Mungkin ramai terlupa tetapi di pulau itulah bermulanya riak penentangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri terhadap Dr. Mahathir. Penulis masih ingat ketika membuat liputan Konvensyen UMNO Johor di pulau berkenaan, ucapan Anwar ketika itu penuh dengan sindiran terhadap kepe­mimpinan negara yang diterajui oleh Dr. Mahathir sehingga perkataan ‘reformasi’ kali pertama kedengaran.

Bermula dengan nada ucapan, ‘reformasi’ akhirnya bertukar men­jadi laungan apabila Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Alasan yang diberikan oleh Dr. Mahathir ialah Anwar tidak layak menerajui negara ke­rana mempunyai masalah moral.

Lanjutan itu kestabilan politik negara tergugat. Saban hari ada sahaja demonstrasi dijalankan bagi membantah kepemimpinan Dr. Mahathir yang dituduh sebagai ‘Maha Firaun dan Maha Zalim’. Ribuan penyokong Anwar terpaksa mengorbankan segala-galanya termasuk ditahan dan dipukul oleh pasukan polis apabila mereka menyertai demonstrasi haram. Tetapi selepas 20 tahun, semua pengorbanan mereka menjadi sia-sia.

Dr. Mahathir yang dianggap tokoh politik paling dibenci akhirnya dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Yang berbuat demikian bukannya UMNO atau BN, tetapi PKR yang mencapai ke­sepakatan bersama dengan DAP, PPBM dan PAN sedangkan PKR ditubuhkan disebabkan api kebencian yang cukup mendalam terhadap Dr. Mahathir.

Bagaimanapun Dr. Mahathir bijak bersandiwara, malah mungkin lakonan politik beliau jauh lebih hebat daripada Anwar sehingga boleh `memaksa’ pemimpin dan penyokong PKR tunduk kepada kemahuan politiknya.

‘Tahniah’ kepada penyokong-penyokong PKR kerana pengorbanan mereka selama hampir 20 tahun akhirnya berjaya mencalonkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri - seorang yang pernah menjadi musuh ketat dan ‘bertanggungjawab’ melahirkan PKR.

Keadaan itu membuktikan selepas 20 tahun berjuang, PKR hakikatnya tidak memiliki pe­mimpin yang layak menjadi Perdana Menteri. Sebab itulah mereka terpaksa bersetuju de­ngan keputusan Pakatan Harapan melantik Dr. Mahathir sebelum kononnya akan diambil oleh Anwar yang dijangka dibebaskan dari penjara pada Jun ini.

Jika ditoleh kembali apa yang berlaku ketika gerakan reformasi tercetus, mereka pasti faham pe­rangai Dr. Mahathir apabila mempunyai kuasa, tetapi sekarang boleh pula mereka dengan mudah percaya Dr. Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri sementara sebelum diserahkan kepada Anwar.

Apa yang perlu diingat, sehingga ke hari ini biarpun Dr. Mahathir sudah melakukan ‘permohonan maaf politik’ termasuk kepada Anwar, tetapi Dr. Mahathir tidak pernah menarik balik panda­ngan beliau terhadap moral Ketua Umum PKR itu. Dr. Mahathir bijak bermain kata-kata dengan menyatakan beliau memahami penderitaan keluarga Anwar sepanjang Anwar di penjara. Itu sahaja.

Ia sekali gus ditafsirkan semata-mata untuk memuaskan nafsu politik dan dendamnya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau bersedia ‘menyembah kaki’ DAP dan menganggap apa yang berlaku kepada Anwar sebagai satu sejarah sedangkan Dr. Mahathir sendiri pernah berkata, jika mahu dilihat dari segi tiada beban sejarah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jauh lebih la­yak daripada Anwar menjadi Perdana Menteri. Tetapi apa boleh buat, penyokong-penyokong PKR bersedia untuk menjadi mangsa kelentong politik Dr. Mahathir.

Akibat terpedaya dengan kata-kata Dr. Mahathir, mereka kini sudah melupakan segala ‘dosa-dosa’ beliau. Daripada seorang yang dianggap ‘sejahat-jahatnya’ manusia berikutan apa yang berlaku kepada Anwar, kini bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu kembali disanjung. Laungan ‘Maha Firaun’ sudah berubah menjadi ‘Hidup Tun!’.

‘Hebat’ dan cepat sekali mereka mencontohi politik ‘pusingan U’ yang ‘diajar’ oleh Dr. Mahathir. Lagi pula kalaupun mereka mahu menentang, apa sangatlah kuasa yang mereka ada. Ini memandang­kan Dr. Mahathir sudah berada di bawah lindungan ‘taiko’ Pakatan Harapan iaitu DAP. Sebab itulah DAP menyokong penuh Dr. Mahathir menjadi calon Perdana Menteri sementara.

Seperkara lagi ramai juga pihak ‘berasa kagum’ dengan pengorbanan yang ditunjukkan­ oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kalau mahu dilihat dari segi kelayakan, Muh­yiddin jauh lebih layak sekurang-kurangnya untuk dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi Muhyiddin tidak membantah apabila nama Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan.

Beliau akur dengan keputusan Majlis Pakatan Harapan memilih Dr. Mahathir dan Wan Azizah walaupun Muhyiddin tahu adalah tidak munasabah untuk suami isteri menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Dr. Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri seperti mana dirancang kepada Anwar.

Tetapi Muhyiddin tidak boleh berbuat apa-apa, beliau sekadar menjadi Presiden parti tetapi kata putus ada di tangan Dr. Mahathir yang mungkin selepas ini akan memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz menggantikan Wan Azizah. Berdasarkan percaturan politik terkini Pakatan Harapan, tidak mustahil sehingga ke akhir karier politiknya, Muhyiddin sekadar menjadi pengikut setia kepada Dr. Mahathir.

Apapun itulah kisah ‘pengorbanan hebat’ dua pihak iaitu penyokong PKR dan Muhyiddin. Kedua-dua kini tidak mempunyai pilihan selain meneruskan agenda politik Dr. Mahathir semata-mata. ‘Tahniahlah’! Pulau Sibu pasti ‘tersenyum’!