Akak cun biarkan saja dia membebel dulu. Habis dia bercakap akak cun pun beri soalan; “Kau tak hensem ye? Kecewa sangat bunyinya ni.” Dia diam. Mungkin malu hendak mengaku tak hensem. Kalau cakap hensem pula, nanti agaknya dia takut akak cun kata dia perasan dan riak pula.

Hakikatnya, kebanyakan perempuan tidak memilih sangat bila hendak berkawan. Ada perangai-perangai tertentu lelaki yang mereka mahu elakkan. Bila lelaki sudah tunjuk saja perangai yang cuba dielakkan itu, biasanya perempuan pun angkat kakilah.

Macam minggu lepas abang hensem tulis, lelaki tak suka perempuan kaki mengumpat atau kaki gosip. Sama saja. Perempuan pun tidak suka lelaki yang kaki me­ngumpat. Ingat tak adakah lelaki kaki gosip? Lelaki kalau sudah mengumpat lebih teruk daripada orang perem­puan. Dia punya ‘kaki menyampai’ tu lebih cepat daripada berita CNN! Siap tokok tambah lagi.

Tapi betullah cakap abang hensem. Akak cun pun tak suka kawan perempuan kaki gosip. Kalau boleh nak elak minum semeja dengan orang macam ini. Kadang-kadang cerita hal-hal orang yang kita tak kenal pun. Letih nak dengar! Akak cun banyak kerja lain lagilah nak buat.

Berbalik pasal cerita perempuan suka memilih kawan. Ini antara perangai yang membuatkan perempuan tidak suka berkawan dengan lelaki itu:

* Suka menipu

Lelaki jenis ini memang amat dibenci perempuan. Ada yang bukan saja menipu hal besar seperti status perkahwinan, mengaku bujang atau perkahwinan bermasalah, walhal sebenarnya ok saja, tetapi hal kecil pun hendak menipu. Mana boleh ada kejujuran kalau asyik menipu. Suka cakap berbelit-belit. Lama-lama diri sendiri terbelit!

* Cakap besar

Siapa suka orang yang cakap besar? Hendak tunjuk dia saja bagus atau orang sekarang cakap suka up diri sendiri. Ada yang kerja biasa-biasa saja tetapi membesar-besarkan diri, macam tanpa dia syarikat tempat dia bekerja itu boleh bungkus! Lelaki seperti ini memang amat membosankan. Kalau bersembang, dia saja yang hendak menang, perasan bagus dan tidak berminat untuk mendengar perbualan orang lain. Lu minum sorang-soranglah brader!

* Kaki perempuan

Perempuan menyampah dengan lelaki ‘kaki perempuan’. Lelaki jenis ini memang pandai ‘mengayat’ dan manis mulut. Bayangkan, tengah dating, dia boleh layan perempuan lain di WhatsApp. Sikap terlalu peramah dan suka bersenda gurau dengan perempuan lain, membuatkan sesiapa yang berkawan dengan lelaki seperti ini akan lebih banyak makan hati. Akaun media sosialnya pula penuh dengan kawan-kawan perem­puan daripada lelaki. Kalau perempuan ‘belanja’ gambar selfie dalam Facebook atau Instagram, dialah orang pertama yang akan like tak sampai satu saat dimuat naik.

* Ego

Ego kena ada. Tetapi jangan terlalu ego. Ada lelaki bila melakukan kesilapan dia tidak pernah mahu mengaku, Dalam banyak keadaan, dia saja mahu menentukan semua­nya. Dia mahu dilihat sebagai orang yang membuat keputusan dan mahu orang sekeliling mendengar cakapnya. Lelaki macam ini elok kerja di mana-mana menara kawalan.

* Suka cari pasal

Suka cari pasal atau suka menimbulkan pergaduhan. Apabila berbincang atau bercakap mengenai sesuatu isu, lelaki ini sengaja mahu bercanggah pendapat dan me­nunjuk pandai walaupun tidak sepandai mana. Bila sudah salah atau kalah, dia blah macam itu saja. Lelaki macam ini memang ramai.

* Suka merungut atau komplen

Di mana saja atau apa saja dia akan komplen, Tidak kiralah pasal makanan, kawan sekerja, majikan atau hal-hal yang berlaku di sekelilingnya. Ini membuatkan perempuan yang berkawan dengan lelaki jenis ini akan merasakan dirinya sebagai kaunter pengaduan. Bosan layan lelaki macam ini.

* Kedekut

Terlalu berkira sangat untuk belanja makan apabila keluar bersama, apatah lagi membelikan apa-apa seperti pakaian, kasut, tudung dan sebagainya walaupun berduit. Ayat yang selalu keluar dari mulut dia, bila teman shopping ialah ‘tak baik membazir’. Lelaki macam ini, suruh dia simpan sajalah duit dia itu dalam almari besi dan kunci ketat-ketat.

* Suka perlekeh perempuan

Lelaki jenis ini menganggap orang perempuan lemah dan tidak pandai dalam serba-serbi. Mereka fikir perempuan tidak boleh berdikari dan semua hal kena rujuk kepada lelaki dahulu. Dia hidup zaman mana ni?

Macam akak cun cakaplah sebelum ini, akak cun bukan suka sangat hendak mengutuk orang lelaki lebih-lebih lagi di awal-awal tahun baharu ini. Akak cun ada banyak kerja lain lagi. Encik abang tinggi lampai akak cun pun tahu akak cun banyak kerja. Awak semua tak ada kerja ke? Dah-dah semua boleh bersurai, buat kerja tu.