumkan’ dasar atau polisi tidak berkesan yang dilaksanakan sebelum ini. Ingatlah, Pakatan Harapan sekarang adalah kerajaan, bukannya pembangkang lagi. Maka, pimpinlah kerajaan dengan matang kerana Malaysia telah memilih. Ubahlah perangai!

PENULIS ialah Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara dan calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.