Perang dagangan ini berlaku apabila masing-masing meningkatkan tarif ke atas produk yang diperdagangkan ke negara mereka. Ia dimulakan oleh AS yang sangat runsing dan ingin membuat perundingan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang kononnya mendakwa China telah melakukan pelanggaran terhadap hak harta intelektual.

China menyangkal dakwaan itu dan mahukan bukti, oleh itu tidak ada kuasa undang-undang untuk bertindak balas berdasarkan peraturan WTO. Sejak itu, kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan penyelesaiannya. Pada masa sama, AS dan China bertindak balas dengan mene­ruskan aktiviti perang dagangan melalui kenaikan tarif. China mengeksport produk perkilangan intensif buruh ke AS, contohnya barangan elektronik, dan AS mengeksport komoditi pertanian ke China termasuklah kacang soya, kapas, ikan, tenusu, gandum dan daging babi.

Walaupun perang dagangan ini dikatakan merugikan kedua-dua pihak, tetapi kesannya memberi lembaran baharu kepada beberapa negara lain seperti, negara Eropah, Mexico dan negara-negara Asia kerana negara pengimport seperti AS dan China mencari alternatif pembekal dari negara lain.

Di Mexico, mereka ada membuat Perjanjian AS-Mexico-Kanada yang memudahkan import barangan automotif ke AS atau Eropah (pengeksport pertanian). Walaubagaimanapun, keuntungan yang terbesar daripada perang dagangan akan jatuh ke negara-negara di Asia.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU), antara negara-negara Asia, Malaysia dan Vietnam dikategorikan sebagai negara yang bakal mendapat faedah yang kuat hasil daripada peperangan perdagangan ini, manakala India, Indonesia dan Thailand ditempatkan dalam kategori `ringan’; dan Filipina, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan adalah kategori sebagai negara yang industri teknologi maklumat dan komunikasinya (ICT) akan menghadapi gangguan akibat perang dagangan tersebut.

Hal ini menunjukkan bahawa, untuk barangan yang melibatkan ICT, syarikat-syarikat elektronik utama akan dapat memindahkan pelaburan dan pengeluaran secara lancar kerana mereka mempunyai operasi atau kilang-kilang yang ada di Malaysia, antaranya Dell, Sony dan Panasonic dan di Vietnam, antaranya syarikat Samsung dan Intel.

Tambahan pula, Malaysia dan Vietnam mempunyai infrastruktur jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan yang baik, yang seterusnya membantu membangunkan logistik tempatan yang kukuh dan rangkaian perkapalan untuk menyokong perdagangan barangan. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua negara ini adalah ahli FTA, dan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Dari segi komoditi pertanian, AS mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas kacang soya. Minyak kelapa sawit dipercayai dapat mengantikan soya dan hal ini akan menjadi semangat untuk Malaysia mengembangkan eksport minyak sawitnya ke China. Antara faktor yang menjanjikan kejayaan kepada negara Vietnam kelak adalah kos upah pekerja yang dikatakan murah.

Di Vietnam, elektrik juga lebih murah pada 7 sen AS setiap kilowatt jam berbanding 10 sen di Indonesia dan 19 sen di Filipina. Menurut Bank Dunia, Vietnam juga mempunyai salah satu tenaga buruh terbesar di Asia Tenggara, pada 57.5 juta. Itu berbanding dengan 15.4 juta untuk Malaysia dan 44.6 juta di Filipina.

Selain itu, faktor lokasinya juga yang dekat membuatkan kos logistik menjadi lebih murah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain. Tidak dinafikan juga, Vietnam mempunyai salah satu ekonomi paling pesat berkembang di dunia, dan diramalkan ekonominya akan berkembang pada kira-kira 7 peratus tahun ini. Nilai matawang Dong juga agak stabil pada 2018, berbanding dengan mata wang lain di Asia seperti Rupee dan Rupiah yang mengalami penurunan besar.

Dari segi industri pakaian, negara yang akan mengalami kesan yang signifikan dalam industri pakaian dan pakaian readymade akibat perang dagangan AS-China adalah Vietnam, selain Bangladesh dan India.

Vietnam adalah pengeksport ketiga terbesar di dunia pakaian dan mempunyai hubungan perdagangan yang kuat dengan AS. Pada 2017, Vietnam berjaya mengeksport pakaian bernilai AS$12.3 bilion ke AS, mewakili hampir 50 peratus daripada jumlah ekspot pakaian.

Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia janganlah bak kata pepatah `belum duduk sudah berlunjur’ yang membawa maksud belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira. Apa-apa yang dinyatakan ini adalah bersifat jangkaan dan apa-apa keadaan boleh berlaku.

Apa yang penting adalah rakyat negara ini dan kerajaan mestilah berganding bahu dalam usaha meraih pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment) mengukuhkan mata wang negara dan sentiasa menyokong barangan buatan Malaysia. Sekiranya ini berlaku, sudah tentu Malaysia mampu untuk menjadi kuasa ekonomi besar yang disegani di rantau Asia Tenggara.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.