Maka, ‘terorisme’ disinonimkan maksudnya dengan penggunaan kekerasan dalam memastikan segala matlamat yang dikehendaki tercapai.

Justeru, bagi mereka yang bertindak secara agresif dan ekstrem mencabuli serta ‘mendera’ fizikal dan mental alam sekitar melalui ‘kekerasan’ atau ‘kezaliman’ yang melampaui batas demi memenuhi hasrat, kehendak dan kemahuan yang berlandaskan kepada sifat tamak haloba keterlaluan sehingga menjejaskan alam sekitar itu sendiri dan masyarakat sekitar, memang selayaknya dilabelkan sebagai ‘terroris’ alam sekitar.

Mereka ini layak digelar ekstremis, pelampau, pengganas, pengacau atau penjahat alam sekitar (environmental terrorist) kerana bertindak melebihi had dan ketentuan yang sewajarnya sehingga meminggirkan kepentingan alam sekitar dan masyarakat.

Jika ditelusuri di Malaysia, kes dan kesalahan mengganggu-gugat kelestarian alam sekitar semakin meningkat saban tahun. Yang terbaharu ‘tragedi’ Sungai Kim Kim yang menimbulkan fenomena panik, simpati dan kemarahan meluap-luap di seluruh negara.

Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan pelbagai kesan negatif kepada semua pihak. Malahan, kos keseluruhan membersih alam sekitar yang tercemar tersebut berjumlah sekitar RM8.4 juta.

Jika dirujuk dalam kes Sungai Kim Kim, sejumlah 76 laporan polis telah dibuat (jumlah ini diyakini akan meningkat) oleh penduduk dan mangsa terlibat terhadap ‘terroris’ alam sekitar terbabit di atas segala keperitan, kesengsaraan dan kesusahan diakibatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

HUKUMAN TERLALU RINGAN?

Malahan, pihak polis sedang giat memburu ‘teroris’ alam sekitar terbabit berdasarkan petunjuk yang diperoleh. Di Malaysia, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) sebagai undang-undang utama pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menyatakan, hukuman maksimum bagi teroris alam sekitar ini hanyalah denda sekitar RM500,000, lima tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di Malaysia, hampir tiada penjenayah alam sekitar yang dikenakan hukuman penjara! Hanya sekadar membayar denda sahaja yang semestinya mampu dibiayai oleh penjenayah seperti ini.

Jika kita merujuk kepada ‘tragedi’ di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dengan segala kemusnahan, kesengsaraan, kesulitan serta impak negatif yang terhasil daripada perbuatan tidak bertanggungjawab ini, adakah hukuman sedemikian rupa setimpal atau mencukupi terhadap segala tindak tanduk dan perlakuan penjenayah alam sekitar tersebut.

Jawapannya sama sekali tidak bagi teroris alam sekitar terbabit. ‘Teroris alam sekitar ini selayaknya diberi hukuman setimpal sejajar dengan apa yang mereka telah lakukan.

Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar dan teladan dari negara lain dalam menangani masalah kemusnahan dan pencemaran alam sekitar.

Antaranya mahkamah boleh memerintahkan penjenayah terbabit melaksanakan tugas jangka panjang seperti memulihkan pencemaran yang dilakukan agar kembali seperti asal.

Antaranya dengan memerintahkan pesalah melakukan pemulihan, pembayaran kos, penyerahan balik segala keuntungan atau hasil daripada kesalahan yang dilakukan, melaksanakan apa-apa projek pemulihan atau penambahbaikan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Ini sangat penting diberi penekanan supaya pesalah terbabit atau individu lain yang ingin mengulang kesalahan mencemarkan alam sekitar arif bahawa matlamat serta tindakan tidak selayaknya ‘menghalalkan’ cara demi memenuhi nafsu rakus mereka yang dikaburi ringgit dan sen semata-mata.

DICEMARI TOKSIK

Rentetan itu di Sungai Kim Kim, walaupun kerja-kerja pembersihan terhadap sungai sepanjang 1.5 kilometer yang dicemari toksik tersebut selesai, namun pemantauan dan langkah berjaga-jaga masih diteruskan oleh pelbagai pihak yang terlibat.

Hal ini termasuklah menggerakkan 30 pasukan termasuk Jabatan Kimia serta Jabatan Alam Sekitar yang dilengkapi pengesan gas untuk memantau kualiti 30 buah sekolah yang terletak dalam lingkungan 5-9 kilometer dari tempat kejadian.

Semua usaha ini dilakukan bagi memastikan kualiti udara di kawasan terlibat keseluruhannya berada pada tahap selamat. Antara gas yang akan dipantau adalah oksigen, karbon monoksida, Low Exposure Limit (LEL), Volatile Organic Compound (VOC) dan Hidrogen Sulfida (H2S). Tindakan lain yang diambil adalah menjalankan kajian dan pemantauan lanjut berkaitan kesan dan hubung kait sisa kimia yang dibuang kepada persekitaran kawasan tercemar khususnya air bawah tanah (ground water).

Inilah ‘harga’ yang terpaksa dibayar akibat tindakan segelintir pihak yang selayaknya digelar sebagai ‘teroris’ alam sekitar.

Hakikatnya, biarpun setiap manusia ada hak masing-masing dalam membuat tindakan, namun dari sudut falsafahnya ia tetap tidak boleh melampaui batasan kemanusiaan apatah lagi menghilangkan nilai akhlak ketika berinteraksi dengan alam sekitar ciptaan Allah.

Bagi mengekang perbuatan seperti di Sungai Kim Kim berulang, penerapan kaedah soft science yang menumpukan terhadap kaedah bukan sains seperti penerapan falsafah dan etika perlu diperkembangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ini kerana, sudah terbukti penggunaan hard science semata-mata misalnya melalui kaedah kejuruteraan dalam mengekang sepenuhnya kemerosotan dan kemusnahan alam sekitar negara ternyata ‘kurang berjaya’.

FALSAFAH ALAM SEKITAR

Maka, satu demi satu ‘bencana’ dan ‘tragedi’ alam sekitar yang mengganggu-gugat kualiti dan kesejahteraan hidup masyarakat saban waktu muncul di Malaysia berpunca daripada aktiviti masyarakat yang tidak ‘mesra alam’, akibat diri masing-masing dikuasai oleh sifat tamak untuk memonopoli dan memanipulasi sumber alam.

Falsafah alam sekitar yang merupakan salah satu cabang etika alam sekitar sangat penting diberi penekanan kerana ia adalah ilmu yang menumpu kepada alam yang mana manusia dituntut agar mengguna kebijaksanaan semasa bertindak atas alam.

Apabila etika dan falsafah alam sekitar berjaya diterap dalam jiwa dan sikap setiap ahli masyarakat, pastinya puluhan undang-undang yang digubal berkaitan alam sekitar, pemerkasaan setiap undang-undang terbabit serta penguatkuasaan ketat undang-undang itu demi memelihara kelestarian alam sekitar tidak menjadi keutamaan.

Hal ini kerana masyarakat telah maklum bagaimana berinteraksi dengan alam sekitar secara berhikmah, bijaksana, penuh adab, hikmah, sopan santun dan berperikemanusiaan.

Beretika dan sayangilah alam sekitar anugerah Allah yang tidak ternilai ini agar di masa depan tidak bercambah lebih ramai lagi ‘teroris’ alam sekitar di negara kita.

PROF. MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (Ipsas), Universiti Putra Malaysia (UPM).