Hijrah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW amat strategik dan tersusun rapi dalam menegakkan dakwah serta syariat Islam itu sendiri. Dengan sebab itu, keimanan dan ketakwaan yang tinggi perlu ada dalam diri seseorang sekiranya mahu mencapai daulat Islamiah yang tinggi se­perti mana yang ada pada baginda SAW serta para sahabat. Apa yang menariknya, kejayaan hijrah pada saat itu telah mengubah landskap kehidupan umat pada masa kini termasuklah dari segi akidah, ibadah dan akhlak.

Jika kita teliti dan fahami de­ngan sedalam-dalamnya, pasti akan terdetik dalam diri kita untuk berusaha dan bersungguh-sungguh mencontohi apa yang dilakukan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad SAW dengan memperkasakan dan memperbaiki hijrah kita dalam apa jua aspek kehidupan. Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh baginda sangat jelas iaitu semata-mata untuk memastikan agama Islam dipandang tinggi dan dihormati oleh penganut-penganut agama yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya dia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian dia mati, sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”

Maka dengan itu, sebagai rak­yat negara yang mengamalkan cara hidup Islam, kita seharus­nya menetapkan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara yang baik kerana ia merupakan satu tuntutan. Lebih-lebih lagi bagi umat Islam sekiranya ianya berkaitan dengan ibadah, tidak kira sama ada ianya ibadah khusus mahupun umum, maka perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bermaksud, “Ha­nya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang mengikut apa yang dia niatkan.” Justeru, dalam meniti tahun baharu, kita perlu menanam azam yang tinggi dalam mencapai apa yang kita inginkan melalui niat kita.

Sekiranya niat kita itu baik, pastinya Allah SWT akan membantu kita dan memudahkan bagi yang sulit dalam memastikan azam kita itu tercapai. Apatah lagi sekiranya kita hanya bergantung kepada-Nya, maka kita akan lebih dipermudahkan dalam apa jua urusan kehidupan. Tambahan lagi, azam dan niat yang disertakan pada awal perbuatan kita dengan keinginan yang teguh dan bersungguh-sungguh merupakan satu amalan yang sangat digalakkan dalam Islam.

Oleh sebab itu, setiap kali menjelang tahun baharu, tidak kira sama ada tahun baharu Islam atau tahun baharu masihi, kita perlu mempunyai sesuatu azam yang perlu diimpikan demi mencapai pembaharuan yang baik dalam setiap kehidupan.

Sekiranya kita tidak mempunyai keazaman setiap kali menghampiri tahun baharu, ia seakan-akan memberi gambaran bahawa kehidupan kita hanya di takuk sama saban tahun. Akan tetapi, azam tahun baharu itu jangan hanya sekadar menjadi sebutan di bibir, tetapi perlu diterjemahkan dengan bersungguh-sungguh dalam apa jua keadaan yang kita lalui demi mencapainya.

Sekiranya kita berusaha dengan sebaiknya, pastinya azam yang kita inginkan itu dapat digapai dengan izin Allah SWT. Janganlah sesekali kita berazam tetapi langsung tidak mempunyai semangat untuk mencapainya kerana ia merupakan suatu perkara yang sia-sia sejajar dengan pepatah bagai hujan turun atas pasir.

Maka sebagai seorang muslim yang beriman, kita harus mempercayai akan ketentuan dan ketetapan yang telah diatur oleh Allah SWT ke atas setiap hambanya. Janganlah sesekali kita mempersoalkan kewibawaan dan kekuasaan Allah sebagai Maha Pencipta kerana kita adalah hambanya yang kerdil di atas muka bumi ini. Yakinilah bahawa setiap peristiwa dalam Islam termasuk peristiwa Maal Hijrah ini, mempunyai pe­ngajaran-pengajaran dan hikmah-hikmahnya yang menjadi panduan kepada manusia sejagat.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kete­rangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Surah Qaf: 37)

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor.