Membangunkan umat Melayu dalam segala bidang adalah suatu proses. Ia menuntut perancangan yang rapi, strategi pelaksanaan yang bijaksana dan jihad ilmu dan kemahiran yang sezaman sifatnya.

Hampir 450 tahun umat Melayu dijajah oleh kuasa luar, suatu tempoh yang sangat lama. Memulih kembali pemikiran dan sikap serta jiwanya tentu menuntut kesabaran yang tinggi, apalagi menjadikan mereka memiliki fikrah Islami supaya kualiti amanah, keadilan dan ketelusan boleh mengambil tempat.

Amat penting Melayu sebagai umat teras diperkasa supaya kuasa belinya meningkat, mobiliti dalam pendidikan terus terjadi, penguasaan bidang sains, teknologi dan profesional terus berlaku supaya faktor arus perdana dalam pembangunan negara tidak ditentukan oleh satu kaum sahaja.

Sejak merdeka, perubahan dalam kalangan umat Melayu terjadi. Kelompok pegawai perubatan, kejuruteraan, saintis dan profesional bertambah. Tetapi jumlahnya masih relatif rendah dan memerlukan jihad ilmu supaya jangka panjangnya kelihatan seimbang. Kelompok kelas menengah juga meningkat tetapi pada masa sama, kelompok luar bandar dan pinggir bandar perlu disantuni. Ekuiti (pegangan) umat Melayu dalam ekonomi negara masih relatif rendah.

Wujudnya kesatuan dalam perjuangan ummah cita-cita ini boleh dijayakan sekiranya fikrah Islami terbina dengan baik, daya saing perlu ada dan pendekatan pembangunan yang kreatif harus berjalan. Membantu warga ummah untuk berdaya maju adalah langkah strategik yang perlu disempurnakan. Melaksanakan jalur syariah dalam ekonomi, keusahawanan memerlukan kecekalan yang tinggi supaya sistem leissurefare yang kapitalistik dapat didepani dengan bijaksana.

Kini, umat Melayu dalam keadaan berpecah disebabkan banyak faktor khususnya politik. Dalam konteks umat Melayu berlainan wadah adalah suatu kelaziman tetapi kesatuan fikrah terlalu amat penting dimiliki supaya perpecahan yang terjadi tidak membawa bencana kepada masa depan ummah.

Lalu mengukuhkan fikrah Islami dalam kalangan warga kepimpinan dan kepengikutan menjadi syarat penting umat Melayu dijadikan contoh dan sumber teladan serta ikutan.

Bayangkan tanpa kekuatan Islam dan fikrah Islami dan kehidupannya dipandu oleh fahaman kebendaan dan nafsu-nafsi, umat Melayu akan jadi lemah. Oleh itu apabila umat Melayu memilih ke arah jalan perpaduan, ia tidak harus difahamkan sebagai suatu strategi rasis untuk menghadapi kaum lain.

Tanpa faktor persefahaman, hal-hal sensitif menjadi subur, etika berkomunikasi semakin pupus dan akhirnya menghasilkan masyarakat yang kehilangan adab dan akhirnya krisis menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Amat penting umat Melayu yang menjadi faktor teras dalam pembangunan Malaysia dibantu dan yang dikatakan berjaya membantu lain supaya kekuatan umat Melayu dapat merapatkan jurang ekonomi, sosial dan komunikasi supaya pendekatan seimbang dan harmoni menjadi matlamat utama dalam pembangunan negara Malaysia.

Jalannya tidaklah mudah tetapi demi kasihkan suasana damai dan berimbang, umat Melayu perlu bersatu dan teguh dengan pegangan agama supaya cara hidupnya menjadi sumber teladan kepada orang lain.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).