Ia waktu itu di bawah pemerintahan Uthmaniah Turki sejak beratus-ratus tahun lamanya. Sempadan Uthmaniah mendepang dari Maghribi di utara Afrika ke Iraq di bumi Arab, membawa ke utara, mencakup sebahagian besar Eropah hingga ke Austria.

Bila saya berjumpa pengunjung-pengunjung Turki di kota Budapest di Hungary, mereka menyatakan dengan bangga bahawa selama 500 tahun negara itu berada di bawah Turki.

 

Itu tidak boleh dinafikan. Itulah juga yang membuatkan kuasa-kuasa Eropah cukup marah kepada Turki. Ketika belum ada bom nuklear, Turki terkenal dengan tentera digeruni.

Yang merosakkan Turki ialah pemihakannya dengan Jerman dalam Perang Dunia Pertama. Kekalahan Jerman menyeret sama Turki. Sejak itu sedikit demi sedikit penaklukan Turki ke atas bumi Eropah dan Arab surut hingga akhirnya pupus.

Awal 60-an terbit filem Hollywood Lawrence of Arabia yang amat laris. Ceritanya memberikan bayangan bagaimana British dan AS menolong orang Arab membebaskan bumi Arab daripada genggaman Turki.

Sebenarnya dua kuasa Barat itu ditolong orang Arab menghalau Turki demi meluaskan pengaruh dan sempadan kuasa mereka.

Di Semenanjung Arabia terdapat grup-grup orang Badwi atau kelana lara yang berpindah dari sebuah oasis ke sebuah oasis (kawasan bermata air yang ditumbuhi kurma dan pohon-pohan lain). Mereka menunggang unta dan kuda dalam menjalani kehidupan.

Salah sebuah grup yang besar dan digeruni dipimpin oleh keluarga Saud. Dengan keluarga inilah British dan AS berpakat memerangi Turki sehingga akhirnya Turki dinyah dari Semenanjung itu.

British dan AS lalu mengiktiraf keluarga Saud sebagai pemerintah, disempenakan pada tahun 1932 dengan nama Saudi Arabia.

Ini dengan sendirinya membawa Mekah dan Madinah ke dalam sempadan negara baharu ini. Keluarga Saud bertukar menjadi dinasti dengan ketuanya dipanggil al-Malik atau King. Bukanlah susah untuk menyelami nawaitu dua negara Barat itu.

Minyak sudah diketahui terdapat dengan banyaknya di bumi Arabia ini. Kereta, kereta api, kapal, kapal terbang dan kilang-kilang yang dicipta oleh Barat perlu menggogok minyak dengan banyaknya.

Dengan menggenggam negara baharu ini, bekalan minyak dengan sendirinya terjamin. Sejarah selepas itu menjadi saksi bagaimana minyak membawa kebaikan bersilih ganti keburukan.

Beberapa tahun sebelum Perang Dunia Kedua, pada tahun 1937, keluarga bapa saudara saya menunaikan Haji di Mekah. Mereka menceritakan kehadiran ‘orang putih’ (maksudnya British) di Aden, Yemen dan Jeddah adalah seperti kehadiran mereka di Malaya.

Di sini, memang patutlah ramai orang British sebab mereka penjajah, tetapi di sana, ia menunjukkan kuatnya pengaruh British walaupun bukan penjajah.

Lebih 80 tahun sebelum itu, pujangga Abdullah Munshi belayar ke Jedah pada tahun 1854. Beliau meninggal di Arabia, dipercayai belum sempat menunaikan Haji. Masa itu Mekah dan Madinah berada dalam kawalan Turki. Tanda kehadiran Turki terdapat pada banyak bangunan di sekeliling Kaabah yang terus kekal hingga beberapa tahun dahulu, tetapi kini Wallahualam.

Jika pada 1932 keluarga Saud menunggang di bonggol unta tetapi pada 1970 mereka naik pesawat 747. Tercetuslah ungkapan nakal: dari bonggol unta ke bonggol 747 hanya dalam jangka dua generasi saja. Mungkin. Namun perubahan itu hanya luaran. Hakikat dalaman, perubahan bagai tidak berlaku.

Sistem pemerintahan demokrasi masih belum berlaku. Raja masih berkuasa mutlak. Lihat saja Tengku Mahkota Mohamad bin Salman yang bersikap seolah-olah Parlimen, mahkamah dan Kabinet berada dalam pintalan jari-jarinya.

Ketakutannya kepada Iran yang rakyatnya menumbangkan rajanya pada 1979 memaksa Saudi berbelanja tidak terhingga banyaknya untuk membawa padah kepada Iran. Syiah dituduh bukan Islam. Ia sanggup berpakat dengan Israel dan AS demi menentang Iran.

Bagaimana ‘penghulu’ umat dan bumi Islam ini benar-benar boleh memimpin Muslimin jika dirinya sendiri goyah.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.