KEUTAMAAN dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam. Ia berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan nyawa dan kehidupan insan serta kesejahteraan masyarakat dan negara. Ia juga akhirnya akan mengangkat darjat dan kedudukan serta kemuliaan manusia kerana keupayaan mereka dalam mengekalkan kewujudan mereka secara sebaiknya. Berhubung dengan perkara ini, Islam itu pada asasnya telah memberi gambaran kepada seluruh alam semesta dan seluruh umat manusia bahawa manusia itu telah dijadikan dalam keadaan yang paling sempurna.
Malahan, menjadi tanggungjawab kepada manusia untuk menyedari hakikat ini. Ia juga menjadi satu tanggungjawab kepada mereka untuk memelihara dan mengekalkan serta meneruskan status dan kedudukan mereka sebagai makhluk yang sempurna dari segi kejadian mereka. Ini adalah amanah yang Allah telah diberikan kepada mereka.
Berhubung perkara ini, keupayaan mereka untuk berfikir adalah satu anugerah Ilahi yang terhebat dan tiada tandingan. Anugerah otak sebagai satu organ yang dikurniakan itulah yang membezakan manusia dengan binatang. Ini kerana otak itu berfungsi sebagai alat untuk berfikir yang tidak dimiliki oleh makhluk lain selain umat manusia. Jika dilihat, manusia dan binatang sama-sama memiliki otak, namun, kedua-dua makhluk ini menggunakan otak dengan cara amat berbeza.
Manusia mampu menggunakan otaknya untuk berfikir dan menguruskan pemikirannya. Berbanding binatang, kemampuan untuk berfikir itu tidak wujud. Atau jika ada seperti yang dipercayai oleh sesetengah pengkaji haiwan, sudah pasti ia mempunyai status pemikiran yang lebih rendah dari segi fungsi, berbanding keupayaan berfikir oleh otak manusia. Keupayaan manusia untuk menggunakan fungsi pemikiran otaknya dengan cara yang terbaik dan wajar adalah satu syarat, iaitu syarat yang bukan sekadar membezakan kedudukan antara manusia dengan binatang, malah dengan keupayaan berfikir itu jugalah yang akan mengangkat dan membina kemuliaan mereka berbanding makhluk lain. Ini kerana fungsi otak dan keupayaan pemikiran oleh golongan manusia itu dipandu oleh akalnya.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi ada menyatakan perkara yang sama seperti mana yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.a.
Saidatina Aisyah r.a ketika bertanya kepada Nabi Muhammad SAW perihal bagaimanakah seseorang itu mendapat keutamaan dan kemuliaan dunia lalu Baginda menjawab, dengan akalnya. Apabila ditanya lagi, bagaimana pula seseorang itu boleh mendapat keutamaan akhirat, lantas Baginda menjawab lagi, dengan akalnya. Aisyah bertanya lagi, bukankah seseorang itu mendapat keutamaan itu bergantung kepada kadar amalnya? Rasulullah SAW lantas menjawabnya iaitu seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.
Hadis ini menunjukkan bahawa akal yang akan menentu dan memandu pemikiran manusia. Menurut Imam al Ghazali, akal adalah sumber bagi segala cetusan ilmu dan hasil pemikiran manusia. Akal juga yang akan menentukan tahap amalan dan perbuatan yang manusia itu lakukan. Jika ingin memperbaiki amalan dan meningkatkan kualiti kehidupan, maka kualiti akalnya lah yang perlu dipertingkatkan terlebih dahulu.
Hakikatnya, akal dan fungsi otak memang tidak dapat dipisahkan. Malahan kedua-duanya saling berkait rapat dan sentiasa mempengaruhi antara satu sama lain.
Peranan akal dalam mewujudkan kehidupan yang baik untuk manusia perlu disingkap. Malahan, salah satu aspek penggunaan akal dalam memandu hala tuju pemikiran manusia ialah keupayaan mereka untuk mewujudkan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Isu pengaruh akal dalam mempengaruhi pemikiran dan tindakan manusia dalam kes-kes penderaan dan kezaliman terhadap kanak-kanak amatlah jarang diperkatakan dan seperti tidak wujud serta amat asing sekali untuk dibincangkan.
Seolah-olah seperti satu perkara yang taboo atau tiada perkaitan di antara mereka. Walhal, jika dilihat daripada beberapa hadis dan ayat-ayat al-Quran, peranan akal amat penting dan berkait rapat dengan fungsi otak serta pemikiran manusia.
Oleh yang demikian, masyarakat perlu difahamkan berkaitan hukum hakam dan kesalahan serta hukuman secara syar’i yang terpakai jika berlaku pengabaian terhadap fungsi akal dan otak mereka.
Mungkin masyarakat sudah terfikir bahawa sekaranglah masanya untuk mewujudkan satu perincian hukuman secara syar’i yang boleh dilaksanakan jika terdapat mana-mana individu yang melakukan perlanggaran terhadap tuntutan maqasid syariah, walaupun pada dasarnya tuntutan maqasid syariah itu bagi memelihara kemaslahatan manusia.
Selain itu, ajaran Islam terhadap hak-hak kanak-kanak perlu didedahkan secara meluas kepada masyarakat umum. Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang berlaku ketika ini kerana masyarakat tidak mengerti apakah kanak-kanak turut mempunyai hak dan apakah hak-hak mereka yang perlu dihormati dan disantuni oleh masyarakat.
Walaupun secara fizikalnya mereka sekadar berbadan kecil namun masyarakat perlu didedahkan bahawa kanak-kanak masih mempunyai hak mereka yang tersendiri dan menjadi tanggungjawab kepada masyarakat untuk memberikan ruang dan hak kepada kanak-kanak itu. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dihormati, dan dimuliakan secara adil dan baik. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana aman dan bersih.
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Syabas Mufti Wilayah